PANDU UJI – MARI DENGAR APA KATA LELAKI KODIANG INI TENTANG PROTON PREVE

SHARE

Tak tahu di mana silapnya, apabila topik perbincangan kereta penumpang segmen C dibincangkan (Civic, Altis, Sylphy, Cerato, Elantra, Jetta), ramai yang terlepas pandang kereta ini. Proton Preve.

Mungkin kerana harganya yang terletak dalam wilayah segmen B, Preve terpinggir dari senarai kereta penumpang pilihan pembeli tempatan dalam segmen tersebut.

BACA: PANDU UJI PROTON ERTIGA, MPV KOMPAK YANG PRAKTIKAL

Tidak dinafikan bahawa sejak sedekad yang lepas, pasaran segmen C semakin menguncup. Ia bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah hampir di seluruh dunia.

Di Jepun misalnya, Honda Civic tidak dijual, Mitsubishi Lancer sudah dihentikan pengeluarannya dan model-model segmen B mula “membesar” dengan ciri-ciri semasa yang dimiliki segmen C. Pengenalan SUV dari pelbagai segmen juga menjadi antara penyebab segmen C semakin mengecil.

Maka, kehadiran Honda City, Vios, Almera mula mengambilalih pasaran asal. Tapi kenapa?

HARGA.

Di pasaran hari ini, kereta segmen C mula melepasi paras harga enam digit, sementara segmen B pula menawarkan pilihan lebih luas dengan ciri-ciri penuh sedan C yang ditawarkan pada harga lebih kompetitif – sekitar RM70,000 hingga RM90,000.

Dan disini, Preve cuba mencuri peluang. Dengan saiz Civic tapi dijual pada harga City, secara teorinya Preve sebenarnya lebih bernilai untuk setiap sen yang dibelanjakan.

PERJALANAN SEBUAH PREVE

Sejak dilancarkan pada 2012, saya tidak pernah menguji pandu Preve. Cuma berpeluang beberapa kali menjadi penumpang dalam kenderaan Uber dan juga menaiki kereta kawan.

Sebetulnya juga, saya memang tidak suka memandu di Kuala Lumpur dan kenderaan harian saya ialah motosikal berkuasa rendah.

Sehinggalah pihak media Proton menawarkan kereta untuk “dipinjam” bulan lepas. Secara kebetulan, saya perlu memandu untuk berulang-alik ke hospital menghantar emak menjalani pemeriksaan dan pembedahan mata.

Kita sering terdengar kritikan tentang kualiti Proton selepas setahun. Longgar, bising dan bergegar sana sini. Aspek kualiti dan selepas jualan sering menjadi isu jenama ini dan untuk berlaku adil, saya meminta agar diberikan unit Preve yang telah “dibelasah”.

Dan ini ialah keretanya. Ia telah mencatat perbatuan 14,100 kilometer, didaftarkan hampir dua tahun lepas dan boleh lihat bahagian pakai lusuh dalamannya.

Perehat tangan, konsol tengah, tuil gear, stereng dan bahagian yang selalu disentuh mula nampak terhakis. Ya. Ia kereta yang telah dipandu dan bukan hanya diparkir di dalam garaj.

PREMIUM CVT 1.6 TURBO

Ini ialah model 1.6 Premium CVT yang mempunyai hampir segala spesifikasi yang diperlukan Proton untuk bersaing dengan jenama mainstream.

Tidak ada kereta dalam rangkaiannya yang menawarkan ENAM beg udara, Brake Assist, Kawalan Traksi (Traction Control), ABS dab EBD dan mungkin ramai yang terlupa juga suspensi bebas kereta ini dibina pada sambungan multilink. (kena bagitahu juga lah sebab kau mungkin lupa, majoriti segmen B pakai torsion beam)

Enjin 1.6 CFE yang dibekalkan pada sedan ini menghasilkan 138hp @5000 rpm dan tork 205Nm. Pun begitu, unit pendesak dari tekanan turbo kecil ini tidaklah membuatkan anda “melekat” di kerusi ketika pedal di tekan paksa.

Ia ditala secara linear bagi menghasilkan kuasa dakian pada RPM rendah hingga pertengahan. Digandingkan dengan transmisi CVT ProTronic, ia adalah sedan Proton paling sempurna yang boleh anda beli dari pusat jualan Proton hari ini.

Dari segi teknologi, saya percaya, enjin ini sudah sampai ke kemuncak kejuruteraan dari unit asal S4PH yang dibangunkan lebih 10 tahun yang lepas. Walaupun dengan unit turbo, ia tidak boleh dibandingkan dengan Jetta 1.4 pun.

“Kalau tak ada G-Force macam kereta Volkswagen, mana best bro,” kata Eddy Irwan – lelaki Kodiang yang kami jemput untuk beri pandangan tentang kereta ini.

“Begini, ini adalah enjin yang dibangunkan atas pelantar sedia ada. Ia adalah enjin Campro asal yang dipasangkan dengan pendesak turbo. Sebuah enjin N/A (normally aspirated) yang “dibina” semula dengan turbo bertekanan rendah, bukan sebuah enjin force induction yang dibangunkan dari awal,” ujar Abang Japar.

“Lengkok kuasa Preve CFE ini lebih menyerupai Civic 1.5 turbo berbanding Jetta 1.4,” ujar Abang Japar menyebabkan lelaki Kodiang tadi mengangguk-angguk tanda setuju (atau mungkin pura-pura faham sebab takut kena tinggal di lokasi penggambaran)

APA KATA LELAKI KODIANG INI TENTANG PREVE?

Nama penuh beliau ialah Eddy Irwan, seorang jurutera teknologi maklumat yang memiliki Proton Savvy dan sebuah Toyota Vellfire – gelaran yang kami beri untuk Naza Ria beliau.

Kacak, berasal dari Pulau Pinang, berumur lewat 30-an, menunggang motosikal Yamaha LC 135 dan baru membeli Triumph Street Triple 675 (tapi masih menggunakan lesen L).

“Aku rasa power dia macam sedang cukup saja untuk enjin 1.6, naik bukit Karak macam tak perlu paksa sangat,” ujar beliau cuba mentakrifkan kuasa dalam bahasa mudah.

“Bawak dalam bandar haritu tak dapat nak bezakan sangat sebab “pikap” rasa macam biasa saja. Tapi bila naik bukit, nak memotong memang senang,” ujar beliau sambil mulutnya mengunyah keropok udang.

Untuk makluman, beliau memang tidak pernah lupa membeli makanan bila ke mana sahaja. Pergi tengok lumba drag di Sepang pun dia punya bekalan makanan macam nak pergi berkelah di Port Dickson.

“Cuma aku rasa hang kena bagitau Proton kena perbaik bunyi dia, bila tekan pedal cepat, macam bising sikit dari bawah dashboard,” sambil menunjuk arah belakang firewall papan instrumentasi.

Sebenarnya , beliau cuba jelaskan bunyi nyaring CVT yang agak jelas bila dipandu secara tergesa-gesa. Yang ini, memang saya setuju, Proton perlu lakukan penambahbaikan sebagaimana model-model terkini Saga, Persona dan Iriz yang lebih senyap.

“Apa lagi hang nak komplen?,” – tanya Abang Japar sambil memegang kayu besbol dan menjeling ke arah kerusi pemandu yang kelihatan sisa makanan.

Berikut adalah senarai yang diberikan oleh saudara Eddy Irwan

  • Kunci – beliau lebih suka jenis penghidup terus seperti Iriz, tanpa perlu memasukkan alat kawalan jauh dalam perumah kunci.
  • Pemain utama double DIN tidak cukup sensitif, perlu ditekan kuat atas skrin sesentuh nya.
  • Kalau ada kamera undur lebih bagus.
  • Rekaaan latarbelakang meter tengah, kalau boleh tukar dari warna merah kepada hitam putih atau putih hitam. Atau lebih baik LCD berwarna.

Apa yang beliau suka tentang Preve?

  • Rekabentuk – kereta ni ada dimensi moden, ada ciri-ciri sporty dan menarik dilihat, tak jemu.
  • Pemanduan – memang seronok, bawak laju tak bergoyang katanya.
  • Dalaman, kemasan dashboard paling dia suka, dia tak sangka yang kereta ni dah dibuat sejak tahun 2012 lagi. Nampak moden, kukuh dan lebih penting, memang kalis calar kerana anaknya suka bermain dan bergurau dalam kereta. Panel plastik Naza Ria beliau dah serupa dinding tadika.
  • Harga. RM74,000 untuk model dengan semua ciri-ciri yang ada (itupun setelah Abang Japar terangkan dengan panjang lebar fungsi ABS/EBD keperluan Airbag dan sebagainya). Ia semestinya kereta yang hampir mencapai status sempurna.

Jadi, begitulah serba sedikit pandangan dari seorang yang tidak terlalu kritikal tentang teknologi automotif hari ini.

Realitinya, ia mewakili sebahagian besar pembeli hari ini yang kadangkala lebih melihat kecanggihan sistem multimedia berbanding pakej keseluruhan sesebuah kereta.

Sebagai contoh, masih ada lagi yang mempersoalkan tentang kos menukar talisawat (timing belt) yang mahal berbanding timing chain yang lebih tahan lama katanya.

Kau beli kereta RM70K, tapi tukar timing belt RM1K yang datang entah 3 tahun sekali pun komplen, maknanya apa?

Kau belum mampu pakai kereta bro.

GALERI

(Visited 15,568 times, 35 visits today)

Share this post

scroll to top