Pandu Uji

KENAPA RAMAI SANGAT NAK BELI HONDA HR-V?

SUV kompak merupakan antara segmen kenderaan yang paling pantas berkembang di seluruh dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.  

Honda-HR-V-test-drive-Langkawi-mekanika (3)

Tidak terkecuali, tempias itu juga dirasai di Malaysia apabila hampir semua pengeluar kenderaan mula menawarkan produk masing-masing. Buktinya, pengguna tempatan kini boleh memilih untuk memiliki  model-model SUV kompak seperti Ford EcoSport, Mitsubishi ASX, Hyundai Tucson, Kia Sportage, Peugeot 2008 dan banyak lagi.

Honda nampaknya mahu turut sama merebut kek pasaran tersebut. Hasilnya, selepas lebih tiga tahun menjalani proses pembangunan, Honda HR-V diperkenalkan secara rasmi ke pasaran Malaysia pada 5 Februari lalu.

Honda-HR-V-test-drive-Langkawi-mekanika (13)

Sedia maklum bahawa HR-V dibina berasaskan kepada platform sedan Honda City dan model kompak Jazz. Tetapi, jangan tertipu. HR-V menawarkan lebih daripada kedua-dua model tersebut.

Jadi, tidak hairanlah jika sambutan terhadap Honda HR-V amat memberangsangkan. Sehinggakan pihak Honda Malaysia sendiri tidak sangka bahawa angka tempahan HR-V kini sudah pun melebihi 13,000 unit sejak dilancarkan kira-kira dua bulan lalu. Setakat ini, lebih 3,000 unit telah diserahkan kepada pembeli.

Honda-HR-V-test-drive-Langkawi-mekanika (10)

‘Masalah yang bagus’ itu membuatkan kilang Honda Malaysia di Pegoh, Melaka terpaksa meningkatkan kapasitinya. Ini bagi memendekkan tempoh menunggu yang kini mencecah enam bulan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno memberitahu, pihaknya sedang berusaha untuk mengurangkan masa menunggu kepada satu setengah bulan menjelang akhir tahun ini.

Honda-HR-V-test-drive-Langkawi-mekanika (4)

“Kami harap pelanggan dapat bersabar dan memahami situasi ini. Kami sememangnya berusaha sedaya upaya untuk mempercepatkan proses penghantaran HR-V kepada mereka,” kata Ueno.

Bagi mengetahui dengan lebih jelas tentang keistimewaan HR-V, sekumpulan wartawan telah dibawa ke Pulau Langkawi untuk memandu uji jentera tersebut. Sepanjang tiga hari dua malam di sana, beberapa sesi pandu uji dan perbandingan diadakan. Dengan tiga orang wartawan dalam setiap unit HR-V, setiap pemandu mempunyai masa yang cukup untuk menilai keupayaan sebenar HR-V.

Honda-HR-V-test-drive-Langkawi-mekanika (7)

Baiklah, antara ciri penting yang membuatkan HR-V berbeza dengan pesaingnya adalah pakej ruang yang ditawarkannya. Walaupun nampak kompak, ruang kargo HR-V seolah-olah  mampu menelan apa jua barang yang hendak diangkut.

Cuma turunkan tempat duduk belakang mengikut konfigurasi yang anda inginkan, kemudian ruang luas sudah tersedia untuk digunakan. Ini bukan sembang kosong kawan-kawan.

Honda-HR-V-test-drive-Langkawi-mekanika (8)

Perbandingan dengan sebuah SUV jenama lain jelas menunjukkan bahawa rekaan tangki minyak pada bahagian tengah platform, magic seat, lantai kargo rendah dan bukaan pintu belakang yang luas nyata membuatkan urusan memunggah masuk atau keluar barang menjadi semakin mudah.

Honda-HR-V-test-drive-Langkawi-mekanika (18)

Aspek prestasi HR-V diserahkan kepada unit enjin bersesaran 1.8 liter, sama seperti yang ada pada model Civic 1.8. Berupaya menjana kuasa sehingga 142PS dan tork makmisum 172Nm @ 4,300rpm, jentera ini tidak terasa berat, terutama ketika memandu di bandar.

Honda-HR-V-test-drive-Langkawi-mekanika (2)

Namun, ada sedikit kekurangan ketika hendak memotong kenderaan lain di lebuh raya. Kotak gear CVT itu bersikap seperti err… sebuah kotak gear CVT. Perlukan sedikit masa untuk memperoleh tujahan kuasa. Tetapi, harus tahu bahawa transmisi CVT dipilih kerana ia menawarkan lebih penjimatan bahan api.

Tidak dapat dinafikan bahawa HR-V memiliki penampilan yang cukup menarik. Reka bentuknya yang menggabungkan rekaan sebuah SUV dan coupe itu nyata menjadi. Dari arah hadapan, ia nampak garang dengan rekaan gril radiator, lampu utama nipis, lampu DRL LED (untuk varian V) dan lampu kabus yang kemas.

Honda-HR-V-test-drive-Langkawi-mekanika (12)

Profail sisi pula menyerlahkan citarasa sebuah coupe dengan garis badan yang menaik ke arah hendal pintu yang disembunyikan pada tiang C. Memang stailo, tetapi mungkin agak sukar dicapai oleh anak anda yang masih kecil. Bahagian belakang pula dimonopoli oleh gugusan lampu LED yang diletakkan di dalam perumah berbentuk tajam.

Honda-HR-V-test-drive-Langkawi-mekanika (14)

Masuk ke ruang kabin, pemandu dialu-alukan dengan kemasan material lembut pada kebanyakan kawasan yang sering disentuh. Bagi gred V, sistem audio dan pendingin hawa boleh dikawal menerusi skrin sentuh bersaiz tujuh inci dengan ciri kamera undur yang mudah untuk dioperasi.

Honda-HR-V-test-drive-Langkawi-mekanika (19)

Dari segi keselamatan pula, HR-V dilengkapi rangkaian sistem keselamatan yang tidak mengecewakan. Ia dipasang dengan enam beg udara (varian V), Vehicle Stability Assist (VSA), Emergency Stp Signal (ESS), ABS, EBD, ISOFIX dan banyak lagi.

Bagi menjangkau lebih ramai audien, Honda Malaysia menawarkan HR-V dalam tiga varian iaitu S, E dan V. Harganya pula ialah RM99,800 (S), RM108,800 (varian E) dan RM118,800 seunit bagi varian V.

Honda-HR-V-test-drive-Langkawi-mekanika (21)

Ia juga hadir bersama jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan. Oh ya, selang servisnya adalah setiap 10,000 kilometer.

OK. Sekarang anda dah tahu sebab-sebab utama kenapa ramai betul orang nak beli HR-V kan?

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button