BANGLADESH PERKENAL JAMBATAN PADMA. RM15.9 BILION, JIMATKAN MASA PERJALANAN
Bangladesh baru-baru ini memperkenalkan projek infrastruktur terbesar dalam sejarah negara itu.
Jambatan yang diberi nama Padma sepanjang 6.15 kilometer itu merentasi sungai yang menghubungkan Dhaka ke wilayah selatan negara tersebut. Pembinaan jambatan itu secara tidak langsung dapat memendekkan jarak antara Dhaka dan pelabuhan kedua terbesar negara ini, Mongla, kira-kira 100 kilometer.
Perjalanan yang sebelum ini mengambil masa dua hingga tiga hari dari selatan Bangladesh kini boleh diselesaikan dalam tempoh beberapa jam. Projek membina jambatan itu dianggarkan berjumlah AS$3.6 bilion (RM15.9 bilion) dan dibiayai sepenuhnya oleh dana domestik.
“Jambatan itu milik rakyat Bangladesh. Ia melambangkan kesabaran, kreativiti, keberanian, ketahanan dan ketabahan kami. Ia dibina dengan teknologi paling canggih dan dinilai memenuhi tahap piawaian tertinggi,” kata Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina.
Lebih 14,000 pekerja termasuk jurutera asing mengambil bahagian dalam pembinaan jambatan berkenaan. – Utusan Online