Pandu Uji

PANDU UJI: KIA PICANTO 2018 – HARGA DAH MURAH, SPEC MEMANG TERBAIK, APA LAGI KURANGNYA?

Kena akui bahawa sejak azali lagi, kereta kompak sama ada segmen A atau B di Malaysia hanya dimonopoli oleh satu jenama sahaja iaitu Perodua.

Bermula dari zaman Kancil, Kelisa, Viva, Axia dan kini Myvi, produk keluaran Perodua tidak pernah gagal menarik minat pengguna yang mahukan sebuah kereta pertama atau kenderaan belasahan untuk dibawa ke mana-mana sahaja.

Disebabkan oleh populariti dan rangkaian luas pilihan yang diberikan oleh Perodua, pesaing-pesaing yang lain seolah-olah dilihat seperti hendak cukupkan korum sahaja. Sedangkan jika diteliti, ada model yang berbaloi untuk anda nilai dengan lebih dekat lagi.

Terima lah Kia Picanto, model kompak yang dikenali sebagai Kia Morning di pasaran Korea Selatan. Cukup popular di Eropah dan Korea Selatan, Picanto yang sudah memasuki generasi ketiga itu tampil dengan spesifikasi yang sukar diketepikan begitu sahaja.

Harus tahu bahawa apabila Picanto generasi kedua mula-mula diperkenalkan pada Oktober 2013, ia ditawarkan pada harga bermula RM54,888 hingga RM59,888 (di atas jalan tidak termasuk insurans).

Pastinya, dengan harga sebegitu ia gagal menarik ramai pengguna untuk memilikinya. Walaupun spesifikasi yang ditawarkan boleh kata terbaik dalam segmennya ketika itu. Tetapi, terdapat beberapa orang media pemotoran tempatan yang membeli Picanto. Ini memberi isyarat jelas bahawa ia mempunyai kelebihan yang mungkin tidak diambil peduli oleh orang lain.

Faham dengan pengguna tempatan yang cukup sensitif dengan harga, Kia Malaysia membuat kejutan apabila menawarkan Picanto serba baharu pada harga RM49,888 sahaja. Harga itu boleh dikatakan sebagai sangat kompetitif jika dibandingkan dengan pakej yang mampu diberikan oleh Picanto.

Saya sempat mengikuti sesi pandu uji Picanto yang dianjurkan oleh Kia Malaysia ke Melaka baru-baru ini. Ya, tempoh itu tidaklah lama. Pergi pagi, petang dah balik.

Biarpun jarak perjalanan pergi balik itu tidak sampai pun 300km, tetapi gabungan laluan kampung, lebuh raya dan bandar itu sudah cukup untuk mengetahui keupayaan sebenar Picanto.

Berbanding generasi terdahulu, Picanto telah menerima penambahbaikan dari semua segi. Sama ada reka bentuk, kemasan dalaman, dimensi dan banyak lagi.

Picanto kini tampil dengan rekaan luaran yang lebih kemas. Perubahan pertama yang boleh anda lihat adalah pada gril radiator, sepasang lampu nyalaan siang (DRL) LED dan lampu utama jenis projektor halogen lebih nipis pada bahagian hadapannya.

Penampilan itu disempurnakan lagi dengan rim aloi bersaiz 14 inci dan sepasang lampu LED di belakang.

Masuk ke dalam kabin, sesiapa sahaja pasti mengakui tentang kualiti buatannya. Susun atur, sistem infotaimen, kualiti meterial yang digunakan tidak nampak langsung macam seperti kereta bajet.

Bagi mereka yang bergantung sepenuhnya kepada telefon pintar, sistem audio dengan skrin sentuh bersaiz tujuh inci itu didatangkan dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto.     Tidak terkecuali kamera untuk untuk memudahkan urusan memarkir kenderaan.

Biarpun kereta ini kelihatan kompak, ruang tempat duduk di hadapan dan belakang masih selesa. Jika anda bersaiz sederhana, tiada apa yang perlu dirungutkan ketika berada di dalam kabin ini. Untuk meningkatkan lagi keselesaan penumpang, penyandar belakang telah dicondongkan sedikit.

Jika hendak pulang ke kampung atau pergi bercuti hujung minggu, tidak perlu bimbang tempat untuk mengisi beg pakaian. Ini kerana ruang but Picanto yang seluas 225 liter dan boleh menjadi 1,010 liter apabila tempat duduk belakang dilipat, pasti dapat memenuhi keperluan anda.

Picanto masih menggunakan enjin empat silinder aspirasi biasa bersesaran 1.25 liter. Biarpun begitu, kuasanya kurang sedikit (84PS/122Nm tork) berbanding enjin pada model terdahulu.

Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik empat kelajuan. Manakala transmisi manual lima kelajuan tidak lagi ditawarkan. Kita nampaknya (buat masa sekarang) tidak akan menerima enjin 1.0 turbo yang mampu menjana kuasa sehingga 100PS dan tork 172Nm. Kalau ada mesti lagi menarik. 

Sepanjang memandu Picanto, saya tidak ada sebarang komplen tentang prestasi enjin dan transmisinya. Maklum balas enjin dan kepantasan pertukaran gear masih bagus, walaupun anda perlu rev sedikit untuk mendapatkan kuasanya. 

Apa yang penting, respons stereng tiga jejari itu adalah tepat dan tidak rasa terlalu ringan.

Tahap kesenyapan kabin boleh dikatakan agak baik. Cuma sesekali bunyi enjin menerjah masuk apabila pedal ditekan keras. Kualiti penyerapan oleh sistem suspensi juga tidak mengecewakan. Dengan talaan suspensi yang bagus, pemandu akan berasa yakin untuk melayan selekoh pada kelajuan sedikit tinggi.

Kesimpulannya, Picanto baharu ini boleh menjadi alternatif terbaik buat anda yang bukan sahaja mahukan kelainan, tetapi sebuah kereta kompak yang bernilai untuk wang.

GALERI

Google ads
Back to top button