
BILIONAIR MINYAK SINGAPURA FAIL BANKRAP. LIABILITI CECAH RM17.4 BILION
Hin Leong Trading (HLT), salah satu pedagang minyak bebas terbesar di Singapura menyatakan bahawa ia gagal mengisytiharkan “kerugian kira-kira AS$800 juta (RM3.44 bilion) dalam bentuk kerugian masa depan selama bertahun-tahun”, jelas satu fail mahkamah pada 17 April lalu.
HLT juga memohon moratorium selama enam bulan daripada 23 bank dengan jumlah hutang sebanyak AS$3.85 bilion (RM16.5 bilion).
Pengarah dan pengasas HLT, Lim Oon Kuim, 77, dilapor mengambil tanggungjawab untuk mengarahkan jabatan kewangan untuk menyembunyikan kerugian ratusan juta daripada penyata kewangan syarikat.
Dalam satu pemfailan berbeza, anaknya, Evan Lim Chee Meng mendedahkan bahawa bapanya telah menjual sejumlah inventori syarikat dan menggunakan wang tersebut sebagai dana awam. Biarpun ia merupakan cagaran untuk mendapatkan pinjaman daripada bank.
Evan yang juga pengarah HLT dan anak syarikat Ocean Tankers juga memfailkan perlindungan bankrupsi daripada pemiutang di bawah Seksyen 211B, Akta Syarikat Singapura. Kedua-dua syarikat itu dimiliki penuh oleh keluarga Lim.
Langkah HLT untuk mendapatkan perlindungan mahkamah daripada bank itu hadir ketika harga minyak jatuh ke paras paling rendah dalam tempoh dua dekad akibat perang harga di antara Arab Saudi dan Rusia. Keadaan itu diburukkan lagi dengan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.
Namun, fail mahkamah mendedahkan bahawa HLT sudah mengalami masalah kewangan sejak beberapa tahun lalu lagi. Dalam satu pembentangan kepada pemberi kredit awal bulan ini, HLT memberitahu ia memiliki liabiliti sebanyak AS$4.05 bilion (RM17.4 bilion). Sedangkan ia hanya mempunyai aset AS$714 juta (RM3.06 bilion).
HLT ditubuhkan oleh Lim pada tahun 1963 pada usia 20 tahun. Dia yang merupakan imigran dari China memulakan perniagaan membekalkan minyak diesel kepada nelayan dan pembekal tenaga di kawasan pedalaman.
Perniagaan Lim kemudian terus berkembang maju dan menjadi salah satu pembekal minyak kapal terbesar di Asia.
Tahun lalu, Lim berada di kedudukan ke-18 dalam senarai individu paling kaya di Singapura dengan kekayaan sebanyak AS$1.65 bilion (RM7.09 bilion).