Artikel Pilihan

π•πŽπ‹πŠπ’π–π€π†π„π π’π‚πˆπ‘πŽπ‚π‚πŽ 𝟏.πŸ’ π“π’πˆ. πŒπ€π’πˆπ‡ 𝐑𝐄𝐋𝐄𝐕𝐀𝐍 𝐀𝐓𝐀𝐔 π“πˆπƒπ€πŠ?

Untuk artikel kali ini, kita akan membincangkan tentang sebuah jentera 2 pintu dari Jerman. Jentera yang dimaksudkan adalah Volkswagen Scirocco generasi ketiga dikenali sebagai Volkswagen Scirocco Mk3.

Kita kupas sedikit tentang ciri teknikal jentera ini. Jentera ini mula diproduksikan bermula tahun 2008 dan tamat produksi pada tahun 2017. Jentera ini direka oleh Mr. Walter de Silva dan dibangunkan mengggunakan platform PQ35.

Dari segi chassis, jentera buatan Jerman ini agak kukuh dan selamat. Ciri-ciri keselamatan juga berada pada tahap tinggi dimana jentera ini dilengkapi dengan 6 beg udara. Hasilnya, jentera ini mendapat pengiktirafan 5 Bintang dari EuroNCAP. Satu pencapaian yang membanggakan.

Seterusnya kita pergi kepada punca kuasa iaitu enjin jentera ini. Jentera ini menerima enjin 4 Silinder Sebaris berkod EA111 CAVD bersesaran 1,390cc. Walaupun kecil, enjin ini menerima sistem pendesak “Supercharger” dan “Turbocharger” pada masa yang sama. Bukan itu sahaja, enjin ini juga menerima sistem “Direct Injection” bertujuan mengoptimumkan penggunaan bahanapi tanpa mengenepikan aspek kuasa.

Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 158hp pada 5,800rpm dan daya kilas sekuat 240Nm pada 1,500rpm. Kuat ni Tuan-Tuan. Ditambah pula dengan berat jentera ini hanya 1,360kg.

Kuasa yang dihamburkan kemudiannya dihantar ke unit “Dry Clutch” dan seterusnya ke kotak gear 7-Kelajuan DSG berkod DQ200. Seterusnya ke tayar hadapan. Jentera ini mampu memecut dari 0-100km/h sekitar 8 saat sahaja dan mencapai kelajuan tertinggi sekitar 218km/h.

Gabungan ini bukan sahaja memberikan kuasa yang hebat, ia juga memberikan kadar penggunaan bahanapi yang menjimatkan iaitu pada kadar 6.3L/100KM. Kapasiti tangki bahanapi adalah sebesar 55 Liter. Oleh yang demikian, setangki penuh bahanapi mampu menggerakkan jentera ini sejauh 873km(bergantung kepada cara pemanduan).

Aspek pengendalian juga turut dititikberatkan dimana sistem gantungan jentera ini menerima “McPherson Strut” pada bahagian hadapan dan “Multilink” pada bahagian belakang. Namun, ia tidak dilengkapi dengan sistem “Dynamic Chassis Control”(DCC) sepertimana varian 2.0L. Berita baiknya, penyerap hentak tanpa sistem DCC adalah lebih murah harganya. Takdelah pening kepala sekiranya penyerap hentak rosak.

Aspek keselesaan jentera ini juga tidak diabaikan dimana jentera ini dibekalkan dengan sepasang kerusi hadapan yang selesa. Balutan kerusi adalah daripada “Merlin Fabric”. Disamping itu, rekaan roda stering jenis “Flat Bottom” beserta “Multifunction Button” menambahkan nilai estetika jentera ini. Sistem Audio menerima jenis set RCD310 dan dipadankan bersama 8 unit speaker. Ruang kargo juga boleh tahan besarnya dengan kapasiti 312 Liter.

Selesai sudah ciri teknikal jentera ini, kita pergi pada persoalan utama iaitu masih relevan atau tidak jentera ini.

Jentera ini sebenarnya masih relevan untuk dimiliki. Faktor utama adalah disebabkan harga bagi unit terpakai adalah sangat berpatutan iaitu sekitar RM50,000 sahaja. Harus diingat, jentera ini berharga sekitar RM188,888 ketika baru dilancarkan di pasaran Malaysia pada tahun 2010. Berita baiknya, masih boleh dibeli dengan pinjaman bank ataupun kredit. Cuma kadar faedahnya sedikit tinggi.

Sebab utama penurunan harga mendadak adalah disebabkan faktor ketahanan jentera ini ditambah pula dengan pelbagai keluhan terhadap servis yang diberikan oleh pihak Volkswagen sendiri.

Sebenarnya, jentera ini tidaklah seteruk yang disangka. Persepsi masyarakat melihat jentera ini sebagai sebuah jentera yang membebankan poket. Namun tidak begitu sebenarnya. Hal ini sebenarnya dibantu dengan lambakan bengkel-bengkel yang berkemampuan melakukan kerja baik pulih jentera ini. Selain itu, alat ganti jentera ini juga mudah didapati walau dimana pun anda berada. Belum cerita tentang pasaran “Halfcut”. Jujur saya cakap, main JDM lebih membocorkan poket berbanding jentera ini. Tak percaya tanya geng K-Car. Berapa diorang habis.

Sentimen “Clutch” dan “Mechatronic” sering menghantui pemilik dan juga bakal pemilik jentera ini. Disini kami ingin nyatakan bahawa memang benar terdapat kebarangkalian komponen ini akan rosak, namun harga yang perlu dibayar untuk proses baik pulih tidaklah terlalu tinggi sebenarnya. Dan komponen-komponen ini tidaklah perlu ditukar setiap tahun. Kos penukaran unit “Clutch” dianggarkan sekitar RM3,500 manakala unit “Mechatronic” pula sekitar RM3,300 beserta upah.

Ada juga kes besar seperti unit piston retak dan cair. Namun kos untuk membaik pulih beserta penukaran piston kepada jenis “Forged” memakan kos dalam lingkungan RM10,000-RM13,000.

Kos “Major Service” merangkumi penukaran “Engine Oil”, “Oil Filter”, “Gear Oil”, “Mechatronic Oil”, “Spark Plug”, “Air Filter” dan “Pollen Filter” pula tidak sampai RM2,000 beserta upah. Jika hanya menukar “Engine Oil” dan “Oil Filter”, harganya sekitar RM400 sahaja. Berpatutan bukan ? “Wear & Tear Parts” juga berada dalam skala harga yang berpatutan dan mampu milik.

Dari segi cukai jalan, harganya dalah RM70 sahaja untuk setahun manakala nilai insurans bergantung kepada harga pasaran jentera tersebut bersama nilai peratusan NCD nama pemilik.

Jentera ini merupakan jentera import dari Jerman Tuan-Tuan. Harga ketika baru pun agak mahal. Namun disebabkan sentimen harganya mendadak turun dan menjadi mampu milik kepada rakyat marhaen.

Sekiranya anda masih bujang yang mahu mencari calon suami atau isteri, jentera ini sesuai untuk anda. Sekiranya anda sudah berkahwin dan belum mempunyai anak, jentera ini sesuai untuk anda. Sekiranya anda merupakan seorang yang sudah berkahwin dan mempunyai anak, jentera ini juga sesuai untuk anda sebagai sebuah jentera mingguan atau ulang alik ke tempat kerja. Jimat petrol Tuan-Tuan. Bukan itu sahaja. Jentera ini mesra jantina dimana baik lelaki dan perempuan sesuai untuk memilikinya.

Jentera ini juga mesra modifikasi dimana terdapat ramai yang melakukannya seperti menggunakan “Open Pod Air Intake”, “Catless Downpipe”, “Valvetronic Exhaust System” beserta talaan ECU. Modifikasi seperti ini secara automatik menaikkan kuasa enjin dan pada masa yang sama pemilik tidak boleh merungut tentang kadar penggunaan bahanapi yang sedikit tinggi.

Kesimpulannya, jentera ini masih berbaloi untuk dimiliki. Reka bentuknya juga malar hijau sehingga tidak perasan bahawa jentera ini sudah lebih 10 tahun berada di pasaran negara kita. Apa yang anda perlu buat adalah bawa mekanik bertauliah untuk memeriksa unit yang anda inginkan atau yang lebih baik adalah bawa jentera yang bakal dibeli ke bengkel untuk melakukan “Pre Purchase Inspection”. Pemeriksaan sebegini rupa mampu menyelamatkan poket anda dan mengesan masalah pada jentera di peringkat awal.

www.mudah.my
www.carlist.my

Saya cuma membantu.

Google ads
Back to top button