Pandu Uji

PANDU UJI: HYUNDAI ELANTRA SPORT 1.6 TURBO – ALTERNATIF TERBAIK SEDAN SEGMEN C DENGAN ENJIN TURBO? 

Tidak dapat dinafikan bahawa perkembangan industri dan teknologi automotif Korea memang hebat.

Jenama yang dahulunya menjadi bahan gurauan, kini sudah mampu mencabar nama-nama senior dalam industri. Ia juga menjadi antara jenama pilihan, bukan setakat di negara kelahirannya, malah di Eropah dan Asia Barat.

Di Malaysia, jenama kereta Korea iaitu Hyundai dan Kia secara relatifnya masih kecil. Jika dilihat secara menyeluruh, pengguna di negara ini nampaknya masih setia terhadap jenama Jepun atau buatan tempatan. Situasi itu sebenarnya berkait rapat dengan aspek kebolehpercayaan, harga dan nilai jualan semula. 

Biarpun begitu, keadaan tersebut tidak pernah mematahkan semangat Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) untuk terus menawarkan produk terbaharu ke pasaran tempatan. BUktinya pada Jun lalu menyaksikan sedan segmen C menerima tawaran baru dalam bentuk sebuah Hyundai Elantra.

Elantra bukanlah nama asing, ia sudah memasuki generasi keenam dan menjadi antara model penting untuk Hyundai. Agar lebih kompetitif, generasi terkini Elantra yang juga dikenali sebagai AD itu ditawarkan dalam tiga varian – GLS Executive, GLS 2.0 Dynamic dan Sport 1.6 Turbo.

Dari segi harga pula, GLS Executive berharga RM116,388 seunit, GLS 2.0 Dynamic (RM120,588) dan varian tertinggi Sport 1.6 Turbo boleh anda miliki pada harga RM131,488 (di atas jalan tidak termasuk insurans).

Bagi memudahkan bacaan, rebiu kali ini hanya bertumpu kepada model Sport 1.6 Turbo yang lebih mengujakan.

Dalam sedan segmen C yang kian dilupakan oleh pengguna, Elantra Sport 1.6 Turbo bersaing dengan model-model seperti  Honda Civic, Volkswagen Jetta dan Ford Focus yang turut dipasang enjin turbo.

Persoalannya, mampukah Elantra mengalahkan model-model yang telah disebutkan tadi, atau sekurang-kurangnya membuatkan bakal pembeli memasukkan Elantra ke dalam senarai akhir sebelum keputusan pembelian dibuat?

Bukan mudah, tetapi anda perlu lebih terbuka untuk menerima kelebihan dan kekurangan Elantra ini.

Elantra Sport 1.6 Turbo menggunakan khidmat enjin Gamma T-GDI berkapasiti 1.6 liter dengan kuasa 204PS dan tork 265Nm. Kuasa tersebut disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan.

Memandu kereta ini memang menyeronokkan. Enjinnya memberi respon yang cukup baik terutama ketika rpm berada dalam julat rendah dan sederhana. Kuasa pecutan juga boleh dirasai hampir serta-merta, terima kasih kepada transmisi DCT yang berupaya menukar kedudukan gear dengan pantas dan tepat. Tetapi masih tidak sebagus kotak gear DSG daripada Volkswagen.

Saya juga mengharapkan rasa stereng yang lebih mantap. Ini kerana stereng bantuan elektrik itu terasa agak ringan dan kurang meyakinkan, terutama ketika ia dipandu jauh melebihi had kelajuan yang dibenarkan.

Biarpun begitu, talaan suspensinya lebih keras berbanding varian yang dikuasakan oleh enjin Nu MPI bersesaran 2.0 liter. Harus tahu juga bahawa gandar belakangnya dipasang dengan suspensi jenis multilink.

Hasilnya, sedan itu rasa lebih dinamik apabila mengambil selekoh pada kelajuan tinggi daripada biasa. Olengan tubuh juga dipastikan pada tahap yang minimum sepanjang masa. 

Memandu laju di dalam Elantra Sport 1.6 Turbo, pemandu dapat rasai kualiti NVH boleh dipuji. Bunyi bising dan angin di luar sukar didengar dari dalam kabin.

Dari segi penampilan luaran, jentera itu tampil lebih sporty dengan gril radiator berwana hitam bersama kemasan krom yang lebar. Anda tidak akan tersilap dengan varian lain kerana perkataan ‘Turbo’ berwarna merah ada dilekatkan di sana.

Sepasang lampu utama HID dan lampu nyalaan siang (DRL) LED yang dipasang pada bampar itu kelihatan lebih agresif. Dari arah sisi, falsafah reka bentuk Fluidic Sculpture 2.0 dapat dilihat dengan jelas. Cuma kali ini, saya rasa ia lebih matang dan tidak berlebih-lebih seperti versi Fluidic Sculpture 1.0.

Bahagian belakang diserlahkan dengan sepasang lampu tiga jalur LED, bampar lebih sporty lengkap bersama peresap udara dan paip eksoz berkembar. Penampilan disemprunakan lagi dengan rekaan rim bersaiz 17 inci yang sporty. 

Masuk ke dalam kabin, anda disambut oleh gabungan warna merah dan hitam pada tempat duduk dan panel pintunya. Ya, saya faham ini ialah versi sport. Tetapi, tidak perlu rasanya menggunakan warna merah menyala sebegitu. Sebaliknya, saya lebih sukakan tona hitam dan kelabu yang diaplikasikan pada varian GLS 2.0 Dynamic.

Harus tahu juga, tidak kira apa warna luaran yang anda pilih, warna merah itu akan tetap datang bersama dengan varian tertinggi ini. Hmmmm…

Berbanding dengan Honda Civic, bentangan papan pemuka dan meter analog pada Elantra Sport 1.6 Turbo nampak agak ketinggalan. Mujur juga ada papan TFT LCD di tengah-tengah meter analog tersebut yang memaparkan pelbagai maklumat penting pemanduan.

Skrin sentuh yang menghuni bahagian tengah papan pemuka itu dilengkapi ciri Apple CarPlay, Android Auto dan kamera undur untuk kemudahan pemandu.

Duduk di bahagian belakang, anda dapat merasai bahawa posisi kerusinya cukup selesa. Tidak terlalu menegak dan lebar sokongan pada bahagian peha adalah memuaskan. Walaupun dilengkapi corong pendingin hawa, penumpang pasti sedikit kecewa kerana tiada port USB untuk mengecas peranti disertakan.

Menyentuh aspek keselamatan pula, Elantra Sport 1.6 Turbo dilihat lebih bersedia apabila menawarkan enam beg udara, ISOFIX, ABS, EBD, BA, ESC, VSM, Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan banyak lagi.

Apa yang pasti, Elantra Sport 1.6 Turbo bukanlah semua sedan segmen C yang sempurna. Tetapi ia tetap mempunyai banyak kelebihan tersendiri untuk membolehkannya menjadi satu alternatif terbaik untuk mereka yang ingin lari dari kebiasaan.

GALERI

Google ads
Back to top button