Peranti

Canon 6D – Kamera ‘Full-Frame’ Paling Ringan

Canon turut memperkenalkan dua lensa EF terbaharu.

Bagi jurufoto yang teliti terhadap proses fotografi dan pernah menggunakan mana-mana kamera digital dengan sensor kerangka penuh (full-frame), mereka pasti tidak akan berganjak lagi untuk menggunakan mana-mana kamera dengan sensor lain, misalnya yang bersaiz APS-C.

Oleh sebab itu, pengeluar kamera global, khususnya Canon tidak pernah mengabaikan segmen pasaran kelompok jurufoto serius yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada kualiti fotografi yang dihasilkan.

Kecenderungan dalam memperkenalkan sensor ‘full-frame’ kebelakangan ini memang semakin mendapat perhatian pengeluar-pengeluar kamera lain. Paling mengujakan tahun lalu, Sony mengambil langkah drastik memecahkan ketepuan pasaran dengan pengenalan model RX1, sebuah kamera kompak dengan sensor ‘full-frame’ yang pertama seumpamanya di dunia.

Walaupun ada yang beranggapan langkah itu tidak perlu, kamera berkenaan serta-merta berjaya mengumpul peminatnya, terutama daripada kelompok yang menanggapi fotografi secara serius.

Justeru, Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd memperkenalkan model Canon 6D pada Disember lalu. Model terbaharu khas buat golongan enthusiast di Malaysia itu merupakan sebuah kamera DSLR dengan sensor kerangka penuh yang paling ringan di dunia setakat ini.

Dilihat sebagai salah satu usaha Canon untuk terus menarik perhatian pengguna moden yang mesra teknologi dan pada masa sama memuaskan kelompok enthusiast – beberapa ciri unik telah diperkenalkan.

 

Sensor pantas

Sensor kerangka penuh CMOS 20.2 megapiksel pada 6D yang dipadankan dengan pemproses imej DIGIC 5+ tentunya menjadi keutamaan dalam memberikan kualiti imej yang berada pada tahap tersendiri.

Kemampuan ISO  berada dari julat 100 – 25,600 (turut boleh dianjakkan: L:50, H1:51,200 dan H2:102,400). Pemproses berkenaan adalah daripada versi yang dipertingkatkan daripada DIGIC 5 yang terdahulu. Namun kini dengan kepantasan memproses tiga kali ganda lebih laju. Kelajuan rakaman imejnya pula adalah 4.5 bingkai per saat (4.5 frames per second).

 

Fungsi WiFi dan GPS binaan dalam

Dengan keupayaan WiFi, 6D boleh disambungkan kepada capaian internet tanpa wayar dengan kepantasan 802.11 b/g/n bagi piawaian capaian tanpa wayar. Ini membolehkannya memindahkan data ke komputer atau telefon pintar dengan kelajuan maksimum sehingga 150 megabait per saat. Selain mencetak terus ke pencetak yang serasi dengan perisian yang ada. Fungsi GPS pula membolehkan data lokasi pengambaran direkod serta-merta untuk setiap imej yang dihasilkan.

 

Ketepatan cemerlang 

Kemampuan auto-fokusnya turut berada dalam prestasi tertinggi melalui penggunaan sistem AF 11-titik. Sebagai perbandingan, model EOS 5D Mark II terdahulu hanya dilengkapi dengan AF 9-titik. Kelebihan ini meningkatkan kecekapannya untuk memfokus, terutama dalam keadaan pencahayaan rendah.

 

Video HD penuh dipertingkat 

Sensor terbaru berkenaan turut membolehkan rakaman video dengan kualiti yang jauh lebih baik. Resolusi tertinggi dan paling tajam mampu dirakam adalah sehingga 1920 x 1080 pada kadar 24 bingkai per saat. Ketetapan had bagi rakaman video pada hanya 4GB juga telah dihapuskan. Kini, dengan EOS 6D pengguna boleh mengambil video sehingga 30 minit, bergantung kepada kemampuan dan kapasiti kad memori.

 

Binaan lebih ringan 

Dengan badan magnesium aloi, ia tahan lasak di samping lebih ringan kerana saiz keseluruhan kamera ini lebih kompak. Pendek kata, menyamai saiz kamera daripada segmen lebih rendah 60D dan bukannya mewarisi saiz DSLR kerangka penuh seperti 5D.

EOS 6D dijual pada harga RM6,399 (badan sahaja), RM8,599 (badan dengan lensa EF24-105mm) atau RM10,349 (badan dengan lensa EF24-70mm).

[hr top]
Spesifikasi EOS 6D
[hr_invisible]

Dimensi: 144.5 x 110.5 x 71.2mm

Berat: 680 gram (badan sahaja)

Sensor imej: Kerangka penuh 20.2 megapiksel CMOS

Pemproses imej: DIGIC 5+

Kelajuan ISO: 100 – 25,600 (turut boleh dianjakkan: L:50, H1:51,200 dan H2:102,400)

LCD: 1.04 juta titik resolusi, 3 inci LCD ClearView

Bateri: Lithium-Ion LP-E6

 

Dua lensa EF terbaru Canon 

Dalam perkembangan sama, Canon Malaysia turut memperkenalkan dua lensa EF terbaru untuk pasaran tempatan; EF24-70mm f/4L IS USM dan EF35mm f/2 IS USM.

 

EF24-70mm f/4L IS USM

Dengan julat jarak fokal yang popular  kerana kepelbagaian dan mudah cara penggunaannya. Dibangun menggunakan 15 elemen dalam 12 kumpulan (struktur mekanisma lensa ini), ia sesuai untuk fotografi makro. Lensa ini juga didatangkan dalam saiz kompak dan lebih ringan.  Panjangnya hanya pada 93mm dengan berat 600 gram. Lensa ini dijual pada harga RM4,859 seunit.

 

EF35mm f/2 IS USM

Lensa yang terkenal dengan keupayaanya merakam gambar sudut lebar dengan liuhan imej minimum (image distortion). Ia sangat praktikal untuk kegunaan fotografi jalanan, perkahwinan  atau apa saja situasi. Ciri terbaharu pada lensa ini ialah ia menggunakan elemen kaca moulded glass (GMo) aspherical yang membantu menggurangakan penyimpangan kromatik (chromatic aberration). Lensa ini dijual pada harga RM3,269 seunit.

[hr]
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button