Pandu Uji

TOYOTA COROLLA ALTIS 1.8 E

Populariti Toyota Corolla nampaknya masih kukuh, biarpun diasak oleh pelbagai model pesaing yang secara relatifnya mungkin sedikit murah atau dilengkapi dengan lebih banyak ciri menarik.Ā 

SONY DSC

1.22 juta unit. Itulah jumlah jualan Toyota Corolla yang dicatatkan pada tahun 2013. Data dalaman itu sekali gus mengesahkan Corolla sebagai model paling laris di dunia. Sehingga kini, jualan kumulatif sedan tersebut sudah mencecah 40.72 juta, satu jumlah yang pastinya dicemburui oleh para pengeluar kereta lain.

Kenapa Corolla begitu berjaya sejak ia mula memasuki pasaran pada tahun 1966? Kejayaan itu sebenarnya banyak disumbang oleh kekuatan jenama Toyota yang sering dikaitkan sebagai kenderaan yang jarang sekali memberi masalah, selain bagus pula nilai jualan semula dan aspek khidmat selepas jualannya.

SONY DSC

Di pasaran Malaysia, generasi baru sedan ini lebih dikenali sebagai Altis. Bagi menyegarkan kembali tawaran produknya, pengedar kenderaan jenama Toyota di Malaysia, UMW Toyota Motor melancarkan Altis baharu pada Januari lalu.

Sedan segmen C tersebut ditawarkan dalam tiga varian iaitu Altis 1.8E, Altis 2.0G dan Altis 20V. Unit yang saya pandu uji ini ialah model entry level Altis iaitu Altis 1.8E. Apa yang membuatkannya sedikit istimewa ialah Aerokit dan sistem multimedia DVD-AVN dengan ciri navigasi satelit yang dipasang padanya.

SONY DSC

Harus tahu bahawa kedua-dua penambahan itu ialah ciri pilihan. Untuk memilikinya anda perlu menambah sekitar RM2,350 untuk Aerokit dan RM2,990 bagi sistem multimedia tersebut.

Melihat gaya luaran, Altis tampil dengan bahasa rekaan yang sama seperti model Vios. Konsep reka bentuk ā€œKeen Lookā€ itu menyerlahkan garis-garis tajam serta bersepadu pada gril hadapan dan lampu utama. Ia juga mempunyai profail lebih rendah. Sekali gus memberikan imej yang lebih stabil dan sporty.

SONY DSC

Panjang keseluruhan jentera ini ditambah sebanyak 80mm berbanding model terdahulu. Selain lebih lebar (16mm), ruang kabin kini semakin luas apabila tapak roda Altis meningkat sebanyak 100mm kepada 2,700mm. Berbeza dengan varian tertinggi, Altis 1.8E dipasang dengan rim aloi bersaiz 16 inci.

Tidak mengejutkan, Altis 1.8E digerakkan oleh unit enjin yang digunakan pada modelĀ  sebelum ini. Enjin 2ZR-FE empat silinder DOHC 16 injap bersesaran 1.8 liter itu bagaimanapun tidak menghampakan.

SONY DSC

Selain menawarkan tahap penjimatan penggunaan bahan api yang bagus, saya dapat rasakan bahawa tuahan kuasanya (138hp dan tork 173Nm) adalah memadai. Kuasa tork yang boleh diperoleh sekitar 2,000rpm membuatkan pengalaman memandu di bandar atau di lebuh raya cukup memuaskan. Kelancaran pemanduan juga dibantu oleh kotak gear CVT.

Sama seperti aspek luarannya, ruang kabin Altis 1.8E turut menerima perubahan ketara. Kedudukan papan pemukanya kini lebih rendah. Rekaannya Ā juga nampak kemas dengan garis-garis lurus dan corong pendingin hawa yang tidak terlalu besar.

SONY DSC

Tidak banyak butang pada ruang tersebut. Sistem audio dikawal menerusi skrin sentuh. Manakala dial pendingin hawa automatik itu mudah dicapai dan dioperasi.Ā  Semua fungsi di dalam kabin ini terasa straight forward, ringkas dan tidak berlebih-lebih.

Apa yang kurang pada Altis 1.8E ialah sistem keselamatan. Jika pesaingnya agak ke hadapan dalam aspek ini, Altis 1.8E masih dibekalkan dengan dua beg udara. Paling terasa adalah ketiadaan sistem VSC (Vehicle Stability Control) dan TRC (Traction Control). Secara peribadinya, saya juga mungkin lebih gembira jika varian ini dibekalkan dengan sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin.

SONY DSC

Sudah memasuki generasi ke-11, Altis sepatutnya lebih matang dan faham mengenai kehendak pengguna semasa. Biar apa pun, saya boleh katakan bahawa Altis 1.8 E boleh menjadi antara pilihan terbaik untuk mereka yang mempunyai bajet di bawah RM115,000.

SONY DSC

Tidak dapat dinafikan bahawa Altis ialah sebuah kenderaan yang cemerlang untuk membawa anda dengan selesa ke mana sahaja. Ia juga amat sesuai untuk mereka yang tidak kisah dengan ketiadaan ciri canggih tambahan yang kebanyakan daripada kita tidak tahu atau langsung tidak menggunakannya.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button