Artikel Pilihan

ANDA KENA TUNGGU LAMA UNTUK DAPAT KERETA TAHUN 2021? INI SEBENARNYA YANG BERLAKU

Penulis telah menjual kereta lama pada akhir tahun 2020 dan memesan sebuah kereta baru sebagai kereta ganti. Rasanya pesanan tersebut dibuat pada bulan Februari 2021 dan kereta baru diterima pada awal Mei 2021. 3 bulan masa yang diperlukan untuk kereta sampai ke tangan pembeli selepas menandatangani perjanjian jual beli.

Kalau anda rasa proses ini lama, cuba tanya pembeli kereta Proton X50 yang telah menunggu hampir setahun tapi masih belum menerima kereta baru mereka. Begitu juga dengan pembeli Perodua Ativa yang memerlukan masa yang lama untuk kereta baru sampai di tangan mereka

Sebelum COVID 19 melanda dunia, secara purata proses penghantaran kereta baru mengambil masa sekitar 1 minggu atau paling lama sebulan sahaja. Jarang-jarang sekali kita dengar kereta memerlukan masa sehingga 2 bulan untuk sampai ke tangan pengguna. Mungkin pengecualian dibuat pada model Myvi yang perlu menunggu sehingga 6 bulan

Puncanya tempahan Myvi yang diterima melebihi kapasiti 2 kali ganda kapasiti pengeluaran kilang termasuk kerja lebih masa. Tapi apabila COVID19 melanda dunia, ia merubah semua cara hidup dan juga cara kerja kita termasuk di kilang pengeluaran automotif.

Kebanyakan kilang automotif di Malaysia dan juga dunia akan menggunakan kaedah Just in Time Production atau disebut juga Lean Production System. Dalam kaedah ini, kilang hanya akan mengeluarkan kereta berdasarkan tempahan yang diterima daripada unit jualan. Rumusnya seperti di bawah:

Hasil pengeluaran kilang = tempahan yang diterima + jangkaan jualan

Katakanlah tempahan yang diterima ialah 4000 unit dan unit jualan meletakkan satu nilai tambahan lagi sekitar 1000 unit, maka kilang akan mengejar hasil pengeluaran sekitar 5000 unit sebulan. Unit perancangan akan merancang berapa unit kereta yang harus dikeluarkan setiap hari. Mereka juga merancang kerja tambahan jika pengeluaran tidak mencapai objektif

Pesanan akan dihantar kepada kilang pembekal atau vendor. Ia merupakan satu perancangan yang teliti yang disebut Heijunka (maaf kalau silap) dengan perancangan pengeluaran tahunan dipecahkan kepada bulanan dan juga harian. Berdasarkan perancangan ini, vendor perlu menghantar komponen yang dikehendaki setiap hari pada logistik.

Kalau pengeluaran kereta ialah 400 unit sehari semalam, maka vendor akan menghantar 400 komponen contohnya lampu depan kanan setiap hari. Tak kurang dan tak lebih. Logistik akan menentukan masa penghantaran, masuk tepat pada waktunya dan kalau lambat akan didenda

Ya denda atau penalti sekiranya proses penghantaran lambat yang menyebabkan line production terhenti contohnya RM 1000 seminit. Bunyi agak kejam tapi inilah konsep yang digunakan dalam Lean Production System atau Just in Time. Amat jarang sekali anda nampak kereta baru bersusun di dalam kilang. Semua kereta biasanya sudah ada nama pembeli

Sekiranya berlaku gangguan yang dijangka dalam proses penghasilan komponen, maka tindakan yang sesuai seperti memindahkan alatan die, jig, moulding dan segalanya akan dibuat atau meminta pembekal menghasilkan stok secukupnya. Namun dalam situasi hari ini Just in Time kalah kepada COVID19 kerana ia adalah pendemik global

Vendor di dalam dan luar negara mengalami gangguan Manpower apabila terpaksa ditutup kerana kakitangan mereka dijangkiti COVID19. Komponen automotif tidak dapat dihasilkan dan dihantar ke kilang kereta untuk dipasang pada kereta. Beberapa jenama dunia yang mengamalkan Just in Time terpaksa berpatah balik kepada simpanan stok yang banyak bagi memastikan barisan pemasangan mereka tidak terganggu

Tapi salah satu komponen yang penting iaitu cip komputer banyak dihasilkan di negara Asia yang kebetulan pula terjejas teruk akibat COVID. Malaysia juga antara negara pembekal cip kepada Tesla sehingga ia mengganggu kilang Tesla di Amerika. Cip komputer hari ini amat penting dalam industri automotif

10.19% dunia cip komputer datang dari Malaysia

ECU enjin, TCU transmisi, ECU untuk sistem infohibur dan navigasi, ECU untuk sistem keselamatan yang mengawal AEB, malah lampu LED Adaptif juga menggunakan ECU. Semasa fasa awal COVID19 melanda dunia yang menjejaskan industri automotif, kebanyakan pembekal cip komputer mencari pelanggan lain bagi kelangsungan perniagaan

Namun pada pertengahan 2020, industri automotif pulih dengan sangat cepat sehingga pembekal cip komputer tidak mampu memenuhi permintaan industri automotif dan industri bukan automotif secara serentak. Ditambah pula dengan kapasiti kilang cip automotif yang tidak berubah, maka kilang cip komputer dah tersumbat

Dalam keadaan kelam kabut begini beberapa pengeluar barangan elektronik terbesar dunia yang menghasilkan peralatan komunikasi telah membuat pembelian panik bagi merebut semua stok cip komputer yang ada dunia. Jangan ingat rakyat Malaysia je yang pandai buat pembelian panik ni ya

Pembelian panik ini disebabkan sebelum COVID19 melanda dunia, negara maju dan negara membangun sedang sibuk memodenkan sistem komunikasi negara mereka bagi persedian sambungan internet 5G berkelajuan tinggi. Contohnya, anda beli komponen kenderaan atas talian, ia memerlukan sambungan internet yang stabil bagi menguruskan pembelian, penghantaran dan pembayaran atas talian.

Pendek kata, industri automotif yang berasaskan Just in Time metodologi dalam pengurusan stok komponen tidak bersedia menghadapi gangguan bekalan cip, mungkin ada stok cip komputer yang minima atau lebih teruk tiada stok langsung. Kesannya ia akan mengganggu “supply chain” dalam industri automotif dan anda akan menerima kereta dalam masa beberapa bulan sementara cip komputer sampai.

Nak salahkan syarikat kereta kerana mengamalkan sistem Just in Time ini tak boleh sebab sistem ini memastikan kilang kereta beroperasi dengan kos yang minima dan membolehkan kereta dijual pada harga mampu milik. Jika kilang mula menyimpan stok, ia memerlukan mereka melabur duit dalam fasiliti simpanan, keselamatan dan pengendalian stok

Masalah tidak cukup cip komputer ini adalah masalah global dengan anggaran kerugian setakat ini ialah sekitar 110billion USD, kalau anda tukar ke Ringgit anda boleh pengsan dengar kos kerugian yang dialami oleh industri automotif. Mungkin juga pengeluar kenderaan boleh merangka metodologi baru dalam pengurusan stok terutama cip komputer, kalau tidak masalah ini akan berulang pada masa depan.

Sebagai contoh ialah Hyundai nakal membina kilang cip komputer sendiri sebagai langkah untuk mengatasi isu ini. Langkah membina kilang cip komputer ini penting kerana Hyundai merancang untuk menghasilkan EV yang pasti banyak menggunakan cip komputer

Google ads
Back to top button