Pandu Uji

TOYOTA VIOS 2013

Pejam celik pejam celik, semacam tidak percaya bahawa kereta ini sudah mengungguli pasaran model sedan bukan nasional selama hampir sepuluh tahun. Toyota Vios, biarpun ada jutaan yang membencinya (kalau tidak percaya, sila baca  komen dalam laman web pemotoran berbahasa Inggeris), persepsi itu tidak banyak mengubah minat orang lain terhadapnya. 

03-1.5G Exterior with Optional Aerokit

Bukti? Sejak tempahan dibuka pada Julai, lebih 8,000 unit Vios baharu telah ditempah. Kalau dilihat kepada rekod dahulu, purata jualan Vios adalah sebanyak 30,000 unit setahun. Jadi, jika dikira secara kasar, sejak dilancarkan pada 2003 sudah terdapat lebih 265,000 unit Vios sehingga Ogos tahun ini! Terima kasih kepada pemahaman pengguna bahawa jenama Toyota membawa nilai-nilai seperti penjimatan bahan api dan boleh dipercayai.

Kehadiran Vios juga mendatangkan rasa ‘kurang senang’ dalam kalangan pesaingnya. Ketika saya berbual dengan seorang rakan daripada sebuah syarikat kereta Jepun, dia secara terang-terangan melahirkan kebimbangan bahawa Vios akan menjejaskan jumlah jualan keretanya. Sedangkan julat perbandingan harga di antara Vios dengan kereta syarikat itu hampir mencecah RM20,000.

03-Exterior 1.5 TRD Sportivo

Begitulah hebatnya Vios. Walaupun ia tidak lagi boleh mendabik dada dan berasa begitu selesa dengan keadaan pasaran sekarang, sekurang-kurangnya jurujual Toyota masih boleh tersenyum. Sebabnya, menjual barang yang sudah ada nama pastinya lebih mudah daripada hendak meyakinkan pembeli untuk membeli kereta yang belum tentu bagus nilai jualan semulanya.

Memasuki generasi ketiga, perubahan pada Vios boleh dianggap drastik. Mungkin sudah puas dikritik kerana rekaan luarannya yang tidak cantik, Vios kali ini cuba tampil dengan lebih yakin.

04-1.5G Exterior with Optional Aerokit

Bahagian hadapan, sisi dan belakang telah berubah secara total. Garis-garis dan rekaannya terarah untuk menjadikannya sebuah sedan segmen B yang lebih matang serta menarik perhatian.

Bahagian hadapannya mempunyai elemn reka bentuk tiga dimensi (3D) dengan gril berbentuk trapezoidal. Wajah itu disempurnakan dengan sepasang lampu utama yang nipis dan seakan-akan bersambung dengan gril bar berwarna krom.

09-1.5G Exterior with Optional Aerokit (Aerodynamic design)

Bahagian belakang, lampu kecil itu sudah dibuang. Ia digantikan dengan lampu yang lebih lebar dan dilihat padan dengan bampar belakang. Aspek aerodinamik Vios ditingkatkan menerusi rekaan bumbung berbentuk Catamaran yang membantu melancarkan aliran udara.

Selain rekaan cermin sisi yang diberi perhatian, sirip penstabil aero turut dipasang bagi menghasilkan voltis (pusaran) udara di bahagian sisi kenderaan. Voltis itu berfungsi menstabilkan kereta ketika dipandu pada kelajuan tinggi di laluan lurus.

02-Performance (VVT-i Engine)

Jangan teruja sangat. Walaupun model ini nampak seperti serba baharu, Vios sebenarnya masih menggunakan enjin lama yang dipasang pada model sebelum ini. Menurut Toyota, enjin empat silinder 16 injap, DOHC dengan VVT-i bersesaran 1.5 liter itu masih mampu menjalankan tugasnya dengan baik. Malah, ia lima peratus lebih cekap berbanding enjin dahulu.

Berupaya menjana kuasa sehingga 109PS dan tork maksimum 141Nm @ 4,200rpm, enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik empat kelajuan Super ECT yang menjanjikan perjalanan lancar, atau transmisi manual lima kelajuan. Kestabilan Vios juga dibantu oleh suspensi topang MacPherson L-arm bebas pada roda hadapan dan jenis torsion beam untuk roda belakang.

24-1.5G Interior

Ruang kabin Vios telah direka sepenuhnya bagi menawarkan rasa mewah kepada pemiliknya. Walaupun tapak rodanya tidak berubah, tetapi ruang bahagian kepala, bahu dan kaki telah ditingkatkan agar menjadi lebih luas.

Anda pasti menghargai rekaan konsol tengah yang kini lebih menarik. Terdapat dua versi sistem audio yang ditawarkan, bergantung kepada varian yang anda pilih. Varian juga dibezakan oleh warna ruang kabin iaitu beige, hitam dan kelabu. Vios mencipta sedikit kelainan pada kabinnya apabila panel instrumen, kemasan pintu dan sterengnya dibalut dengan rekaan jahitan.

07-Interior (TRD Sportivo Steering Wheel with Red Stitch Finishing)

Perubahan paling besar adalah apabila meter klusternya yang sebelum ini diletakkan di bahagian tengah kini kembali berada di hadapan pemandu. Menurut Timbalan Ketua Jurutera Vios baharu, Takatomo Suzuki, perubahan posisi itu dibuat bagi menjadikan pemanduan Vios lebih sporty.

Kilang Assembly Services Sdn. Bhd. (ASSB) yang terletak Shah Alam, Selangor bertanggungjawab untuk memasang Vios. Selain pelaburan sebanyak RM600 juta untuk membeli peralatan berteknologi tinggi, UMW Toyota Motor turut melaksanakan penambahbaikan terhadap proses pengeluaran kilang tersebut secara keseluruhannya.

13-Optional Accessory DVD-AVN (Audio Video Navigation) System with Reverse Camera

UMW Toyota Motor juga merupakan satu-satunya pengeluar kenderaan bukan nasional yang memiliki kemudahan body stamping yang lengkap di Malaysia. Bukan itu sahaja, kandungan alat ganti tempatan bagi Vios juga telah ditingkatkan menjadi 50 peratus berbanding hanya 15 peratus pada peringkat awal pemasangannya dahulu.

Bagi menjangkau lebih ramai prospek, Vios ditawarkan dalam lima varian iaitu 1.5J (MT), 1.5 J (AT), 1.5E, 1.5G dan 1.5 TRD Sportivo. Menurut UMW Toyota Motor, Vios 1.5J tidak mengalami sebarang kenaikan harga. Manakala varian-varian lain pula hanya menerima penyelarasan harga minimum.

11-Interior (Stylish Meter Panels with MID)

Harga Vios di atas jalan termasuk insurans adalah seperti berikut:

  • Toyota Vios 1.5 J (MT) – RM73,200
  • Toyota Vios 1.5 J (AT) – RM77,300
  • Toyota Vios 1.5 E (AT) – RM82,900
  • Toyota Vios 1.5 G (AT) – RM88,500
  • Toyota Vios 1.5 TRD Sportivo (AT) – RM93,200

Berbekalkan dengan semua penambahbaikan ini, UMW Toyota Motor meletakkan  meletakkan sasaran untuk menjual Vios baharu sekitar 36,000 unit pada tahun depan. Rasanya, tidak susah pun.

[hr] Galeri 

02-1.5G Exterior with Optional Aerokit01-Exterior 1.5 TRD Sportivo03-Interior (Dual SRS Airbags)04-Exterior 1.5 TRD Sportivo05-Interior (Rear 60-40 Split Folding Seats)05-Interior 1.5 TRD Sportivo06-1.5G Exterior with Optional Aerokit and Optional DVD-AVN System and Reverse Camera06-Interior (TRD Sportivo Exclusive Sports Seats with Combination Black and Red Perforated Leather)08-Interior (Smart Entry and Push Start System)09-Interior (TRD Sportivo Scuff Plate)10-Interior (TRD Sportivo carpet mat)11-Interior 1.5J (MT)17-Exterior for Optional Aerokit (Trunk Lid Spoiler)23-1.5G Interior with Optional DVD-AVN System and Reverse Camera25-Interior (Console Pocket for Tablet Storage)27-Interior (Cup Holder)

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button