Buletin

BIL BAHAN API TERTUNGGAK RM19.1 JUTA, 2 KAPAL GENTING HONG KONG DIRAMPAS

Dua kapal Crystal Cruises yang beroperasi di bawah unit Genting Hong Kong Ltd dirampas di Bahamas selepas pembekal bahan api memohon penahanannya ekoran bil tertunggak tidak berbayar berjumlah AS$4.6 juta (RM19.1 juta), demikian menurut laman web Cruise Law News.

Crystal Symphony dan Crystal Serenity ditahan lewat malam Jumaat lalu di Freeport, Bahamas, menurut Cruise Law News, laman web yang dikendalikan oleh peguam maritim Jim Walker, yang berpangkalan di Florida memetik anak kapal kedua-dua kapal berkenaan.

Kapal persiaran mewah itu berlabuh di Freeport pada 5 Februari lalu, demikian menurut data Bloomberg.

Seorang hakim Florida mengeluarkan waran tangkap Crystal Symphony bulan lalu selepas pembekal bahan api Peninsula Petroleum Far East Pte memfailkan tuntutan undang-undang ke atas Crystal Cruises. Ia meminta penahanan kapal terbabit selepas bil bahan api tidak berbayar sejak 2017 sebanyak AS$4.6 juta, demikian menurut J Stephen Simms, peguam utama yang mewakili pembekal dan rekod mahkamah.

Simms berkata marsyal Amerika Syarikat (AS) bersedia merampas kapal berkenaan jika ia berlabuh di AS. Saman itu juga memperincikan bil yang belum dibayar untuk bahan api yang dihantar ke Crystal Serenity.

Pelayaran Crystal Symphony dan Crystal Serenity berakhir bulan lalu dan pada masa ini tiada tetamu berada di atas kapal, kata Crystal Cruises dalam satu kenyataan kepada Bloomberg News.

Semua gaji anak kapal sudah dijelaskan dan syarikat itu memenuhi obligasi kontraknya bersama anak kapal, kata kenyataan itu.

Crystal Cruises berkata ia tidak dapat mengulas terperinci mengenai perkara yang membabitkan undang-undang yang belum selesai.

Genting Hong Kong menjadi pengendali pelayaran terbesar di seluruh dunia yang mendapatkan bantuan mahkamah bagi melindungi asetnya ketika pandemik apabila ia memfailkan kepada Mahkamah Agung Bermuda pada 18 Januari untuk melantik penyelesai sementara selepas melaksanakan ‘semua usaha yang munasabah’ untuk berunding dengan pemiutang dan pihak berkepentingan.

Syarikat itu melaporkan kerugian sebanyak AS$1.7 bilion (RM7.1 bilion) pada Mei selepas COVID-19 menjejaskan industri pelayaran.

Anak syarikat pembina kapal Jerman, MV Werften, diisytiharkan muflis. Crystal Symphony juga menamatkan pelayarannya lebih awal dan melencong ke Bahamas, demikian menurut penumpang di media sosial. Tidak jelas pihak berkuasa mana yang merampas kapal itu di Bahamas.

Ada kemungkinan terdapat tindakan berasingan yang difailkan di Bahamas membabitkan pemegang gadai janji kapal yang mencetuskan rampasan, kata Walker. – Bloomberg 

Google ads
Back to top button