Artikel Pilihan

BAGAIMANA KERETA RALI MAMPU BERTAHAN DALAM KEADAAN EKSTRIM

Dalam perlumbaan rali, kereta-kereta yang digunakan akan ‘dibelasah’ semaksima mungkin untuk membuat catatan masa terpantas. Kelajuan yang dicatat memang menyamai bahkan lebih dari kelajuan kereta biasa di atas jalan raya. Lompatan demi lompatan dan mukabumi berbatu akan membuatkan kereta biasa hancur berkecai tetapi tidak kepada kereta rali. Jadi apakah rahsianya?

Mula-mula sekali, kereta rali adalah berbeza sama sekali dengan kereta lumba yang digunakan di dalam litar. Contohnya spesifikasi Mitsubishi Lancer Evolution yang digunakan untuk rali memang langsung tidak sama dengan Mitsubishi Lancer Evolution yang anda gunakan untuk melaram walaupun rupanya sama. Ini kerana ia mesti tahan ‘didera’ sepanjang perlumbaan rali yang meliputi mukabumi yang pelbagai.

Laluan rali di kawasan desa atau estet biasanya mempunyai lompatan, batu-batu kecil dan besar serta lopak ataupun laluan berair yang mesti diharungi. Ia mesti mempunyai asas yang kukuh agar tidak berkecai. Apatah lagi kadang-kadang tekanan brek maksima diperlukan ketika dalam kelajuan tinggi. Bagi kereta biasa memang bersepai la jawabnya.

Untuk memahami bagaiman kereta rali disediakan dan apakah perbezaannya dengan kereta berprestasi tinggi biasa, saksikan klip video yang dihasilkan oleh pasukan rali Team O’Neil tentang persediaan dan pelarasan yang dilakukan kepada jentera rali mereka agar tidak berkecai sewaktu dibelasah nanti.

Semestinya sama seperti kereta lumba lain, ia dilengkapi dengan roll cage keselamatan, suspensi tugas berat dan sistem brek yang lebih baik. Tetapi itu hanya permulaannya dan boleh dikatakan bahagian yang paling mudah. Bahagian yang sukar contohnya ialah menukar bahagian mounting enjin agar hentakan yang berlaku dapat diminimakan sewaktu memecut di kawasan tidak rata.

Pelindung bawah ataupun skid plate yang tebal juga diperlukan untuk melindungi bahagian bawah daripada tercucuk objek-objek tajam seperti batu yang mampu merosakkan takungan pelincir di bahagian bawah enjin. Bukan itu sahaja, rim dan tayar yang digunakan juga berbeza mengikut laluan yang akan dilalui.

Banyak lagi yang diterangkan dalam video di bawah tentang persediaan yang dilakukan ke atas sebuah jentera rali agar mampu memberikan saingan yang sengit kepada pihak lawan.

Kredit kepada Team O’Neil

Google ads
Back to top button