Pandu Uji

POLO SEDAN CKD 2014

Inisiatif program pemasangan tempatan (CKD) kenderaan Volkswagen di Malaysia bermula apabila Volkswagen AG dan DRB-Hicom menandatangani satu perjanjian kerjasama pada Disember 2010. 

IMG_5274

Dua tahun kemudian, produk CKD pertama iaitu Passat mula menjengah pasaran. Sejak itu, Passat CKD menjadi model paling laris dalam rangkaian model yang ditawarkan oleh Volkswagen Group Malaysia Sdn. Bhd. (VGM) berikutan harganya yang kompetitif.

Pagi tadi, VGM menambah satu lagi model dalam portfolio CKD keluarannya apabila memperkenalkan Polo Sedan CKD 2014. Pelancaran tersebut dilihat sebagai komitmen VGM untuk menawarkan produk berteknologi Jerman pada harga mampu milik dengan sasaran kelompok pengguna yang lebih luas.

IMG_5287

Pada April 2012, Polo Sedan ditawarkan oleh VGM dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) dari India dengan harga RM99,888 seunit. Kini, anda boleh memiliki sebuah Polo Sedan CKD pada harga RM85,888 (murah RM14,000) bersama beberapa ciri tambahan.

Dari segi luaran, perubahan yang dapat dilihat mungkin tidak terlalu ketara. Antaranya ialah perumah lampu utama yang kini berwarna jernih. Selain itu, emblem Volkswagen di bahagian belakang juga lebih besar dan perkataan Polo kini diletakkan di sebelah kanan.

IMG_5333

Rekaan konservatif itu bagaimanapun dikekalkan. Sekali gus membuatkannya nampak kurang menarik berbanding pesaingnya dari Jepun atau Korea.

Perubahan lebih banyak dapat dilihat jika anda masuk ke dalam kabinnya. Sedan segmen B itu kini dilengkapi sistem audio RCD 320 baharu yang menggantikan sistem audio lama 1 DIN.

IMG_5344

Disokong oleh beberapa jenis bahasa, sistem audio double DIN itu memiliki antara muka USB dan Ipod. Di samping slot untuk kad SD, AUX-in dan ketersambungan Bluetooth.

Sistem pendingin hawa manual kini ditukar dengan sistem Climatronic automatik. Lebih menarik lagi, Polo Sedan 2014 hadir dengan corong pendingin hawa untuk penumpang belakang. Pertama dalam segmennya.

IMG_5339

Untuk keselesaan pemandu, perehat tangan yang boleh dilaras dan bertindak sebagai ruang penyimpanan barang serta pemegang minuman juga disediakan.

Polo Sedan 2014 masih menggunakan enjin MPI (Multi-Point Injection) bersesaran 1.6 dan transmisi automatik enam kelajuan automatik dengan ciri Triptronic yang sebelum ini turut digunakan oleh model CBU.

IMG_5350

Dinilai dari segi prestasi, enjin 16 injap tersebut mampu menjana kuasa mencecah 105PS  dan tork 153Nm, paling tinggi dalam kelasnya. Sebagai perbandingan, tork enjin pada Honda City adalah 145Nm, Toyota Vios (141Nm) dan Nissan Almera (139Nm).

Biarpun begitu, Polo Sedan 2014 masih mampu menawarkan penjimatan bahan api sekitar 6.5 liter untuk setiap 100km berdasarkan kepada ujian di Eropah.

IMG_5266

Polo Sedan CKD tidak mahu kalah dari segi keselamatan. Justeru, ia dilengkapi oleh rangkaian ciri keselamatan seperti dua beg udara, dua beg udara sisi, tali pinggang keledar tiga poin untuk penumpang belakang, sistem brek ABS dengan BA, ISOFIX, Intelligent Crash Response System (ICRS) dan banyak lagi.

Dihasilkan di kilang DRB-Hicom di Pekan, Pahang, VGM menyatakan bahawa Polo Sedan 2014 memiliki 40 peratus kandungan tempatan dari segi nilainya. Berdasarkan kepada status CKD yang dimilikinya, Polo Sedan boleh dieksport ke negara Asean lain tanpa dikenakan cukai.

IMG_5307

Bagaimanapun,. Pengarah Urusan VGM, Dr. Zeno Kerschbaumer memberitahu pihaknya masih belum ada pelan tertentu untuk memasarkan Polo Sedan ke negara lain buat masa sekarang. “Mengenai Polo hatchback CKD pula, pengumumannya akan dibuat tidak lama lagi,” jawab Kerschbaumer.

Polo hatchback? Menarik juga…

Foto:  Nizam Zainuddin (The Puteh Production KL Photography)

 

[hr] Galeri

IMG_5264IMG_5262IMG_5321IMG_5328IMG_5332IMG_5345IMG_5354

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button