Buletin

550 ADUAN TERHADAP VOLVO EX30, THAILAND HERET VOLVO KE MAHKAMAH

Thailand bakal menyaksikan tindakan undang-undang sivil difailkan terhadap unit tempatan Volvo Cars susulan isu kebakaran melibatkan model elektrik Volvo EX30, menurut pegawai yang terlibat dengan badan pemantau pengguna negara itu.

Penasihat kepada menteri yang mengetuai badan pemantau pengguna Thailand, Pradoemchai Bunchualuai, berkata pihak berkuasa telah meluluskan tindakan undang-undang terhadap Volvo Cars Thailand serta syarikat penyelenggaraan dan pembaikannya, Scandinavian Auto Co. Ltd.

Langkah tersebut diambil selepas rundingan antara Volvo Cars, Lembaga Perlindungan Pengguna Thailand dan pelanggan yang berlangsung di Bangkok bulan lalu gagal mencapai penyelesaian.

Menurut Pradoemchai, Pejabat Lembaga Perlindungan Pengguna akan bertindak sebagai plaintif bagi 550 aduan yang diterima dan setiap kes akan difailkan secara berasingan.

Beliau berkata kes pertama dijangka diserahkan kepada pendakwa raya awam minggu hadapan dengan tuntutan ganti rugi berjumlah 1.2 juta baht, bersamaan kira-kira RM155,000.

Setakat ini, Volvo Cars Thailand tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen media antarabangsa, manakala Volvo Cars secara global turut enggan mengulas lanjut mengenai tindakan berkenaan.

Pada Februari lalu, Volvo dilaporkan mengumumkan penarikan balik lebih 40,000 unit EX30 di seluruh dunia bagi menggantikan modul bateri yang didakwa mempunyai kecacatan sehingga boleh menyebabkan pek bateri menjadi terlalu panas dan berpotensi terbakar.

Bagaimanapun, syarikat itu kemudian memaklumkan jumlah sebenar kenderaan yang terlibat dalam kempen penarikan balik tersebut dikurangkan kepada 37,802 unit berbanding 40,323 unit sebelum ini.

Volvo Cars turut menjelaskan proses penggantian bateri mengalami sedikit kelewatan berikutan konflik melibatkan Iran, namun menegaskan kes kebakaran dilaporkan adalah sangat kecil dan melibatkan kurang daripada 0.1 peratus kenderaan yang terjejas.

Google ads
Back to top button