Pandu Uji

PANDU UJI: HONDA CRV. ADAKAH INI SUV YANG KITA TUNGGU-TUNGGU SELAMA NI?

Honda CR-V. Tak perlu diperkenalkan lagi. Sebuah SUV yang menjadi penanda aras baru bagi kenderaan sport utiliti yang direka khusus untuk keperluan urban. Walaupun bukan SUV monocoque yang pertama dihasilkan, ia adalah SUV yang telah diperbaiki dari generasi ke generasi dan menjadikannya cukup popular.

Kalau kau biasa ke pusat cuci kereta pun, sesetengah car wash mengkelaskan SUV sebagai CR-V (dan pikap 4X4 sebagai Hilux)

Begitulah besarnya pengaruh CR-V di pasaran Malaysia.

Pada waktu awal generasi pertama masuk ke Malaysia, ia hanya terdapat pada versi recond. Kenderaan Import keluaran 1995-2001 itu dibawa masuk dari Jepun dan ia laris bak apam balik depan Public Bank Setapak.

Pun begitu, hanya pada 2002 barulah Honda Malaysia membawa masuk secara rasmi model ini dan ironinya juga, Honda Malaysia bersendirian sejak 2002 hingga 2011 menjual CRV menjadikannya sangat laris dan popular. 

Sendirian? Ya. UMWT tak pernah bawa masuk RAV4 secara rasmi, Mazda ada Tribute, tetapi disebabkan ia berteknologi Ford (Escape), ia tidak popular. Mitsubishi pernah popular sekejap dengan Airtrek, Subaru macam biasa, mahal Forester dia dan satu-satunya SUV Jepun yang dijual rasmi ketika itu ialah Nissan X-Trail. 

Tapi dengan reka bentuk makcik-makcik, Nissan X-Trail tak berjaya menambat hati pasangan muda yang cuba berpindah dari sedan kepada SUV dalam kelas yang sama (Segmen C). Hanya selepas 2012, barulah CR-V benar-benar mendapat pesaingnya dari Mazda menerusi CX-5.

Di sinilah bermulanya CRV membina reputasi.

Pun begitu, sejak dari generasi kedua, SUV Honda ni ada satu masalah utama. Ia LEMAU. Enjinnya tak padan nak bawak badan purata 1.5 tan. Ia bukan untuk kau yang biasa bawak kereta secara agresif. Respon pendikitnya sekadar cukup-cukup sahaja.

Kecuali pada generasi keempat bila Honda Malaysia mula perkenalkan varian 2.4 liter (190 hp dan 222 paun tork). Bagi Abang Japar, itulah model CR-V yang mula dibuat secara serius.

Dan yang ini pula ialah generasi ke-5. Abang Japar percaya, mereka telah gabungkan kelemahan empat model sebelum ini dan satukan ia menjadi sebuah SUV yang hampir sempurna.

Kuasa? tiada masalah. Enjin 1.5 VTEC Turbo ini mampu hasilkan sejumlah 190hp dan 243 paun tork dan berat keseluruhannya ialah 1543kg. Enjin yang sama dengan Civic 1.5T itu telah ditala lebih baik dan lebih linear dan digabungkan dengan transmisi CVT tujuh kelajuan.

Walaupun pemerhati automotif sering mengkritik transmisi automatik CVT yang sinonim dengan masalah “lembik” atau rasa kenyal waktu memecut, realitinya bagi pengguna biasa, mereka tidak sedar pun.

Bagi Honda sendiri, setelah beberapa generasi menggunakan transmisi jenis ini dengan gandingan pelbagai jenis enjin, akhirnya formula terbaik telah ditemui. Transmisi CVT pada CR-V ini terasa lebih natural.

Kuasa dari enjin 1.5 turbo ini disalurkan ke permukaan jalan dengan responsif dan Abang Japar rasa, ini antara CVT terbaik yang pernah digunakan Honda pada kereta mereka. Ia langsung tidak sama dengan transmisi CVT pada Jazz GD atau Honda City ikan puyu.

PERJALANAN JAUH HONDA MALAYSIA

Sebelum Honda Malaysia menjadi syarikat yang sukses dengan menjual lebih 100K kenderaan setahun, mereka telah cuba memahami pasaran tempatan. Daripada “mencuba-cuba” model seperti Stream, Insight, Freed dan CR-Z, mereka akhirnya faham tentang apa yang dikehendaki oleh pengguna. 

Kini produk-produk Honda Malaysia lebih khusus. Walaupun sedikit, ia mencakupi pasaran setiap segmentasi kenderaan. Tuahnya pula, di setiap pasaran ini, mereka ada produk yang bagus dan sesetengahnya, sangat bagus.

CR-V adalah salah satu daripadanya. 

Selain sudah sempurna dari segi kuasa, CR-V mempunyai kemenangan mutlak dari segi saiz.

Ya. Honda sangat bagus menjadikan anda rasa setiap kereta mereka cukup luas bahagian kabinnya, sesuatu yang jarang menjadi fokus pengeluar dalam saingannya. Ketelitian setiap binaan bahagian dalamannya menjadi resepi keseluruhan.

CR-V 1.5TC 4WD ini sebenarnya lebih “kecil” berbanding model generasi sebelumnya. Ya. Ia kurang 40mm, dan lebarnya menguncup sebanyak 35mm. Tapi kabinnya masih cukup luas dan selesa sampaikan Abang Japar pun tak perasan yang SUV ni semakin kecil pun.

Di sinilah kebijaksanaan jurutera Honda merekabentuk setiap bahagian dalamannya. Papan pemuka itu sebenarnya lebih “nipis” menhadap kepada bahagian firewall. Setiap kerusi, panel pintu, konsol telah direka dengan cukup teliti bagi membolehkan setiap bahagian pemandu dan penumpang (bahu, kepala dan kick panel) terasa luas dan lapang.

Itu belum lagi kau tengok saiz butnya. Jika, kau jenis yang suka balik kampung atau bini jenis segala benda dia nak bawak balik, maka inilah SUV yang sesuai. Kalau masih tak muat juga, maka kau kena beli trak pikap. 

Satu lagi benda yang menarik di bahagian papan instrumentasi CR-V ni ialah komponen audionya yang diintegrasikan bersama di bahagian tengah. Susunan suis pendingin hawa, rekaletak konsol gear, tuil brek parkir automatik adalah tipikal Honda, ringkas dan mengutamakan fungsi. 

Pun begitu bentangan meter utamanya lebih futuristik menerusi penggunaan grafik digital LED sepenuhnya. Tak tahu orang lain, tapi Abang Japar lebih suka meter jenis konvensional. 

PENGENDALIAN

Tidak banyak SUV jenama Jepun yang mempunyai karekteristik seperti CR-V yang masih mengekalkan keselesaan. Jika dibandingkan dengan CX-5 yang lebih rigid dan tegar, CR-V lebih toleran terutamanya bila melalui jalan tidak rata. Mungkin X-TRAIL lebih selesa dari sudut ini namun seperti juga mana-mana fokus pengendalian, setiap pengeluar mempunyai matlamat yang berbeza.

Secara peribadi, Abang Japar rasa, hanya SUV premium sahaja yang mempunyai karekteristik kedua-duanya iaitu selesa dan stabil. Tapi berapa berapa pulak harganya si Harrier, XC60, NX200T, X3, Q5 kan?

Walapun ini adalah model massa, ternyata Honda tidak kedekut untuk melabur di bahagian NVH (noise, vibration, harshness). Kabinnya terasa lebih senyap. Terima kasih dengan enjin dengan induksi pendesak turbo 1.5TC yang tak perlu bekerja keras seperti enjin N/A 2.4 untuk mencapai puncak kuasa. 

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, Abang Japar rasa, ia adalah sebuah SUV yang wajar disenarai pendekkan untuk kau yang merancang untuk membeli SUV urban segmen C. 

CR-V 1.5 TC 4WD ni mungkin antara yang benar-benar memikat hati Abang Japar tentang SUV jenama Jepun. Akhirnya, Honda sudah hasilkan SUV yang hampir lengkap dari segenap aspek. 

Pada harga RM167K, ia RM26K lebih mahal dari varian 2.0 liter. Mungkin pada sesetengah orang, SUV segmen C dengan harga begitu agak tinggi. 

Ya. Abang Japar setuju. Tapi inilah julat harga bagi model spesifikasi tinggi bagi mana-mana jenama lain pun. 

Apa yang terbaik ialah kau kena test dulu setiap model ni sebelum beli.  

GALERI

[ngg_images source=”galleries” container_ids=”159″ display_type=”photocrati-nextgen_basic_thumbnails” override_thumbnail_settings=”1″ thumbnail_width=”100″ thumbnail_height=”80″ thumbnail_crop=”1″ images_per_page=”20″ number_of_columns=”5″ ajax_pagination=”0″ show_all_in_lightbox=”0″ use_imagebrowser_effect=”0″ show_slideshow_link=”0″ slideshow_link_text=”[Show slideshow]” order_by=”sortorder” order_direction=”ASC” returns=”included” maximum_entity_count=”5000″]
Google ads
Back to top button