Pandu Uji

HONDA HR-V: SI KECIL YANG BERJIWA BESAR!

Dalam industri automotif, kita perlu hasilkan produk yang berbeza untuk dikenali dan  berjaya di pasaran. Pada dekad lepas, titik sejarah boleh dilihat pada penerokaan pasaran baharu daripada model yang tak pernah orang sangka boleh dibuat untuk produksi.

Honda-HR-V-test-drive-mekanika (2)

Mazda MX-5 Miata misalnya, sebuah roadster kecil pacuan belakang murah untuk pasaran global. Contoh klasik lain ialah Volkswagen Beetle dan kereta MINI.

Di Jepun, sebuah negara yang memperkenalkan model baru hampir setiap hari memerlukan lebih daripada sekadar perhatian untuk menjadikan sesebuah produk itu boleh bertahan dalam pasaran.

Honda-HR-V-test-drive-mekanika (4)

Walaupun dalam pasaran yang semakin tepu, Honda berjaya melakukan perubahan dengan memperkenalkan Honda Fit (Jazz) ke pasaran pada tahun 2000. Kereta segmen B yang berjiwa besar.

Magic seat, tangki petrol di lantai depan dan ruang dalaman yang luas atau lebih tepat, sangat luas dalam kategorinya. Ia memaksa kereta-kereta seperti Toyota Yaris, Suzuki Swift, Daihatsu Boon, Nissan Latio dan Toyota Passo direka semula supaya nampak tidak ketinggalan zaman.

Honda-HR-V-test-drive-mekanika (5)

Pasaran SUV bukanlah segementasi baru. Sejak pertengahan tahun 1990-an, ia menjadi kenderaan pilihan pengguna di negara-negara maju. Kalau ikutkan sejarah, Honda sudah mula menghasilkan SUV urban menerusi model CR-V yang berkongsi chasis Civic pada tahun 1996. Ia bersaing dengan Toyota Rav4, Mitsubishi Airtrek (Outlander), RVR dan beberapa lagi model domestik Jepun.

Tag nama HR-V bukanlah baru. Ia mini SUV yang telah diguna pakai pada model asal tahun 1996 dahulu. Adik bongsu CR-V ini dibina daripada platform Honda City, tiga pintu dan badan simetrikal.

Honda-HR-V-test-drive-mekanika (15)

Model ini dipasarkan di Jepun dan negara-negara pemanduan kanan seperti United Kingdom, Australia dan New Zealand. Tidak lupa juga, Honda ada SUV yang lebih besar iaitu MD-X berkapasiti tujuh tempat duduk yang direka oleh firma Honda Amerika/Kanada.

Model HR-V generasi awal ni tidak sukses mana pun. Produksinya macam tak berapa unik, sama macam Honda Edix (6 tempat duduk). Produksinya habis sekitar tahun 2006. Selepas itu, Honda nampaknya hanya fokus kepada CR-V untuk pasaran global. MDX kekal untuk pasaran Amerika Syarikat dan Crossroad bagi pasaran Jepun.

Honda-HR-V-test-drive-mekanika (16)

Namun pasaran SUV dilihat semakin berkembang pesat. Kalau tidak, takkan lah Porsche buat Cayenne dan Macan. Mazda CX-3, CX-5, CX-7, CX-9. Jaguar dengan F Pace?

Cuba kira BMW siri X ada berapa model. Audi Q1, Q3, Q5 dan Q7. Semua ini  berikutan permintaan yang tinggi. Honda Jepun mesti buat sesuatu. Dengan platform Jazz, maka lahir semula Honda Vezel atau HR-V.

Honda-HR-V-test-drive-Langkawi-mekanika (14)

Sesuatu yang menarik tentang kereta ini ialah fokus ruang dalamannya. Sebab itu Honda Malaysia yakin bahawa mereka ada produk yang mampu bersaing dengan Mazda CX-5.

Ya. Sepatutnya CX-5 adalah lawan CR-V bukan HR-V. Tetapi kelebihan ruang kabin itu meletakkan HR-V sebagai SUV paling laris di pasaran sekarang. Pada awal pelancarannya, senarai menunggu mencecah sembilan bulan, sesuatu yang tak pernah disangka, hatta oleh Honda Malaysia sekalipun.

Honda-HR-V-test-drive-mekanika (7)

Rekaan konsol, ruang kokpit dan papan instrumentasi bukan sahaja menjadikan kereta ini luas, malah nampak mahal berbanding nilai sebenarnya. Model yang saya pandu uji ini dilengkapi sistem audio 2DIN dengan skrin sentuh.

Kawalan pendingin hawa juga digital. Manakala bentangan kluster meter dengan latar belakang chrono bersama segala macam info itu membuatkan kereta ini nampak cukup elegan.

Honda-HR-V-test-drive-mekanika (9)

Satu lagi fungsi baru yang diintegrasikan dengan rekaan konsol tengah kereta ini ialah brek parkir elektronik. Jujur saya katakan, ia adalah fungsi yang tak perlu pun. Namun formula ini bersama brake hold itu benar-benar membantu ketika keadaan trafik stop-and-go. Kalau saya diberi pilihan, saya lebih suka memilih power boot berbanding parkir elektronik ini (dan mungkin ia menjadikan kos pembuatannya sedikit tinggi).

Karekteristik pengendalian kereta keluaran Honda sememangnya boleh dijangka. Tajam, tepat dan arah stereng yang mudah dihalakan mengikut darjah selekoh ataupun pada titik lurus dalam kelajuan tinggi.

HR-V-test-drive-2015-mekanika (2)

Untuk sebuah model SUV kecil, mengatur set suspensi yang sesuai agak sukar kerana jurutera perlu mengambil kira di mana pasarannya. Dengan tayar profil tinggi, HR-V berkelebihan menjadi sebuah SUV yang selesa untuk dipandu setiap hari. Ia menyerap hentakan dan lubang-lubang kecil dengan sangat baik.

Kuasa dari enjin 1.8 DOHC i-VTEC juga memang padan dengan casis SUV ini. Di  atas kertas, ia berupaya menghasilkan 142ps dan 172Nm tork. Sumbangan terbesar ialah binaan casis keseluruhan hanya seberat 1.2 tan.

Honda-HR-V-test-drive-mekanika (10)

Apabila digandingkan dengan transmisi CVT generasi baru, ia menjadikannya pakej SUV yang lincah, pantas pada RPM rendah dan tidak menghampakan jika pedal minyak ditekan keras.

Pengalaman memandu selama lima hari di jalan-jalan di bandar, lebuh raya, mendaki dan menyusuri jalan kampung membuktikan satu perkara, HR-V ialah sebuah mini SUV yang versatil.

Honda-HR-V-test-drive-mekanika (3)

Pada awal pelancaran Vezel (versi JDM) saya agak skeptikal tentang penerimaannya. Ketika dilancarkan di sini pada harga bermula RM98,000 hingga RM118,000 seunit, saya semakin skeptikal. Bolehkah ia dijual? Apakah Honda Malaysia bakal menerima nasib yang sama seperti Freed?

Namun setelah hampir setahun di pasaran, Honda sudah menemui cash cow yang baru. HR-V umpama lubuk emas, senarai menunggunya masih lagi dalam lingkungan tiga hingga empat bulan.

Honda-HR-V-test-drive-mekanika (14)

Angka itu membuktikan HR-V cukup laris dan terus laris ketika pasaran kereta penumpang hari ini agak perlahan akibat kejatuhan nilai ringgit dan kelembapan ekonomi.

Selain trak pikap dua kabin, pasaran SUV di Malaysia semakin mendapat perhatian. Jika HR-V masih tidak cukup, Honda masih ada lagi sebuah SUV/crossover yang lebih kecil. BR-V telah pun dilancarkan di Indonesia beberapa bulan lepas. Berita baik bukan?

GALERI

Honda-HR-V-test-drive-mekanika (1)Honda-HR-V-test-drive-mekanika (6)Honda-HR-V-test-drive-mekanika (8)HR-V-test-drive-2015-mekanika (1)HR-V-test-drive-2015-mekanika (4)HR-V-test-drive-2015-mekanika (3)

Google ads
Back to top button