Pandu Uji

PANDU UJI: VW TIGUAN HIGHLINE – SUV MEWAH DALAM KELAS TERSENDIRI

Bersaing dalam pasaran SUV saiz sederhana yang turut dihuni oleh Honda CR-V, Nissan X-Trail, Mazda CX-5 atau Peugeot 3008 pastinya bukan mudah. 

Apatah lagi, nama-nama yang disebutkan tadi sudah lama menjadi seakan-akan pilihan default bagi ramai pengguna.

Jadi, apabila mendapat tahu kilang Volkswagen yang terletak di Pekan, Pahang terpaksa meningkatkan kapasiti pengeluaran model ini kerana permintaan yang memberangsangkan, saya agak terkejut.

Jangan salah faham, terkejut itu bukan kerana apa, kita semua tahu bahawa Volkswagen masih bergelut dengan isu persepsi yang membuatkan ramai tidak menjadikannya sebagai jenama pilihan utama.

Sedangkan hampir semua kelemahan sebelum ini terutama aspek selepas jualan telah cuba untuk diperbaiki dengan sebaik mungkin. Langkah itu nampaknya mula membuahkan hasil apabila komplen yang dahulunya berapi-api, kini sudah mulai kurang.

Saya berpeluang untuk menilai sendiri keupayaan dan keistimewaan model SUV Volkswagen Tiguan. Selepas memandu uji selama beberapa hari, saya mulai faham kenapa ia boleh diharap untuk menjadi model yang menaikkan semula jenama Volkswagen di Malaysia.

Sedia maklum bahawa Tiguan didatangkan dalam dua varian iaitu Comfortline dan Highline. Saya diberi versi Highline untuk dipandu uji. Selaku varian tertinggi, sudah pasti ia dilengkapi dengan pelbagai ciri yang tidak ada pada pesaingnya yang lain.

Terlebih dahulu, apa kata kita lihat kepada penampilan luarannya. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa beza di antara model ini dengan terdahulu cukup jauh. Tiguan generasi kedua ini dibina di atas platform MQB yang turut digunakan untuk model-model lain keluaran Kumpulan Volkswagen termasuklah Golf.

Berbeza dengan model lama, Tiguan kini tampil dengan rekaan yang lebih bersegi dan elegan. Bahagian hadapannya diserlahkan dengan gril radiator bersama kemasan krom yang lebar. Ia kemudian diapit oleh sepasang lampu utama yang nipis, lengkap dengan butiran DRL LED.

Rekaan yang ringkas diteruskan ke bahagian sisi dan belakang dengan gugusan lampu bersama efek lebih elegan. Penampilan matang Tiguan disempurnakan lagi dengan rim aloi bersaiz 18 inci yang mengisi arca rodanya.

Di ruang kabin, anda boleh merasai ambien yang oremium menerusi penggunaan material berkualiti tinggi. Tipikal sebuah kereta Jerman, rekaan dalamannya kemas, ringkas dan tidak berlebih-lebihan. Kualiti material dapat dilihat dengan jelas di setiap sudut. Sama di papan pemuka, panel pintu mahupun balutan kulit pada tempat duduk.

Papan pemuka Tiguan Highline dihuni oleh skrin sentuh berwarna bersaiz lapan inci. Sistem Discover Media itu menggabungkan sistem hiburan dengan navigasi. Mudah dioperasi, skrin sentuh itu juga intuitif dan tidak jauh berbeza seperti menggunakan telefon pintar.

Apa yang membuatkan SUV ini lebih menyerlah pasnya Active Info Display bersaiz 12.3 yang menggantikan kluster meter. Selain memaparkan pelbagai maklumat penting pemanduan atau navigasi, pemandu boleh menukar susun atur paparan mengikut kecenderungan masing-masing.

Secara peribadinya, enjin turbo empat silinder sebaris TSI bersesran 1.4 liter itulah yang membuatkan Tiguan lebih istimewa berbanding mana-mana lawannya. Dibekalkan bersama kuasa mencecah 150PS dan tork 250 pada 1,500 hingga 3,000rpm yang disalurkan ke roda hadapan, anda boleh memecut dan memotong kenderaan lain dengan yakin. 

Penukaran gear yang ditawarkan oleh transmisi DSG enam kelajuan itu juga memuaskan hati. Namun tipikal sebuah DSG, rasa kemasukan gear yang sedikit teragak-agak terutama ketika hendak memulakan perjalanan atau berada dalam kesesakan jalan raya agak menjengkelkan.

Kekurangan itu bagaimanapun ditutup dengan sempurna oleh kualiti dan dinamik pengendalian yang mampu diberikan oleh Tiguan. Walaupun tubuhnya lebih tinggi, tetapi olengan badan masih lagi minimum. Sekali gus memberi keyakinan untuk pemandu mengambil selekoh dalam kelajuan lebih tinggi.

Sebagai sebuah kenderaan untuk keluarga, aspek praktikaliti memang dititikberatkan. Ia dapat dilihat dengan jelas menerusi ruang tempat duduk belakang yang lebih luas dan selesa.

Bukan itu sahaja, jarak lantai but yang rendah, pintu belakang yang boleh dibuka dengan hanya perlu menekan butang semestinya memudahkan anda. Oh ya, jika tempat duduk belakangnya dilipat rata, ruang yang cukup lias sedia untuk digunakan.

Harus tahu juga bahawa Tiguan tidak kalah dari segi ciri keselamatan. Senarai ciri keselamatannya yang panjang merangkumi enam beg udara, ABS, EBD, BA, Electronic Stability Control, ISOFIX, Automatic Post Collision Brake System dan banyak lagi.   

Malah, SUV ini juga mahu mengurangkan risiko kecederaan pejalan kaki menerusi ciri bonet aktif yang akan terangkat sehingga 50mm dalam tempoh 22 milisaat sekiranya berlaku pelanggaran.

Kalau dinilai dari penampilan, Tiguan Highline mungkin kurang menarik perhatian dengan rekaannya yang selamat. Tetapi, Tiguan jelas memiliki kelebihan tersendiri yang hanya boleh anda hargai apabila mula memandunya.

Google ads
Back to top button