Buletin

BMW 530e M SPORT & BMW 530i M SPORT 2021 CKD. 292HP DAN 252HP, BERMULA RM340,800

BMW Malaysia baru-baru ini memperkenalkan BMW 530e M Sport dan BMW 530i M Sport CKD ke pasaran tempatan.

Dua varian 5-Series baharu itu melengkapkan lagi portfolio sedia ada BMW Malaysia. Dilengkapi pakej M Aerodynamics, kedua-dua jentera berkenaan dipasang dengan gril kidney lebih besar, lampu utama Adaptive LED nipis dan lampu nyalaan siang (DRL) LED.

BMW 530i M Sport menggunakan lampu BMW Laserlight. Kedua-kedua lampu utama berkenaan dilengkapi ciri lampu tinggi automatik.  

Bampar hadapan dan belakang telah direka semula dengan salur masuk udara yang lebih besar, berserta dengan elemen lampu belakang LED dalam bentuk L yang menjadi keunikan BMW. Buat julung kali, sumber cahaya diintegrasikan secara langsung ke dalam lapisan lampu belakang yang paling luar, lantas memaksimumkan lagi efek 3D.

Penampilan sedan itu diserlahkan dengan rim aloi ringan M 19” Y-Spoke 845 M Bi-Colour Jet Black. Sedan tersebut menggunakan suspensi adaptif, brek M Sport dengan angkup brek M Sport berwarna biru dan designasi M.

Bahagian belakang pula tampil sporty dengan tip ekzos berkembar berbentuk trapezium serta peresap udara yang unik.

Sedan itu dikuasakan oleh enjin 4 silinder sebaris BMW TwinPower Turbo bersesaran 2.0 liter. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear Steptronic Sport lapan kelajuan.

BMW 530e M Sport turut hadir dengan motor elektrik BMW eDrive generasi terkini. Ia menawarkan kuasa maksimum 292hp dan tork 420 Nm dengan 109hp dijana oleh motor elektrik.

Ia mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 5.9 saat dengan kelajuan maksimum 235km/j. Biarpun begitu, ia hanya menggunakan 2.3 liter petrol untuk setiap 100km. Motor elektrik pula membolehkannya bergerak sejauh 67km tanpa sebarang masalah.

Manakala enjin BMW 530i M Sport berkuasa 252hp dan tork 350 Nm yang menawarkan  pecutam 0-100km/j dalam masa 6.4 saat. Dengan kelajuan tertinggi mencecah 250 km/j, penggunaan bahan api adalah sekitar 6.7 l/100km.

Pengendalian mantap sedan itu dibantu oleh ciri-ciri seperti Dynamic Stability Control, Dynamic Traction Control, Cornering Brake Control, Dynamic Brake Control, ABS dan Brake Assist.

BMW 530e M Sport dan BMW 530i M Sport menawarkan ruang kabin yang selesa dan elegan. Stereng M dan tempat duduk sports dibalut kulit. Tidak ketinggalan kemasan Aluminium Rhombicle dan material bumbung antrasit BMW Individual.

Kedua-dua jentera itu juga dipasang dengan BMW Live Cockpit Professional yang memanfaatkan BMW Operating System 7 terkini. Informasi sistem infohibur dipaparkan pada kluster instrumen yang boleh dikonfigurasi dan skrin sentuh bersaiz 12.3 inci.

BMW Live Cockpit Professional hadir dengan ciri navigasi, BMW Intelligent Personal Assistant, sambungan 4G LTE, dua port USB, fungsi Remote Software Upgrade dan  kemas kini peta tanpa wayar.  

Dengan BMW Intelligent Personal Assistant, BMW 530e M Sport dan BMW 530i M Sport baharu menaik taraf interaksi antara pemandu dan kenderaan. Fungsi yang boleh diakses melalui BMW Intelligent Personal Assistant termasukla panggilan telefon, pelarasan suhu, navigasi, pengaktifan bidai dan operasi tingkap secara automatik.

Kedua-dua varian ditawarkan dalam warna putih dan hitam bersama upholsteri kulit Dakota berwarna hitam atau coklat. Manakala warna badan biru dan kelabu dipadankan dengan  upholsteri kulit Dakota berwarna hitam.

Pelanggan juga boleh membeli BMW M Performance Parts yang berharga RM17,410. Ia terdiri daripada gril kidney berwarna hitam berkilat, perumah cermin sisi gentian karbon, jalur M Performance dan spoiler belakang. Selain set bampar dan peresap udara belakang.   

Bagi pembeli BMW 530i M Sport, mereka boleh mendapatkan Shadow Line Package yang berharga RM5,437. Pelanggan juga boleh mendapatkan kadar istimewa iaitu hanya RM5,000 (tidak termasuk kos buruh) sehingga 31Disember 2021.

Harga sedan ini (tidak termasuk insurans) adalah seperti berikut:

  • BMW 530e M Sport: RM340,800 ( SST), RM334,353 (tanpa SST)
  • BMW 530i M Sport: RM 395,800 ( SST), RM384,941 (tanpa SST)

GALERI

Google ads
Back to top button