PANDU UJI PROTON SAGA 1.3 CVT: DARI JB KE JURU DENGAN 1 TANGKI, MASIH ADA 1 BAR SELEPAS 668.5KM!

SHARE

Selepas lima pusingan melibatkan perjalanan ke Utara, Selatan, Pantai Timur dan Malaysia Timur (Sabah), cabaran penjimatan bahan api Proton berakhir dengan keputusan yang sekali lihat seperti tidak masuk akal.

Dikenali sebagai Proton 1-Tank Adventure, ia melibatkan model-model paling laris Proton iaitu Saga, Iriz dan Persona. Manakala pesertanya pula terdiri daripada rakan media, orang awam/pelanggan Proton dan selebriti.

Saya menyertai pusingan terakhir menuju ke Pulau Pinang memandu Proton Saga 1.3 automatik. Berjaya mencatat keputusan yang memberangsangkan, saya dan Syamsul Yunos dari funtasticko.net dan Engear kembali bersaing di peringkat akhir Proton 1-Tank Adventure.

Kali ini, jaraknya lebih jauh iaitu hampir 700km yang bermula dari Johor Bahru menuju ke Glenmarie Shah Alam, sebelum menyambung perjalanan keesokan harinya ke stesen minyak Petronas di Juru, Pulau Pinang.

Bagi membuatkan perjalanan yang jauh ini lebih mengujakan, penganjur mengadakan beberapa aktiviti menarik di antara check point yang wajib dikunjungi oleh semua peserta.

Antaranya menikmati durian di Malacca Durian Heng di Bemban, Melaka; melawat studio gayaan Proton di Shah Alam dan mengunjungi Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh.

Sekali fikir, bagaimana sebuah Proton Saga 1.3L boleh mencapai jarak sebegitu jauh dengan hanya satu tangki? Di sini saya senaraikan beberapa tips yang boleh anda amalkan untuk menjimatkan penggunaan bahan api.

Mental kena kuat, kena pandu perlahan & panas

Semuanya bermula dengan kekuatan mental. Kenapa saya kata begitu? Kalau mental tak kuat, sesiapa sahaja pun boleh jadi kurang sabar untuk menekan pedal minyak dan memecut.

Itu belum lagi campur terpaksa menahan panas di dalam kereta kerana pendingin hawa tidak dipasang atau diletakkan pada tetapan paling perlahan dengan suhu sederhana.

Kalau bukan cabaran, berapa ramai yang sanggup buat macam ni setiap hari? Tetapi, kalau anda sudah biasa dan boleh rasa penjimayan yang diperolehi, perkara ini bukanlah mustahil untuk dilakukan.

Tahukah anda bahawa sistem pendingin hawa merupakan antara komponen yang menyumbang ke arah penggunaan bahan api. Jadi, jika ia digunakan secara minimum, penjimatan petrol boleh dilihat dengan ketara dalam jangka masa panjang.

Tekan pedal minyak dengan lembut

Sama ada sedar atau tidak, cara kita menekan pedal minyak dan brek boleh mempengaruhi penggunaan bahan api. Sepanjang cabaran ini, saya pastikan pedal minyak ditekan dengan sehabis lembut terutama ketika hendak memulakan perjalanan.

Untuk lebih efektif, buka kasut. Pemanduan sebegini memang agak memenatkan. Tetapi, apa yang boleh anda lakukan ialah jangan terlalu fikirkan pasal pemanduan tersebut, sebaliknya lekakan diri dengan mendengar muzik atau berbual dengan rakan di sebelah.

Kekalkan rpm di bawah 2,000

Teknik ini berkait rapat dengan tahap kelajuan kenderaan. Memandu Proton Saga, kelajuan maksimum dengan 2,000rpm adalah sekitar 70 hingga 75km/j, masih boleh diterima walaupun ketika memandu di lebuh raya.

Harus tahu juga jika anda memandu terlalu perlahan, misalnya bawah 55km/j tahap penggunaan bahan api tidaklah jimat sangat pun. Malah, pemanduan yang terlalu perlahan terutama di lebuh raya boleh mengundang bahaya.

Biarpun begitu, kebanyakan kereta moden sekarang termasuklah Proton Saga mempunyai tahap pusingan rpm yang rendah, terutama ketika meluncur di lebuh raya. Jadi, tugas ini tidaklah terlalu sukar sebenarnya.

Gunakan teknik gelungsur, potong angin

Ini merupakan antara cara efektif untuk menjimatkan minyak. Ketika menuruni bukit, masukkan gear ke N dan biarkan kereta gelungsur sehingga momentum pergerakannya berakhir.

Satu lagi, anda boleh memandu di belakang kenderaan besar seperti lori dan bas. Cara ini membantu kerana rintangan angin sudah ‘dihilangkan’ oleh kenderaan tersebut.

Cuma, jangan ikuti dalam jarak yang terlalu dekat kerana ia boleh mengundang bahaya.

Matikan enjin ketika berhenti

Jika berhenti di lampu isyarat misalnya, anda boleh mematikan enjin kereta. Langkah ini boleh menjimatkan penggunaan bahan api.

Sebab itulah semakin banyak kenderaan moden yang mempunyai ciri sebegini. Sebilangan kecil model skuter pun ada dilengkapi ciri yang sama.

Itu merupakan antara tip-tip penting yang boleh saya kongsikan. Kembali kepada cabaran Proton 1-Tank Adventure, saya akui bahawa program seperti ini mampu menyerlahkan keupayaan jentera Proton.

Ia penting kerana kereta Proton sering dibayangi persepsi yang tidak betul dan tidak jimat minyak adalah salah satu daripadanya.

Kini, kami telah membuktikannya. Anda tidak perlu mengikut semua cara di atas yang mungkin boleh dianggap ekstrem untuk berjimat. Cukup sekadar memandu secara berhemah di atas jalan raya dan kawal tahap kelajuan kereta anda.

Berikut adalah keputusan jumlah penggunaan bahan api yang berjaya dicatat oleh para peserta Proton 1-Tank Adventure. Kalau kami mampu buat, kenapa tidak anda?

GALERI

Share this post

scroll to top