Pandu Uji

PANDU UJI: PEUGEOT 3008 – PENUHI SEGALA EKSPEKTASI

Dipilih sebagai penerima anugerah Kereta Terbaik Eropah tahun 2017 sememangnya berjaya membuatkan pengguna kembali menoleh kepada jentera terbaharu yang ditawarkan oleh Nasim Sdn. Bhd. ini. 

Harus diakui, selepas model hatchback 308, jenama Peugeot dilihat seperti bergelut untuk kekal relevan dalam pasaran tempatan yang lebih cenderung kepada produk buatan dari Jepun atau nasional.

Justeru, kehadiran 3008 nyata memberi alternatif terbaik buat mereka yang mahu tampil berbeza. Malah, jentera tersebut hadir dengan pakej lengkap dari segi gayaan menarik, teknologi inovatif dan pengalaman pemanduan yang memuaskan hati.

Untuk pasaran Malaysia, Nasim menawarkan 3008 dalam dua varian iaitu Active dan Allure. Jika dilihat pada harganya, ia masih kompetitif. Varian Active boleh anda miliki pada harga RM142,888 seunit. Manakala varian Allure pula berharga RM155, 888 (di atas jalan tidak termasuk insurans).

Saya sempat memandu uji varian tertingginya, Allure. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hampir semua yang pernah memandu SUV ini mengakui bahawa ia sebuah jentera yang cukup cantik, sama ada dari dalaman atau luarannya.

Baru memasuki generai kedua, 3008 menerima perubahan total berbanding model sebelumnya. Kalau dulu bosannya bukan main, 3008 sekarang boleh anda pandu dengan bangga ke mana-mana sahaja.

Rekaan luarannya kini lebih maskulin dengan rekaan lebih bersegi dan garis-garis tajam. Bahagian hadapan diserlahkan menerusi gril radiator besar, diapit oleh sepasang lampu utama LED dan lampu nyalaan siang.

Tidak berakhir di situ sahaja, bahagian bawahnya dipasang dengan kemasan berwarna kontras, garang betul.   

Anda tidak akan tersalah 3008 dengan SUV lain kerana lampu belakang dilekat kemas di dalam perumah berwarna hitam. Rekaan elegen tersebut ditambah dengan spoiler pada bumbung dan kemasan krom pada bahagian bawah bamparnya.

Kalau rekaan luaran yang elegan itu masih tidak memuaskan hati anda, sila masuk ke dalam ruang kabinnnya. Haaa… Di sinilah sesiapa sahaja akan bersetuju bahawa reka letak kabin yang diberi nama i-Cockpit oleh Peugeot itu benar-benar menarik perhatian.

Kualiti material yang digunakan pada keseluruhan ruang ini membuatkannya terasa begitu mewah. Kontras kemasan besi pada corong pendingin hawa, atas glovebox, butang kawalan, konsol tengah dan tuil gear memang kelihatan harmoni.

Saya sukakan perinciannya, terutama tombol gear dan suis-suis seperti kekunci piano itu. Nampak elegan sekali. Seperti biasa, Peugeot terus menggunakan stereng dengan diameter lebih kecil untuk SUV ini.

Anda mungkin akan rasa sedikit janggal pada awalnya. Tetapi stereng yang kecil dengan rekaan rata pada bahagian atas dan bawah membolehkan paparan meter digital bersaiz 12.3 inci itu tidak terlindung.

Perlu dinyatakan bahawa kluster instrumen tersebut nampak begitu mahal. Ia bukan sekadar memaparkan maklumat pemanduan konvensional. Malah pemandu boleh memilih pelbagai mode paparan mengikut kecenderungan masing-masing.

Dial rotari Advanced Grip Control yang terletak di konsol tengah membolehkan anda menukar di antara lima mode pemanduan dengan mudah, tanpa perlu mengalihkan perhatian dari jalan raya.

Di atas papan pemuka, skrin sentuh bersaiz lapan inci menjadi pusat kawalan kepada sistem infotainmen dan pendingin hawa. Mudah dioperasi dan intuitif, ia tidak memerlukan masa yang lama untuk difahami sepenuhnya.

Lebih menarik lagi, ia menawarkan beberapa ciri ketersambungan termasuklah MirrorLink, Android Auto dan Apple CarPlay.

3008 menggunakan khidmat enjin turbo bertekanan tinggi THP bersesaran 1.6 liter. Mampu menjana kuasa sehingga 165hp dan tork 240Nm, ia sudah cukup untuk membawa 3008 untuk memecut laju di atas lebuh raya, memotong kenderaan lain tanpa masalah dan begitu lancar di laluan di bandar.

Ini jelas menunjukkan bahawa enjin turbo bersesaran kecil mampu memberi keseronokan memandu. Pada masa yang sama memastikan penjimatan bahan api dapat dicapai dengan mudah.

Sebagai sebuah SUV keluarga, aspek keselamatan tidak dipandang ringan. Justeru, 3008 didatangkan dengan rangkaian ciri keselamatan antara yang terbaik dalam kelasnya.

Ia merangkumi enam beg udara, Emergency Brake Assist, kawalan cengkaman, Dynamic Stability Control, Electronic Stability Programme, Hill Assist, amaran penukaran lorong, alat pengesan parkir pada bahagian hadapan dan belakang serta kamera undur.

Walaupun tempoh pandu uji 3008 adalah singkat, namun ia tetap memberi kesan mendalam kepada diri saya. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa 3008 berjaya memenuhi ekspektasi ramai pengguna yang mahukan sebuah SUV moden dan bergaya.

GALERI

Google ads
Back to top button