Pandu Uji

PANDU UJI VOLVO XC90 T8 – MODEL ERA BAHARU YANG MEMBUKA MATA RAMAI!

Seperti yang boleh dilihat sekarang ini, kenderaan Volvo semakin hari semakin hebat. Selepas sahaja pemilikan bertukar dari Ford kepada Zhejiang Geely, usaha pembaharuan produk terus giat dijalankan.

Hasilnya boleh dilihat sekarang melalui pelbagai model baharu yang menggagumkan.

Faedah yang diraih bukan sahaja untuk Volvo tetapi juga kepada kumpulan ZGH itu sendiri melalui berapa kerjasama teknologi dan paling besar apabila berjaya melahirkan satu lagi jenama baharu Lynk & Co.

Jenama ini mengisi ruang tengah di antara Geely dan Volvo.

Perjalanan Volvo Cars tidak semudah yang dlihat. Selepas bertukar pemilikan, Volvo mengambil masa yang agak lama sebelum melancarkan model era baharu.

Model yang mula sekali mencetus minat dan membuka mata ramai orang ialah sebuah SUV besar XC90.

Model yang dipasarkan sekarang adalah generasi kedua dan kecemerlangannya turut dipengaruhi oleh reputasi cemerlang XC90 generasi pertama sehingga dinobatkan sebagai SUV paling selamat di dunia.

Kembali kepada warisan

Dalam membentuk hala tuju baharu, Volvo tidak pergi terlalu jauh sehingga ke angkasa tetapi melihat semula ke dalam diri.

Ia mengenai apa yang menjadikan Volvo sebagai Volvo.

Perjalanan ini dimulakan dengan mengimbas kembali dan mengambil semula warisan reka bentuk Volvo.

Ini apa yang boleh dilihat dalam reka bentuk Volvo XC90.

Kekal dengan tradisi Sweden melalui garis-garis badan lurus dan berkotak. Identiti tersebut diadunkan bersama bentuk membujur supaya ia tidak terlampau bersegi.

Jika anda melihat XC90 ini, jelas kelihatan bentuk tradisional Volvo tetapi ia tampil segar dan kontemporari.

Ia masih mengekalkan gayaan malar segar supaya sentiasa kelihatan relevan walaupun sudah bertahun di pasaran.

Aspek paling menyerlah ialah lampu depan Thor yang begitu jelas dilihat walaupun di siang hari.

Interior ibarat hotel mewah

Selari dengan imej pengeluar kereta premium, Volvo mengenakan tema dalaman berwarna cerah.

XC90 yang dipandu uji ini adalah gred paling tinggi iaitu T8 Inscription.

Suasana dalaman XC90 ini satu aras lebih tinggi berbanding Volvo generasi terdahulu.

Kualiti material dan reka bentuk yang tersendiri seolah-olah seperti berada di rumah dengan gayaan Scandinavian.

Ada dua perkara yang menarik perhatian dalam SUV ini. Pertama ialah kemasan kayu asli tanpa kilauan.

Ia dibiar bersahaja dengan corak ira kayu. Ciri kedua ialah tombol gear yang diperbuat daripada kristal Orrefors.

Jika kaum hawa mempunyai tudung dengan butiran Swarovski, interior XC90 pula naik seri dengan tombol gear kristal Orrefors.

XC90 adalah saingan kepada SUV premium lain seperti Audi Q7 dan BMW X5 di mana ketiga-tiga SUV ini dilengkapi dengan tujuh tempat duduk.

Berada di kerusi depan, pemandu dan penumpang dapat merasakan kerusi yang tegap menyokong badan.

Kerusi barisan kedua juga selesa, tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembut dan untuk akses ke kerusi barisan ketiga, gelungsur sahaja kerusi barisan kedua.

Kerusi barisan ketiga biasanya selesa untuk dihuni oleh kanak-kanak sahaja. Namun Volvo mengambil kira semua itu agar ia boleh diduduki oleh orang dewasa. Malah kerusi yang digunakan adalah saiz penuh dan bukan sekadar ‘bench seat’.

Ruang itu tidak terlalu besar namun ia berpadanan untuk diduduki oleh penumpang dewasa.

Pengalaman pemanduan

Saya bersyukur memandangkan sebelum ini telah diberi banyak peluang memandu pelbagai model Volvo.

Momen pertama memasuki XC90 sudah terasa bagaimana Volvo generasi baharu ini mengalami evolusi.

Perasaan masih sama seperti memasuki Volvo generasi sebelum cuma ia diperbaharui dengan beberapa elemen yang menaikkannya ke aras lebih tinggi.

Di antara elemen baharu ialah konsep mewah yang didefinisikan semula, Volvo bukan setakat kenderaan praktikal tetapi sudah menjadi lebih premium. Meter dan skrin papan pemuka serba digital dan begitu canggih. Layar antaramuka ibarat aplikasi telefon pintar dan tidak begitu sukar untuk membiasakannya.

SUV ini dijanakan oleh nadi kuasa canggih plug in hybrid maka enjin menjadi begitu senyap sebaik sahaja ia dihidupkan.

Di sebalik bunyi yang senyap itu tersimpan teknologi canggih. Walaupun mempunyai badan yang besar, XC90 dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo dan supercaj.

Nama panjangnya ialah 2.0 liter T8 Twin Engine Plug-in hybrid.

Akronim itu adalah rujukan kepada enjin 2.0 liter turbo supercaj dipadankan bersama motor elektrik yang dikuasakan oleh bateri dan disimpan di tengah kenderaan.

Satu lagi keunikan XC90 ialah roda depan dipacu oleh enjin konvensional manakala roda belakang pula dipacu oleh motor elektrik.

Ini bermakna XC90 tidak mempunyai aci penggerak seperti kenderaan pacuan empat roda lain dan secara ringkasnya dua teknologi berbeza menggerakkan dua bahagian tayar yang berbeza.

Bijak bukan?

Enjin ini dipadankan bersama transmis lapan kelajuan baharu.

Bergerak ke jalan raya, XC90 tegap meluncur dengan suspensi udara yang canggih. Memandangkan XC90 mempunyai teknologi plug in hybrid, bateri kereta ini boleh dicaj dengan plug di rumah dan ia boleh bergerak sehingga 40 km melalui mod elektrik sepenuhnya.

Ini menjelaskan kenapa XC90 begitu senyap apabila enjin mula dihidupkan dan bergerak di atas jalan raya.

Satu perkara lagi ialah kuasa penuh bateri hanya akan dapat dicapai melalui cas di rumah atau di stesen pengecasan sahaja. Jika tidak penuh, SUV ini akan menggunakan kuasa enjin petrol dan digerakkan oleh kuasa elektrik dalam jarak singkat sahaja.

Untuk menikmati kereta yang bebas penggunaan minyak sepenuhnya perlulah pengguna menunggu Volvo mengeluarkan kenderaan elektrik pada masa akan datang.

Selain itu, XC90 dilengkapi lima mod pemanduan yang boleh ditetapkan melalui kawalan dari sentuhan butang sahaja.

Ia sebenarnya bukan butang biasa tetapi berbentuk silinder dengan perincian menarik sepadan dengan tombol gear kristal Orrefors.

Berikut ialah seleksi mod pemanduan Volvo XC90 T8 Twin Engine PHEV:

1.Comfort

Ini adalah tetapan pemanduan biasa dan paling neutral mengikut tetapan kilang.

2.Hybrid

Ini pula tetapan untuk pemanduan yang menjimatkan. Kuasa kereta akan ditundukkan supaya tindak balas kenderaan lebih konservatif. Ini juga adalah tetapan standard sebaik sahaja enjin dihidupkan.

3.Off road

Mod ini boleh digunakan dalam keadaan permukaan jalan raya yang licin. XC90 masih sebuah kenderaan lasak yang sejati, boleh digunakan di jalan raya biasa dan sesuai dengan tujuan asal kenderaan tinggi seperti ini dicipta.

Apabila mod ini dipilih, badan kereta akan dinaikkan dan pemanduan akan terasa lebih mencengkam.

4.Power

Mod ini menjadikan kenderaan lebih sporti. Enjin lebih galak dan garang apabila pedal minyak ditekan. Suspensi juga menjadi lebih rendah secara automatik.

5.Individual

Ini merupakan tetapan yang paling digemari. Jika anda sukakan pelbagai tetapan tetapi dimuatkan dalam satu mode, ini lah pilihannya.

Anda boleh memilih pelbagai seleksi seperti tetapan suspensi yang lebih rendah atau senang cerita pelbagai tetapan dalam satu mod.

Semasa memandu SUV ini saya cenderung untuk memilih mod pemanduan individual kerana pelbagai talaan boleh ditetapkan.

Mod power juga sedap dipandu dengan enjin yang lebih galak dan garang manakala badan kereta direndahkan cuma satu isu dengan mod ini apabila penggunaan minyak turut laju seperti mana prestasi yang dihamburkan.

Dengan kuasa turbo dan supercaj, ini bukanlah SUV biasa-biasa, apabila pedal minyak ditekan kuat kereta akan meluru laju ke hadapan ibarat kereta sport.

Walaupun dengan berat lebih daripada 2.3 tan, ia tidak menghalang daripada SUV ini bergerak tangkas dan laju.

Selain itu, dengan kuasa 407 hp dan pecutan 0 – 100 km/j di bawah enam saat SUV ini tetap tegap di atas jalan raya. Ia tetap sopan dan ini adalah definisi prestasi buat Volvo.

Melalui jalan berliku pula, satu perkara yang kurang digemari tentang Volvo generasi sebelum ialah bagaimana stereng bertindak balas di selekoh.

Melalui model generasi baharu ini nampaknya Volvo telah memperbaikinya, walaupun dengan badan yang besar, ia berinteraksi secara baik dan selari mengikut arahan stereng.

Begitu juga apabila melalui jalan berlopak atau tidak rata, suspensi udara XC90 berjaya menyerapnya dengan baik dan mengasingkan gegaran yang keterlaluan dari menjejaskan ruang kabin dan penumpang.

Adakah ini pembelian yang berbaloi?

Jika diikutkan dengan segmen, saingan XC90 ialah jenama dari Jerman iaitu Audi Q7 dan BMW X5.

Namun saingan yang paling hampir dan tepat ialah BMW X5 xDrive40e yang sama menggunakan teknologi plug-in hybrid.

Saya belum lagi berpeluang untuk memandu BMW tersebut walaubagaimanapun jika dibuat perkiraan di atas kertas, Volvo XC90 lebih berkuasa berbanding X5 dengan 308 hp dan 450 Nm.

XC90 juga mempunyai tujuh tempat duduk berbanding X5.

Walaupun XC90 serba-serbi lebih tetapi harganya mahal sedikit daripada X5.

Harga Volvo XC90 T8 ialah RM 403,888.00 berbanding RM 388,800.00 untuk BMW X5 xDrive40e.

Jika anda dalam dilema bagi memilih di antara kedua-dua SUV ini, saya sarankan untuk cuba memandunya.

Pada saya, Volvo mempunyai tarikan sendiri memandangkan XC90 ini bukan SUV biasa-biasa, ia sarat dengan teknologi bukan sahaja pada nadi kuasa tetapi apa yang membuatkan jenama Volvo begitu terkenal.

Volvo adalah peneraju dalam teknologi keselamatan dan ciri-ciri tersebut dimuatkan dalam XC90 baharu ini.

Berada di dalamnya membuatkan anda berasa seperti di puncak teknologi nadi kuasa canggih dan lebih penting apabila ia membawa falsafah Volvo yang dipegang sejak sekian lama, tidak lain tidak bukan ialah rasa selamat.

Dua perasaan apabila memandu SUV besar ini, canggih dan dilindungi! Inilah Volvo era baharu!

Google ads
Back to top button