TIGUAN – TARUHAN PENTING JENAMA VOLKSWAGEN 

SHARE

Tahukah anda bahawa SUV bersaiz sederhana daripada pengeluar berpengaruh Jerman ini sudah berada di pasaran tempatan sejak tahun 2008 lagi? 

Biarpun begitu, Tiguan bukanlah pilihan utama bagi mereka yang ingin memiliki sebuah SUV. Sebaliknya, ia lebih menarik minat golongan yang ingin tampil berbeza dan mahukan sebuah jentera buatan Eropah. Tambahan pula ketika itu ia hadir pada harga agak premium.

Harus tahu Tiguan ialah SUV keluaran Volkswagen yang paling berjaya dengan jualan melebihi 2.8 juta unit di seluruh dunia. Memandangkan trend pasaran yang sangat mesra SUV sekarang, Volkswagen tidak mahu melepaskan peluang itu begitu sahaja.

Maka, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) melancarkan Tiguan generasi baru pada 5 April lalu untuk merebut sedikit pai pasaran SU tempatan yang kini didominasi oleh jenama Jepun terutama Honda.

Apa yang pasti, kehadiran Tiguan memberi satu lagi pilihan kepada pengguna. Lebih menarik lagi, Tiguan yang dipasang di kilang Volkswagen di Pekan, Pahang itu hadir dengan tanda harga kompetitif.

Anda boleh memilih antara dua varian yang ditawarkan sama ada Comfortline atau Highline. Harganya ialah RM148,990 untuk Comfortline dan RM168,990 (Highline). Apa yang membezakannya dengan SUV sedia ada di pasaran ialah Tiguan menawarkan kualiti kejuruteraan Jerman dan sensasi pemanduan jentera Eropah. Memang cukup mengujakan.

Tidak seperti majoriti pesaingnya yang dikuasakan oleh enjin aspirasi biasa bersesaran 1.8 liter dan ke atas, Tiguan sebaliknya menggunakan enjin pengecas turbo 1.4 liter TSI. Namun, jangan sesekali tertipu dengan angka tersebut.

Ini kerana enjin kecil itu berupaya menghasilkan kuasa mencecah 150PS dan tork 250Nm  pada pusingan enjin serendah 1,500 hingga 3,500rpm. Keterujaan mengerah kuasa yang disalurkan menerusi kotak gear DSG (klac basah) itu dapat saya rasai sendiri ketika menyertai sesi pandu uji menuju ke Ipoh, Perak baru-baru ini.

Secara ringkasnya, saya kagum dengan keupayaan enjin tersebut untuk membawa tubuh Tiguan tanpa sebarang masalah. Kelajuan melebihi 160km/j juga dapat dicapai dengan mudah. Cuma, pada kelajuan begitu bunyi angin di dalam kabin kedengaran agak ketara.

Selain daripada itu, rangkaian kuasa tersebut boleh membuatkan anda tersenyum. Kuasa dapat dirasai hampir serta-merta. Senggukan sewaktu penukaran gear juga minimum, masih boleh diterima dan tidak sampai ke tahap menjengkelkan.

Sewaktu memandu di laluan kampung yang kecil dan bengkang-bengkok sebelum sampai ke Ipoh, ketegaran platform MQB Tiguan teruji. Tipikal sebuah SUV, olengan badan masih boleh dirasai, tetapi tidaklah terlalu teruk. Lagi pun ini SUV, bukannya hatchback.

Keupayaan pengendalian dan kuasa pecutan Tiguan diuji sekali lagi di ruang parkir kereta bersebelahan pusat membeli-belah Tesco di Ipoh. Seperti yang dijangka, Tiguan menjanjikan pecutan lebih pantas dan daya membelok yang begitu memuaskan.

Biarpun kuasanya diperah, Tiguan tetap mampu menawarkan penjimatan bahan api yang bagus. Volkswagen mendakwa SUVV tersebut mampu memberikan bacaan penggunaan petrol sekitar 6.7l/100km. Tetapi, ia pastinya sangat bergantung kepada corak pemanduan.

Selesai bab pemanduan dan pengendalian. Kita beralih pula kepada penampilannya. Tipikal sebuah kenderaan Volkswagen, rekaannya lebih terarah kepada elegan dan tidak tidak dramatik.

Anda mungkin memerlukan sedikit masa untuk menghargai rekaan yang tampil dengan garis badan ringkas, tajam dan kemas ini. Tidak sukar untuk membezakan antara kedu-dua varian ini. Model Highline dipasang dengan lampu utama LED, gril krom, lampu nyalaan siang (DRL) dan rim Kingston bersaiz 18 inci.

Sementara Comfortline pula menggunakan lampu jenis halogen reflektor dan rim aloi Montana bersaiz 17 inci. Bahagian belakang pula menyaksikan kedua-dua varian ini dipasang dengan lampu LED dan paip ekzos berkembar.

Ciri standard lain pada kedua-dua varian termasuklah Park Distance Control (PDC), lampu dan penggilap cermin automatik, skrin sentuh dan paddle shifter. Pastinya, Highline hadir dengan lebih banyak ciri tambahan seperti lampu Dynamic Cornering Assist di mana suluhan lampu mengikut arah stereng, sistem kemasukan tanpa kunci, pintu belakang elektrik dan sebagainya.

Masuk ke ruang kabin, anda akan dihidangkan dengan susun atur instrumen yang kemas bersegi-segi. Varian highline yang saya pandu pulang ke Kuala Lumpur dilengkapi panel instrumen digital Active Info Display bersaiz 12.3 inci. Paparan itu cukup mudah dioperasi, malah skrin sentuhnya juga intuitif. Oh ya, tempat duduk berbalut kulit itu juga selesa memeluk tubuh sepanjang pemanduan.

Untuk memberi keselesaan kepada semua, Tiguan Highline menawarkan kawalan suhu tiga zon. Penting bagi mereka yang selalu gagal ketika memarkir kenderaan, SUV tu hadir dengan ciri Park Assist 3.0. Ia akan membantu anda untuk parkir secara menegak atau selari dengan lebih baik.

Selepas memandu uji selama dua hari, saya boleh katakan bahawa Tiguan baharu melepasi ekspektasi ramai peserta pandu uji kali ini. SUV itu kini lebih matang dan sukar untuk mencari kelemahannya.

Secara dasarnya, ini ialah satu produk yang bagus. Cuma, VPCM masih berdepan tugas berat untuk menukar persepsi pengguna terhadap jenama Volkswagen. Ya, memang bukan mudah.

BACA: SENARAI KERETA PALING SELAMAT 2017

BACA: VOLKSWAGEN MICROBUS YANG REPUT TERUK INI TERIMA BIDAAN HAMPIR RM40K!

GALERI

Share this post

scroll to top