
BATAL PROJEK HSR. MALAYSIA BAYAR PAMPASAN RM320 JUTA PADA SINGAPURA
Malaysia membayar SGD102,815,576.00 (RM320,270,519.24) kepada Singapura sebagai pampasan berhubung pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung dalam satu kenyataan bersama, berkata jumlah pampasan itu dipersetujui kedua-dua negara.
“Bayaran SGD102,815,576.00 (RM320,270,519.24) sudah dibuat oleh kerajaan Malaysia sebagai pampasan terhadap kos ditanggung kerajaan Singapura dalam pembangunan projek HSR dan berkaitan penangguhan projek itu.
“Kedua-dua negara mencapai persetujuan berhubung jumlah berkenaan susulan proses pengesahan oleh kerajaan Malaysia.
“Jumlah ini adalah penyelesaian penuh dan terakhir berkaitan dengan penamatan perjanjian dua hala,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua negara kekal komited menjaga hubungan baik dan kerjasama erat demi kepentingan bersama. – BH