Pandu Uji

HYUNDAI SONATA: KIAN MEYAKINKAN

Hanya selepas setahun sedan segmen D ini dilancarkan di tanah kelahirannya, Korea Selatan, Hyundai Sonata mula menjengah pasaran tempatan pada penghujung tahun lalu.

Hyundai-Sonata-test-drive-mekanika (7)

Sonata generasi ketujuh itu dilihat tampil dengan lebih yakin menerusi pelbagai bentuk penambahbaikan berbanding model sebelumnya. Beberapa minggu selepas majlis pelancarannya, Mekanika Malaysia dijemput untuk menyertai sesi pandu uji Sonata yang bermula dari Subang, Selangor menuju ke Port Dickson, Negeri Sembilan.

Sebelum mengulas tentang kualiti pemanduannya, ada baiknya jika saya menjelaskan mengenai rekaan jentera ini. Mengambil masa selama tiga tahun untuk dihasilkan, Sonata menggabungkan aspek falsafah estetik (Inner Force), bahasa rekaan Fluidic Sculpture 2.0 serta teknologi Human-Machine Interface.

Hyundai-Sonata-test-drive-mekanika (12)

Gabungan itu bermatlamat untuk meningkatkan pengalaman pengguna dengan rekaan luaran yang lebih matang. Selain ruang dalaman yang lebih selamat, ringkas dan intuitif.

Mewarisi rekaan Sonata sebelumnya, model baharu ini telah mengalami revolusi untuk menjadi sebuah kenderaan yang kelihatan lebih premium. Pasukan reka bentuk Hyundai Motor jelas berjaya membuatkan penampilan Sonata lebih menarik.  

Hyundai-Sonata-test-drive-mekanika (8)

Harus tahu bahawa Sonata telah diuji di dalam persekitaran yang sangat mencabar, lebih tepat lagi di litar lumba Nürburgring Nordschleife di German. Ia juga terpaksa menjalani pelbagai ujian seperti ujian khas Hyundai iaitu “accelerated durability tests” yang melibatkan sehingga 180,000km pemanduan sukar dalam tempoh beberapa minggu.

Hasilnya? Sonata memang mampu menawarkan kualiti pemanduan yang meyakinkan, tidak kira sama ada ketika meluncur laju di atas lebuh raya. Mahupun melayani selekoh di jalan-jalan kampung.

Hyundai-Sonata-test-drive-mekanika (13)

Cuma, saya raya stereng Sonata sedikit ringan dan kurang ‘engaging’. Lain-lain, tiada isu. Olengan tubuhnya boleh dikatakan minimum. Segala kecatatan permukaan jalan pula dapat diserap dengan baik oleh gabungan sistem suspensi jenis MacPherson untuk roda hadapan dan multi-link di belakang. Sebagai sebuah sedan eksekutif, inilah perkara yang dititikberatkan oleh pemiliknya.

Hyundai-Sonata-test-drive-mekanika (20)

Bagi menguji kelincahan Sonata, sesi pandu uji pada hari itu turut melibatkan ujian slalom dan Electronic Stability Control (ESC) di kawasan parkir Litar Antarabangsa Sepang. Di sana, semua peserta berpeluang merasai sendiri keupayaan Sonata menyelit di antara kon-kon yang telah disusun serta bagaimana sistem ESC mampu mengawal kenderaan daripada tersasar daripada laluannya.

SONY DSC

Berbeza dengan model terdahulu, Sonata menggunakan khidmat enjin NU MPi bersesaran2.0 liter yang baru. Enjin yang dilengkapi sistem Dual Continuously Variable Valve Timing (DCVVT) itu mampu menghasilkan kuasa sehingga 154PS dan tork puncak 194Nm.

Kuasa itu kemudian diagihkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam kelajuan. Rangkaian kuasa tersebut bukan sahaja menjanjikan pemanduan yang lancar, malah menjimatkan minyak.

Hyundai-Sonata-test-drive-mekanika (14)

Hyundai dilihat begitu yakin dengan ketahanan enjin dan kotak gearnya. Sebab itulah Sonata disertakan bersama jaminan selama lapan tahun atau perbatuan sejauh 300,000km untuk pemilik pertamanya.

SONY DSC

Hyundai ingin membawakan rasa premium dan ke ruang dalamannya. Ia dapat diserlahkan dengan baik menerusi susun atur butang kawalan serta rekaan papan pemuka yang kelihatan lebih luas dan kemas.

SONY DSC

Audio Visual Navigator (AVN) boleh didapati pada varian Elegance dan Executive. Dikuasakan oleh sistem operasi Android 4.4.2, ia boleh diakses melalui paparan skrin sentuh yang intuitif.

Jadi, pemandu dan penumpang boleh mengakses aplikasi yang terdapat pada Android seperti Waze, Spotify dan banyak lagi.

Hyundai-Sonata-test-drive-mekanika (11)

Tidak dapat dinafikan bahawa kualiti NVH kabin Sonata cukup bagus. Jarang sekali kedengaran bunyi bising menerjah ke dalam kabin. Kondisi itu sebenarnya turut dibantu oleh aspek aerodinamik yang telah dipertingkatkan.

Bahagian bawah Sonata dibina rata bagi mengurangkan halangan angin. Maka, tidak hairanlah jika Sonata mampu mencatat kadar pekali seretan cd 0.27, terbaik dalam kelasnya.

SONY DSC

Model baharu ini 35 milimeter lebih panjang. Sekali gus memberikan lebih ruang kaki untuk penumpang belakang. Ruang kargonya kini juga lebih luas iaitu 462L yang boleh memuatkan hingga empat buah beg golf dan empat beg Boston.

Bagi memudahkan pemandu, bahagian but Sonata dilengkapi sistem Smart Trunk. Anda hanya perlu berdiri berhampiran but dengan kunci pintar selama tiga saat dan penutupnya akan terbuka secara automatik.

 Hyundai-Sonata-test-drive-mekanika (15)

Harga? Varian Sonata Elegance Basic ditawarkan pada RM143,163 dan Elegance berharga RM149,845. Varian Executive pula boleh anda miliki pada harga RM158,053 seunit (di atas jalan termasuk insurans dan cukai jalan).

Warna yang boleh dipilih termasuklah putih, perak, kelabu, merah dan hitam.

Hyundai-Sonata-test-drive-mekanika (17)

Bukan itu sahaja, anda juga akan diberikan keahlian percuma selama 2 tahun untuk khidmat “concierge” khas, The Leader. Ahli-ahli The Leader boleh menikmati kelebihan VIP seperti akses ke Plaza Premium Lounge di lapangan terbang terpilih di Malaysia. Selain  khidmat pemandu percuma untuk pergi ke atau pulang daripada KLIA, LCCT atau Subang Skypark.

Menarik juga kan??

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button