Artikel Pilihan

BICARA TEKNIKAL: POWER ENJIN SUPRA NI

2JZ ialah kod nama enjin bagi Supra A80 yang lama. Ia merupakan enjin dengan pilihan saiz 2500cc ataupun 3000cc 6 silinder susunan sebaris. Bagi model GTE ia akan dilengkapkan dengan turbo berkembar ia berupaya menghasilkan 326 kuasa kuda. Jadi apabila Toyota ingin menghasilkan pengganti Supra yang dikenali dengan kod J29 atau A90, ia seharusnya lebih hebat dari segi prestasi, kawalan pencemaran udara dan juga kuasa yang dihasilkan

Janganlah salahkan Toyota apabila mereka bekerjasama dengan BMW bagi menghasilkan sebuah kereta sport 2 pintu dengan konfigurasi FR kerana ia sebenarnya sebuah kereta untuk pasaran niche, untuk peminat hardcore dengan duit berkoyan koyan. Toyota dan BMW hanya sama dalam beberapa aspek seperti enjin, transmisi, kedudukan pemandu dan tetapan suspensi. Talaan seterusnya adalah bergantung pada citarasa masing-masing. BMW meletakkan perasa Sauerbraten  dan Jepun pula kekal dengan gaya Sushi.

Terdapat 2 pilihan enjin yang ditawarkan oleh Toyota bagi model Supra iaitu dengan enjin 2000cc B48B20 empat silinder turbo dan enjin 3000cc B58B30O1 enam silinder turbo. Ulasan kali ini memberi fokus kepada enjin 3000cc turbo yang direka dan dihasilkan oleh BMW. Ia bukanlah enjin pekak kosong yang disangkakan kerana enjin ini berulang kali meraih anugerah seperti 10 Enjin Terbaik Dunia. Bukan sekali, bukan 2 kali tapi 3 kali. Korang nak dapat anugerah dekan sekali pun susah kan..

Ia memenangi anugerah tersebut pada tahun 2016 masa dipasang pada BMW 340i, pada tahun 2017 semasa digunakan pada BMW 240i dan akhir sekali pada tahun 2019 semasa ia dipasang pada BMW X5. Nama penuh yang diberikan oleh BMW pada enjin ini ialah B58B30O1. Maksud penuh adalah seperti di bawah

KodMaksud
Bmenunjukkan ia dibuat oleh BMW. Kalau W digunakan ia bermaksud ia dibina oleh pihak lain
5angka 5 menunjukkan enjin ini memiliki 6 silinder. Kenapa tak guna 6 ye?
8enjin berkuasa petrol, suntikan bahan api terus, turbocaj dan fungsi Valvetronic
Benjin dipasang secara longitudinal
30saiz enjin 3000cc
Ovarian enjin ialah O dari segi kelas kuasa
1No edisi

Saiz diameter silinder ialah 82mm dan saiz lejang silinder ialah 94.6mm menjadikan saiz keseluruhan enjin ialah 3000cc atau 3 liter. BMW memilih untuk menggunakan aluminium sebagai bahan utama dalm pembinaan kepala silinder dan juga blok enjin. Ia menghasilkan 335 kuasa kuda pada 5500 RPM dan tork setinggi 447Nm pada 1400 – 5000 RPM. Nisbah mampatan pula ditetapkan pada 11:1 satu angka yang agak tinggi bagi enjin dengan teknologi turbo.

Close Deck

Tapi jangan terkejut kerana enjin ini sebenarnya disaskan daripada enjin BMW N55 namun dengan modifikasi yang panjang. Perkara pertama yang diubah oleh BMW ialah dengan memendekkan diameter sebanyak 2mm dan lejang dipanjangkan sebanyak 5mm. Malah BMW turut menaiktaraf silinder yang digunakan dalam B58. Jika model N55 menggunakan besi tuang dalam dalam pembinaan, B58 menggunakan aluminium dengan teknologi Electric Arc Wire Spray bagi menggantikan teknologi bagi melapik di bahagian dalam silinder enjin melalui teknik semburan plasma.

Proses Electric Arc Wire Spray pada enjin B48

Ketebalan lapisan plasma ini hanyalah 0.3 mm adalah lebih ringan, lebih lasak dan berupaya menyingkirkan haba dengan pantas, dan geseran yang lebih rendah. Ketegaran enjin juga telah dipertingkatkan dengan mengubah saliran cecair penyejuk dari jenis open deck kepada closed deck. Jadi BMW perlu mengubah pergerakan cecair penyejuk demi memastikan blok enjin lebih kuat bagi menghasilkan kuasa yang lebih kuat pada tekanan yang lebih tinggi.

Sistem Vanos

BMW juga turut menggunakan teknologi pemasaan injap seperti Vanos dan Valvetronic. Vanos merujuk kepada pemasaan injap bagi tujuan advance dan retard pemasaan injap dan Valvetronic merujuk kepada teknologi pengubahan injap (pengubahan pembukaan saiz injap). Kedua dua sistem digabungkan agar enjin ini mampu menghasilkan tork yang kuat pada RPM yang rendah dan menggunakan kaedah valve overlap pada RPM tinggi bagi menghasilkan kesan scavenging untuk menghasilkan kuasa enjin pada RPM yang tinggi .

Sistem Valvetronic

Sistem ini juga boleh menghasilkan kesan EGR bagi mengurangkan kebarangkalian berlakunya fenomena ketukan pada enjin. Bagi enjin B58, salah satu modifikasi yang dibuat pada sistem Vanos dan Valvetronic ialah dengan menjadikan sistem ini lebih kompak dan rendah. Malah Toyota juga mendakwa pusat graviti Supra adalah lebih rendah berbanding dengan GT86 walaupun menggunakan enjin 6 silinder sebaris.

Sistem twin Scroll bagi enjin 4 silinder bagi gambaran

Toyota juga menggabungkan enjin ini dengan sistem turbo skroll berkembar. Satu turbo akan mengawal 3 silinder sahaja berbanding kesemua gas ekzos dipaksa masuk ke dalam sistem turbo tunggal yang akan menyebabkan keberkesanan tenaga kinetik gas ekzos berkurang. Alasan BMW mudah kerana arahan pembakaran silinder berada pada susunan 1-5-3-6-2-4. Satu skroll turbo akan menerima gas ekzos dari silinder 1, 3 dan 2 dan satu lagi skrol turbo akan menerima gas ekzos dari silinder 5, 6 dan 4.

Teknik ini akan mengelakkan gas ekzos bertembung antara satu sama lain ketika menuju ke sistem turbo, mengurangkan fenomena turbolag, memaksimakan tekanan yang sampai pada turbin dan memastikan manifold ekzos tidak mengalami fenomena 2 injap yang terbuka pada satu satu masa. Udara yang masuk akan disejukkan melalui sistem intercooler dengan sejukan air berbanding dengan model N55 yang menggunakan sejukan udara ke udara

Intercooler yang disejukkan oleh cecair

Antara kebaikan menggunakan intercooler sejukan air berbanding dengan intercooler sejukan udara ialah ia mampu merendahkan suhu udara yang akan memasuki silinder. Apabila suhu udara menjadi rendah, isipadu udara akan menjadi rendah dan membolehkan lebih banyak udara dipaksa masuk untuk dibakar di dalam silinder. Toyota mendakwa sistem ini merendahkan suhu udara dari 70 darjah Celcius selepas melalui sistem turbo menjadi 45 darjah Celcius sahaja.

Sistem Twin Scroll Turbo

Apabila suhu menjadi sejuk, kebarangkalian untuk berlakunya knocking akan berkurang dengan drastik, kuasa optimum dapat dihasilkan dan semua silinder dapat beroperasi pada nibah 14.7:1 iaitu paling efisyen. Pemasaan injap dapat diawalkan untuk menjana lebih tenaga dengan menggunakan petrol yang minima. Malah straregi penyejukan ini membolehkan mereka menggunakan turbo yang lebih kecil namun lebih cekap dengan turbin 6% lebih besar dan 20% lebih boost

Ujian yang dibuat oleh Jabatan Tenaga Amerika mendapati Toyota Supra mempu dipandu sejauh 13km bagi setiap liter petrol dalam ujian perjalanan jauh di lebuh raya. Bagi ujian melibatkan jalan bandar, angka yang lebih realistik ialah 11km bagi setiap liter petrol. Salah satu teknologi yang digunakan oleh Supra ialah teknologi Start-Stop bagi membantu menjimatkan petrol di laluan sesak.

Sistem penyejuk kawalan elektrik

Sistem pengurusan cecair penyejuk dikawal sepenuhnya secara elektronik bukannya melalui sistem termostat. Terdapat satu injap yang akan mengawal pengaliran cecair penyejuk yang akan mengawal pengaliran cecair penyejuk berdasarkan keadaan samaada enjin dihidupkan pada waktu sejuk, fasa pemanasan, operasi normal ataupun penyejukan maksimum. Tujuannya ialah memanaskan enjin dengan cepat pada waktu pagi dan mengekalkan suhu yang sesuai untuk minyak pelincir bagi samaada untuk prestasi atau penjimatan bahan api.

Sistem penapisan minyak pelincir dengan penyejuk

Akhir sekali BMW telah melakukan beberapa perubahan pada sistem Crankcase Ventilation di mana sistem ini perlu melakukan proses pembersihan gas yang terlepas ke crankcase dengan menghantar balik gas tersebut ke intake valve. Bagi memastikan suhu minyak pelincir kekal optimum, terdapat sistem penyejuk bagi minyak pelincir yang dipasang berhampiran dengan penapis minyak pelincir. Ia penting bagi memastikan kelikatan minyak pelincir berada pada tahap optimum.

Enjin ini menggunakan minyak pelincir sebanyak 6.5 liter bergred 0W-20 C5. Bagi pasaran Amerika, ia telah ditala supaya beroperasi dengan menggunakan petrol premium dengan RON 93. Ia mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 4.3 saat dan halaju maksimanya ditetapkan pada 250km/j. Kesemua kuasa dihantar ke tayar belakang dengan menggunakan transmisi 8 kelajuan automatik yang dihasilkan oleh ZF Powertrain.

Google ads
Back to top button