Pandu Uji

MITSUBISHI ATTRAGE 1.2L

Sedia maklum bahawa sedan kepada Mitsubishi Mirage, dikenali sebagai Mitsubishi Attrage akan dilancarkan ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. Pengedar kenderaan Misubishi di Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengambil  langkah memperkenalkan Attrage kerana tahu pengguna tempatan mahukan sebuah sedan jenama Jepun yang boleh dipercayai dan mampu milik. 

Attrage sebenarnya dibangunkan daripa model sedan Concept G4 yang melakukan debut sewaktu Bangkok Motor Show pada Mac lalu. Empat bulan kemudian,  sedan Concept G4 dipamerkan pula di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur.

SONY DSC

Walaupun dibangun berasaskan kepada model Mirage, harus tahu bahawa Attrage bukan sekadar sebuah Mirage yang dipanjangkan dan ditambah dengan but. Ia sebenarnya lebih daripada itu.

Penampilan luaran Attrage memang mirip dengan Concept G4. Elemen moden sedan itu terserlah menerusi gril radiator berwarna krom bersama logo tiga bentuk berlian di atasnya.

SONY DSC

Bagi mengetahui sendiri kualiti pemanduan Attrage, sekumpulan wartawan diberi peluang oleh pihak MMM untuk memandu ujinya di Litar Bonanza International Speedway yang terletak di Khao Yai, Thailand.

Biarpun tempoh ujian dan jarak litarnya singkat, pandu uji tersebut sedikit sebanyak dapat memberikan tanggapan awal bagaimana karekter Attrage ketika dipecut dan mengambil selekoh di litar terbabit.

SONY DSC

Bagi tujuan perbandingan, Mitsubishi menyediakan beberapa buah model pesaingnya yang dijual di pasaran Thailand seperti Honda Brio Amaze, Nissan Almera dan Toyota Vios untuk dipandu uji. Jadi, dapatlah kami merasai perbezaan kualiti pemanduan semua sedan segmen B tersebut.

Sebagai sebuah kereta eco, Attrage hanya seberat di antara 885 hingga 930 kilogram, paling ringan dalam kelasnya. Ia dikuasakan oleh unit enjin tiga silinder yang sama seperti Mirage iaitu 1.2 liter MIVEC dan dipadankan sama ada dengan kotak gear manual lima kelajuan atau transmisi automatik CVT INVECS-III.

SONY DSC

Kombinasi semua elemen itu membolehkan Attrage memperoleh bacaan penggunaan bahan api mengagumkan untuk sebuah sedan iaitu 22 kilometer untuk setiap liter berdasarkan kepada New European Driving Cycle.

Sesi pandu uji saya mulakan dengan Attrage bertransmisi automatik (CVT). Jarak litar itu agak pendek, tetapi penganjur cuba untuk memanfaatkan setiap incinya dengan membuat beberapa seksyen melibatkan ujian slalom, menukar laluan, membrek, mengambil selekoh dan mendaki bukit.

Ujian slalom dilepasi dengan cemerlang apabila Attrage mampu mengikut maklum balas stereng dengan baik. Biarpun sterengnya terasa begitu ringan, namun ia tidaklah sampai pemandu kurang yakin ketika mengendalikannya.  Olengan tubuh juga minimum dan terkawal. Jadi, penumpang belakang boleh duduk dengan selesa.

SONY DSC

Jelas sekali gabungan suspensi topang MacPherson pada roda hadapan dan torsion beam di belakang yang dipasang pada kerangka tegar, dibina menggunakan besi regangan tinggi Attrage dapat berkolaborasi dengan cukup baik.

Enjin itu mampu menghamburkan kuasa sehingga 78PS dan tork maksimum 100Nm. Jadi, ia masih boleh menggerakkan Attrage secara sewajarnya. Sesekali, apabila pedal minyak ditekan keras, bunyi enjin tiga silinder itu dapat didengar dengan jelas dari dalam kabin. Jadi, kalau memandu sedan ini, relaks sahaja. Tidak perlu terlalu gelojoh.

Pemandu akan menghargai kotak gear CVT dengan cara membiarkan jentera memperoleh momentum kelajuannya sendiri, tidak perlu diperah berlebihan. Dengan cara itu, pemandu dapat merasai kelancarannya.

SONY DSC

Lagipun, harus ingat bahawa ini ialah kereta bandar yang sifatnya lebih seronok  dipandu dalam setting urban dengan jarak yang tidak terlalu jauh. Bukannya memecut di atas litar dan ‘menguji’ setiap selekoh yang ada.

Seperti diduga, ia terasa agak berat ketika mendaki. Namun, tidak perlu bimbang, Attrage tidaklah semput walaupun ia memerlukan sedikit masa untuk melunaskan tugas tersebut.

Bertukar kepada varian manual, kuasa enjinnya terasa lebih bermaya. Gear dapat ditukar dengan lancar, sekali gus kuasa boleh diekstrak lebih pantas. Menyentuh tentang aspek lain, ia tidak jauh berbeza dengan varian automatik. Cuma jumlah aksesori yang tidak ada berbanding varian automatik dapat disedari dengan ketara.

SONY DSC

Ruang kabin Attrage dibezakan mengikut variannya. Pastinya, versi paling mewah hadir dengan tempat duduk bersalut kulit, pendingin hawa automatik, kemasan krom pada butang kawalan audio, kamera pandang belakang serta paparan skrin sentuh bersaiz  6.5 inci, lengkap dengan navigasi, pemain DVD, MP3, Bluetooth dan USB.

Attrage juga dilengkapi cermin sisi boleh lipat, kemasan dalaman berwarna hitam, paparan multi-info dan sistem kemasukan tanpa kunci untuk kebanyakan variannya. Dari segi sistem keselamatan pula, sedan ini dipasang dengan beg udara, serta sistem brek ABS bersama EBD sebagai ciri standard.

Pendek kata, Attrage masih sebuah sedan segmen B yang seronok dan mudah dipandu. Cuma, mungkin ada yang skeptikal dengan enjin 1.2 liter itu. Tetapi, saya cadangkan supaya pandu uji dahulu dan buatlah penilaian yang adil. Enjin tersebut tidak direka untuk membolehkan anda mememnangi perlumbaan drag.

SONY DSC

Sebaliknya, enjin MIVEC yang dipadankan dengan kotak gear automatik CVT atau manual, ruang kabin luas dan kualiti pengendalian bagus sememangnya boleh menjadikan Attrage sebagai sebuah sedan bandar yang ideal untuk semua.

Saya membangkitkan isu kapasiti enjin kerana berbeza dengan pasaran Thailand, Attrage terpaksa bersaing secara langsung dengan Nissan Almera yang menggunakan enjin 1.5 liter. Malah, sedan itu juga perlu mengekang asakan daripada Toyota Vios dan Honda City yang dipasang dengan enjin berkapasiti sama.

Attrage dihasilkan di kilang Mitsubishi di Laem Chabang Industrial Estate di wilayah Chonburi, Thailand.  Dari segi versi yang akan dibawa ke pasaran Malaysia, tidak mustahil MMM akan menggunakan formula Mirage seperti varian GL M/T, GL CVT dan GS CVT. Varian-varian itu dibezakan oleh pilihan transmisi dan aksesori yang ada padanya.

[hr] Galeri 

SONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSC

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button