Pandu Uji

PANDU UJI: PROTON IRIZ 2017 – INILAH KERETA BANDAR YANG ANDA MAHU MILIKI

Sejak dilancarkan pada 2014, Proton Iriz telah melalui proses pembelajaran yang panjang. Ia direka sebagai model gantian Savvy yang nyata belum berjaya mendapatkan posisinya sebagai pilihan kereta kompak tempatan.

Jelas, Proton masih dibayangi dengan populariti Perodua Myvi dan secara upayanya, mereka memerlukan TIGA model untuk mendapatkan kembali pasaran yang hilang- Saga, Savvy dan terbaru Iriz.

Saya bukannya fanatik mana-mana model baik keluaran Proton mahupun Perodua kerana masing-masing ada kelebihan tersendiri. Apa yang ditulis ini adalah berdasarkan pengalaman sendiri ketika memandu uji kereta ini selain memberikan beberapa pandangan dan perbandingan secara sihat antara Iriz model terawal dan model yang menjadi saingannya.

VERSI NAIKTARAF

Sebagai permulaan, Iriz ini merupakan versi yang sudah dinaiktaraf daripada model terawal sebab itulah bahagian luarnya adalah sedikit berbeza daripada sebelumnya. Contohnya ialah bahagian gril hadapan yang kini berwarna hitam berbanding kemasan krom sebelum ini. Ia membuatkannya kelihatan sedikit sporty dan ‘muda’. Ia juga kini ditawarkan dengan dua lagi tambahan warna berbanding sebelumnya.

Bahagian dalaman juga kini kelihatan lebih segar dan moden. Kereta yang saya pandu uji merupakan varian Premium jadi ia dilengkapi dengan temapt duduk kulit dengan jalur grafik yang baru. Malah ia mengingatkan saya kepada jalur pasukan Martini Racing. Varian lain juga diberi tempat duduk kemasan fabrik yang baru. Pilihan warna papan pemuka dengan tona lebih gelap membuatkan ia kelihatan lebih premium.

Iriz ini juga dilengkapi dengan sistem SmartLink untuk sambungan kebanyakan model telefon ke sistem infotaiment kereta. PKE ataupun Proton Keyless Entry pula merupakan ciri istimewa untuk varian Premium. Selain daripada itu semua varian turut dilengkapi dengan penunjuk Eco untuk menunjukkan tahap ekonomi bahan bakar. Lampu ini akan menyala dengan warna hijau jika anda memandu dengan berhemat.

BACA: PANDU UJI PROTON PREVE

Iriz model baru ini juga mempunyai tahap NVH (Noise, Vibration, Harshness) yang lebih baik berbanding sebelumnya. Sebenarnya kalau diikutkan agak tidak adil untuk mendapatkan tahap NVH yang sama dengan kereta mewah bagi kereta bersaiz kompak namun yang nyata Proton telah berusaha sedaya upaya ke arah itu.

Jika Iriz sebelum ini dikatakan mempunyai kesudahan ataupun finishing yang agak kasar, kini ia diperhalusi agar lebih selesa. Gegaran yang sebelum ini dikaitkan dengan enjin dan kotak gear kini sudah berjaya diatasi dengan menggunakan tapak enjin dan kotak gear 3-point sama seperti Persona baru. Sebelum ini Iriz menggunakan tapak enjin 4-point yang dikatakan menjadi punca kepada gegaran dari bahagian depan.

Sepanjang pandu uji dijalankan, Iriz baru ini memberikan kuasa pecutan yang boleh tahan untuk kereta bersaiz sepertinya. Ia tidaklah lembap seperti setengah kereta automatik sekelas dengannya tetapi janganlah meletakkan harapan untuk membuat pecutan seperti sebuah kereta sukan.

Ia boleh membuat pendakian ke puncak bukit dengan selesa tanpa sebarang masalah. Pemanduan juga menjadi cukup lancar dengan ECU yang sudah ditala semula.

Kawalan merupakan aspek yang menjadi kekuatan kereta-kereta keluaran Proton. Ini kerana sedikit sebanyak ia masih mempunyai DNA Lotus dalam talaan sistem suspensinya. Proton banyak menyuntik pembaharuan yang mereka perkenalkan kepada Persona baru kepada Iriz ini.

Ironi sebenarnya tidak banyak kereta lain di luar sana yang menawarkan kestabilan sewaktu membelok yang sama seperti kereta keluaran Proton walaupun dari jenama premium. Ya. pengendalian kereta ini lebih solid berbanding jenama popular dengan harga yang jauh lebih mahal.

Untuk menguji kadar NVH saya telah membawa Iriz ini ke jalan-jalan luar bandar dan memang ia sudah jauh lebih selesa dengan gegaran dan bunyi bising yang minima baik dari permukaan jalan mahupun dari ruangan enjin.

Bagaimanapun saya rasa tayar profil rendah yang dilengkapkan pada varian Premium ini sedikit sebanyak menyumbang kepada bunyi dari luar kereta. Tidak terlalu ketara tetapi ia mungkin dapat diatasai dengan tayar profil tinggi dengan saiz yang lebih kecil kerana ia mampu menyerap bunyi dengan lebih baik. Tambahan pula kereta ini biasanya digunakan untuk kegunaan harian dan bukannya untuk berlumba, kan?

Kalau anda jenis sensitif tentang keselesaan dan pengendalian (perhatikan bump dan rebounce suspensinya), Iriz menawarkan sesuatu yang sukar dibandingkan untuk sebuah kereta bandar.

Pengguna mungkin masih skeptik dengan persepsi kereta keluaran Proton. Tapi jurutera mereka telah melakukan sedaya upaya menjadikan kereta mereka lebih baik berbanding model sebelumnya. Evolusi ini boleh dilihat menerusi model-model seperti Preve, Suprima kemudian Iriz, Saga dan Persona.

Jika anda mencari sebuah kereta bandar yang hampir sempurna pada harga mampu milik, Iriz adalah calon yang patut diletakkan dalam senarai. Jangan percaya apa yang saya kata. Pergi ke pusat pameran Proton dan pandu uji kereta ini, dan bandingkan dengan kereta lain untuk ketahui jawapannya.

Ia mesti dipandu uji untuk mengenali karekteristik kereta ini.

GALERI

Google ads
Back to top button