APA ITU SPOILER? APA ITU GT WING? AERODINAMIK KAH?AMPAIAN KAIN KAH?
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan membincangkan topik tentang Spoiler dan GT Wing. Umum mengetahui Spoiler ni apa.
“Spoiler tu GT Wing kan ?”
Bukan tuan tuan.
Terdapat sedikit sahaja perbezaan fungsi antara Spoiler dan GT Wing.
SPOILER
Apabila kenderaan bergerak, angin yang lalu di badan kenderaan terus ke belakang dan berpusar dan kemudiannya masuk ke bahagian bawah kenderaan. Udara yang berpusar ini dipanggil “turbulence”. Disebabkan itu, jika anda memandu laju, anda akan perasan bahagian belakang kenderaan anda seolah-olah melayang atau tidak stabil. Hal ini juga diterangkan di dalam Prinsip Bernoulli.
Jadi, Spoiler diletakkan untuk mengacau (spoil) aliran udara ini daripada pergi ke bahagian bawah kenderaan sekaligus mengelakkan kenderaan melayang ketika kelajuan tinggi. Disebabkan itu kebanyakan kereta berprestasi tinggi akan didatangkan sekali dengan unit Spoiler sebagai ciri asas.
Ciri-ciri Spoiler ini dia kecil sahaja dan tidak mempunyai pemegang. Yang korang nampak tinggi-tinggi tu GT Wing. Contoh terbaik boleh dilihat pada jentera NASCAR. Kenapa NASCAR ? Kerana jentera NASCAR lah yang pertama menggunakan Spoiler. Jentera tersebut merupakan Dodge Charger keluaran tahun 1966. Kalau lihat pada rekabentuk jentera, memang tak meyakinkan untuk dibawa berlumba di trek, namun, dengan adanya Spoiler ianya menjadi realiti.
Contoh kedua pula boleh dilihat pada jentera Porsche 911 930 Turbo yang menggunakan Spoiler jenis “Whaletail”.
Spoiler ni banyak jenis ke ?
Banyak. Berikut merupakan jenis-jenis Spoiler :-
– Lighted Spoiler
– Pedestal Spoiler
– Roof Spoiler
– Lip Spoiler
– Truck Spoiler
– Whaletail Spoiler
– Ducktail Spoiler
Banyak bukan ?
GT WING
GT Wing juga berfungsi seperti Spoiler, namun dengan fungsi yang lebih lagi. Ia juga berfungsi untuk meningkatkan “Drag” sekaligus memberikan “Downforce” kepada kenderaan pada kelajuan tinggi. Senang cerita, ia berfungsi seperti sayap kapal terbang, jika sayap kapal terbang fungsinya untuk mengangkat kapal terbang ke udara, GT Wing pula fungsinya untuk memastikan kenderaan melekat di atas jalan.
Eh, kuat sangat ke fungsi GT Wing ni ?
Kuat Tuan-Tuan.
Sebagai contoh, GT Wing yang ada pada jentera Formula One memberikan tekanan sehingga 800kg “Downforce” ketika berada pada kelajuan 300km/h. Berat yang sama seperti Perodua Viva 1000cc Premium EZi.
Tapi itu jentera Formula One, dimana Cesi, sistem gantungan serta tayarnya direka khas untuk tekanan sebegitu rupa. Bagaimana pula dengan “Hypercar” yang mampu memecut lebih 300km/h ?
ACTIVE REAR WING
“Hypercar” dan barisan “Supercar” seperti Bugatti Veyron, Lamborghini Aventador, McLaren P1, dan banyak lagi menggunakan “Active Rear Wing” untuk tujuan ini. Ketika jentera berada dalam kelajuan 120km/h keatas, “Rear Wing” ini akan berada pada kedudukan paling tinggi. Namun, apabila kelajuan jentera mencecah 250km/h, kedudukan “Rear Wing” akan direndahkan sedikit, fungsinya untuk mengurangkan tekanan “Downforce”.
Kenapa ?
Seperti yang dinyatakan diatas, tekanan “Downforce” boleh mencecah sehingga 800kg. Jika tekanan tersebut diaplikasikan pada jentera-jentera mewah ini, kerosakan akan berlaku pada sistem gantungan, cesi serta tayar. Bahaya !
Ada ke “Supercar” yang tiada Spoiler/Wing ?
Ada Tuan-Tuan. Jentera tersebut ialah Koenigsegg CCX. Jentera ini dikuasakan oleh enjin 4.7L V8 yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 806hp dan daya kilas sebanyak 920Nm. Pada awal pelancaran model ini, ia tidak datang dengan Spoiler mahupun Wing, ia membuatkan jentera ini terkenal dengan reputasinya yang bagus tetapi “undrivable”. Melayang ketika kelajuan tinggi dan kelaut ketika mengambil selekoh. Gila ke ? Setelah mendapat kritikan hebat, pihak Koenigsegg akhirnya mengeluarkan Wing belakang sebagai “Optional” dan sebagai ciri asas untuk pengeluaran selepasnya. Mungkin Jurutera Aerodinamik mereka MC waktu tu. Dateline dah dekat, tu yang lancarkan je tanpa Spoiler/Wing.
SPOILER HADAPAN
Dah alang-alang cerita pasal Spoiler, kita cerita sekali pasal Spoiler hadapan. Spoiler bukan hanya ada di belakang, namun ianya juga direka untuk berada di bahagian hadapan jentera. Spoiler hadapan direka untuk menahan udara daripada masuk ke bawah kenderaan dan memaksa udara untuk ke bahagian atas kenderaan, sekaligus meningkatkan tekanan pada bahagian atas kenderaan serta “Downforce” pada kelajuan tinggi.
Cukup ? Tidak Tuan-Tuan.
Tak cukup dengan Spoiler hadapan, direkanya pula Splitter. Splitter ini fungsinya sama juga. Ada jentera yang sudah mempunyai Spoiler hadapan dan kemudiannya ditambah lagi dengan Splitter untuk menambahkan lagi kesan “Downforce” tersebut. Ada juga kenderaan yang tidak mempunyai Spoiler hadapan tetapi hanya mempunyai Splitter sahaja. Tujuannya tetap sama, iaitu “Downforce”.
Dengan kemajuan teknologi zaman sekarang ini, ada pengeluar kenderaan yang mengaplikasikan teknologi yang dipanggil “Active Front Splitter”. Ia disorok ketika pemanduan biasa dan diaktifkan ketika pemanduan laju. Anda boleh lihat fungsi ini pada jentera Alfa Romeo Giulia(952) Quadrifoglo. Memang maju memang umph !
Perasan atau tidak, terdapat banyak ayat “pada kelajuan tinggi”.
Kenapa ?
Kerana Spoiler, GT Wing dan Spoiler hadapan hanya berfungsi ketika kelajuan tinggi. Ketika kelajuan rendah, ianya hanya menjadi beban kerana “Drag” yang tercipta sekaligus memberi kesan kepada kecekapan Aerodinamik.
Disebabkan itu juga jentera-jentera mewah seperti Porsche, Bugatti, Lamborghini, dan banyak lagi menggunakan sistem “Active Rear Wing” dimana Wing ini akan disimpan ketika kelajuan rendah.
Kedudukan Spoiler, GT Wing dan Spoiler hadapan juga mempunyai sudut tertentu. Bukan main pasang je, bukan asal condong ke bawah je terus okay. Tidak Tuan-Tuan. Semua ini harus diuji di dalam ruang ujian Aerodinamik atau lebih dikenali sebagai “Wind Tunnel”. Sudut adalah kritikal kerana ia menentukan bahawa komponen ini akan berfungsi dengan baik atau sekadar menjadi beban kepada jentera.
Jadi Tuan-tuan, inilah sedikit sebanyak tang saya boleh kongsikan tentang Spoiler dan GT Wing. Untuk maklumat lebih saintifik boleh pergi ke artikel KISAH PRINSIP BERNOULLI, AUTOMOTIF DAN GT WING tulisan saudara Farhan Alias di Mekanika Malaysia. Akhir kata, Spoiler itu kecil, GT Wing itu besar, kenapa baca macam pantun, kalau boleh baca macam biasa.