Artikel Pilihan

5 BIDANG TUGAS PENTING DALAM INDUSTRI PEMBUATAN KERETA, TETAPI RAMAI YANG TIDAK TAHU

Apabila sesebuah kereta baharu dilancarkan, kita biasanya terbayangkan bahawa ia dihasilkan oleh pasukan reka bentuk, jurutera dan pekerja di kilang. Namun, tahukah anda bahawa penghasilan sesebuah kenderaan sebenarnya turut melibatkan aspek pertukangan, kreativiti dan ketepatan?

Sebab itulah wujud lima bidang kerja yang tidak kurang pentingnya, tetapi tidak diketahui ramai. Jadi, siapakah mereka ini?

1. Pemandu uji

Sebagai contoh, pasukan pemandu profesional SEAT perlu memandu uji melibatkan jarak sejauh dua juta kilometer setahun di kilang SEAT di Martorell, Sepanyol. Mereka bertanggungjawab mengkaji prestasi kenderaan sebaik sahaja ia keluar dari saluran pengeluaran di kilang. Kenderaan tersebut akan diuji pada kelajuan berbeza di sekurang-kurangnya enam permukaan jalan bagi memastikan tiada bunyi tidak menyenangkan terhasil. Dalam proses yang sama, mereka turut menguji fungsi hon, lampu dan brek.

2. Pengarca tanah liat 

Pasukan pengarca menghasilkan tanah liat dalam saiz dan berat sebenar sesebuah kereta. Proses itu menggunakan sekurang-kurangnya 2,500 kilo tanah liat dan memakan masa sehingga 10,000 jam untuk menghasilkan sesebuah kereta yang lengkap dengan siluet, sebelum reka bentuknya dimuktamadkan.

3. Tukang jahit

Berperanan menjahit corak-corak upholsteri, selain mereka kombinasi warna dan fabrik yang paling sesuai untuk personaliti sesebuah kenderaan. Pasukan pakar ini memerlukan jahitan sepanjang 30 meter untuk menghasilkan upholsteri penuh sebuah kereta. Rekaan mereka juga dihasilkan dua tahun lebih awal.

4. Tukang uji tempat duduk

Pasukan ini bertanggungjawab menghasilkan bentuk kerusi yang ideal. Mereka juga melakukan operasi melipat tempat duduk tersebut sehingga 20,000 kali untuk setiap kerusi berbeza.

Kajian yang terpaksa mereka lakukan juga cukup merenyahkan. Mereka perlu mencari busa, fabrik, struktur atau jahitan tepat yang boleh disesuaikan dengan pelbagai kondisi dan kerangka berbeza. Pasukan ini juga perlu memastikan rekaan perehat kepala yang betul demi mengelakkan kecederaan leher.

5. Sommelier kereta

Sommelier ialah perkataan Perancis. Ia bermaksud pelayan restoran mewah yang mempunyai kepakaran atau pengetahuan dalam memadankan wain dengan hidangan. Tetapi dalam konteks penghasilan kereta, pasukan ini menggunakan sensitiviti hidung mereka untuk menghasilkan bau ‘kereta baharu’. Pasukan ahli kimia ini perlu menjalankan lebih 400 ujian bau setiap tahun dan mendedahkan kenderaan kepada suhu mencecah 60 ºC.

Kerjaya ini juga mempunyai disiplin yang ketat. Mereka tidak dibenarkan merokok atau memakai minyak wangi bagi memastikan hasil kajian tidak terjejas.

Dalam lima bidang tugas ini, anda nak kerja yang mana satu?

BACA: BELI HARTANAH HARGA RM6.42 JUTA, DAPAT SEKALI 300 UNIT KERETA VINTAJ!

Google ads
Back to top button