Pandu Uji

PANDU UJI: MITSUBISHI OUTLANDER 2.0L 4WD CKD – SUV IDEAL UNTUK KELUARGA

Sama ada kita perasan atau tidak, Mitsubishi merupakan antara jenama terawal yang menawarkan SUV ke pasaran Malaysia.

Sebagai contoh, lama sebelum Honda HR-V popular di pasaran, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) sudahpun ada ASX untuk segmen SUV bersaiz kecil.

Kalau dilihat kepada segmen SUV segmen C pula, MMM suatu ketika dahulu tampil dengan model Airtrek. Walaupun sukar sekali untuk bersaing dengan model SUV yang lebih dominan seperti Honda CR-V, Nissan X-Trail dan sebagainya, namun sekurang-kurangnya Mitsubishi masih dapat memberi pilihan kepada orang ramai.

BACA: MITSUBISHI BANGKIT – MAHU PERKENALKAN 11 MODEL DALAM MASA 3 TAHUN

Kini, pada tahun 2017 yang menyaksikan SUV menjadi semakin popular dalam kalangan pengguna, MMM mahu menyediakan sebuah jentera yang ideal untuk semua. Terimalah Mitsubishi Outlander yang mula diperkenalkan ke pasaran tempatan dalam bentuk CBU pada April 2016.

Outlander CBU hanya hadir melalui satu varian iaitu 2.4 liter 4WD pada harga sekitar RM166,000 seunit. Memandangkan kelompok yang mampu membeli pada julat harga sebegitu tidak besar, MMM mengambil keputusan untuk menawarkan pula Outlander pemasangan tempatan (CKD) pada Oktober lalu.

Sama seperti model CBU, Outlander CKD juga didatangkan dalam hanya satu varian iaitu 2.0L 4WD. Apabila sudah mendapat status CKD, SUV yang dipasang di kilang milik Tan Chong di Segambut itu hadir dengan pengurangan harga yang cukup ketara.

Harganya sekarang ialah RM139,988 seunit, RM30,000 lebih murah berbanding model CBU. Harga yang kompetitif itu semestinya memberi kelebihan untuk Outlander bersaing merebut hati lebih ramai pembeli.

Memasuki generasi ketiga dan muncul buat kali pertama pada tahun 2012, Outlander  yang merupakan model gantian Airtrek itu dilihat lebih matang dari setiap segi.

Untuk mengetahui sendiri keupayaan Outlander 2.0L 4WD CKD, sekumpulan wartawan dijemput oleh MMM untuk satu sesi pandu uji ringkas ke Janda Baik, Pahang baru-baru ini.

Pandu uji tersebut dimulakan di kawasan parkir Stadium Shah Alam bagi menguji keunikan ciri 4WD ECO, 4WD Auto dan 4WD Lock. Ujian itu cukup ringkas. Peserta hanya perlu memandu Outlander mengikut kon yang telah disusun pada kelajuan ditetapkan di atas permukaan yang dibasahkan. 

Pada pusingan pertama, Outlander diletakkan dalam mode 4WD ECO sebelum ditukar kepada 4WD Auto. Walaupun ia nampak mudah, ujian itu jelas menunjukkan perbezaan di mana pemandu akan rasa badan kenderaan kurang olengan ketika menggunakan mode 4WD Auto berbanding 4WD ECO.

BACA: MITSUBISHI EVO AKAN DATANG BENTUK CROSSOVER? 

Pandu uji diteruskan ke Janda Baik, Pahang dengan melalui gabungan lebuh raya Karak dan laluan kampung sejauh 217km (pergi balik). Sepanjang memandu jentera ini, saya boleh katakan bahawa Outlander dapat menawarkan kualiti pemanduan dan pengendalian yang memuaskan.

Jika ada yang skeptikal dengan kuasa enjin DOHC MIVEC bersesaran 2.0 liter itu, anda boleh simpan sahaja kebimbangan. Biarpun hanya mampu menjana kuasa sekitar 145PS dan tork 196Nm, ia tidak rasa termengah-mengah untuk memanjat laluan berbukit yang terhidang sepanjang perjalanan ke Janda Baik.

Harus tahu juga bahawa enjin yang turut digunakan pada ASX itu telah ditambah baik,  lebih ringan dan 10 peratus lebih senyap. Dipadankan dengan kotak gear INVECS-III CVT,  agihan kuasa adalah memuaskan. Penggunaan bahan api yang berjaya dicatat adalah sekitar 13.7km/l, agak bagus untuk sebuah kenderaan tujuh tempat duduk bersama pacuan empat roda.

Outlander menjanjikan pengendalian yang menyakinkan. Ini terbukti ketika kami pulang dari Janda Baik menuju ke Subang apabila hujan turun dengan lebat hampir sepanjang perjalanan. 

Sistem pacuan AWD itu memastikan tayar sentiasa mencengkam dalam apa jua situasi dan permukaan jalan. Satu ciri yang pasti melegakan hati, terutama apabila membawa mereka yang tersayang.

Aspek keselamatan dimantapkan lagi dengan tawaran tujuh beg udara, kawalan cengkaman, Hill Start Assist, Active Stability Control dan amaran supaya pemandu bererhat selepas beberapa jam memandu.    

Ketika SUV lain (kecuali Nissan X-Trail baharu) hadir dengan kapasiti lima tempat duduk, Outlander tampil lebih menyerlah dengan keupayaan membawa tujuh orang penumpang. Lebih menarik lagi, dua kerusi di baris ketiga masih mampu menempatkan anak kecil dengan selesa.

Ruang kaki agak luas, tetapi mungkin untuk jarak perjalanan yang sederhana. Jika terlalu jauh, penumpang di tempat duduk ketiga pasti akan berasa penat. Jika tiada penumpang, tempat duduk baris kedua dan ketiga boleh dilipat dengan mudah untuk menyediakan ruang kargo seluas 1,608 liter.

Dari segi penampilan, Outlander CKD menyerlah dengan bahasa rekaan baharu Mitsubishi. Bahagian hadapan dilengkapi gril radiator krom yang lebar sehingga ke bampar bawah. Sepasang lampu halogen dan lampu kabus juga dipasang untuk melengkapkan rupanya yang garang.

Bagi mereka yang sedang mencari sebuah SUV, tidak salah untuk memandu uji Outlander CKD ini. Bagi saya, pakej yang ditawarkan sememangnya berbaloi dengan harga yang diminta.

GALERI 

 

Google ads
Back to top button