
BMW DEDAH F 450 GS CONCEPT DI TOKYO – 175KG, 48HP
Segmen motosikal adventure bersaiz ringan dan bersesaran 500cc kebawah semakin mendapat perhatian kebelakangan ini.
Motosikal seperti CFMoto 450MT, Royal Enfield Himalayan 450, KTM 390 Adventure dan Kove 450 Rally antara yang berjaya menghangatkan segmen baharu ini.

Ketika di pameran motosikal EICMA 2024 yang berlangsung di Milan, November tahun lalu, BMW Motorrad turut membuat pengumuman mengejut dengan memperkenalkan BMW F 450 GS Concept.
Ketika itu, kami dimaklumkan bahawa BMW mempunyai perancangan besar bagi projek terbaru itu.

Kini memasuki tahun 2025, kami difahamkan bahawa BMW bakal memperkenalkan versi siap sepenuhnya tahun ini setelah mempamerkan F 450 GS Concept ini di Tokyo Motorcycle Show 2025 hujung minggu lalu.
Menggerakan BMW 450 GS ini adalah unit dua silinder 450cc dengan sistem penyejukan cecair. BMW mendakwa platform yang dibangunkan hasil kerjasama dengan TVS ini berupaya menjana 48hp.

Menariknya, ini merupakan kali pertama TVS menghasilkan platform dua silinder selepas hanya membangunkan enjin satu silinder bagi model BMW G 310 GS dan G 310 R.
Kami teruja dengan model akan datang ini kerana selain mengguna pakai nama GS, model ini juga mengekalkan beberapa rupa bentuk yang sama terutama bahagian depan yang mirip R 1300 GS. Namun berbeza dengan R 1300 GS yang dilengkapi dengan lampu projektor, F 450 GS ini pula menawarkan lampu LED.

Melihat kepada bahagian handlebar, BMW turut mengekalkan butang menu yang sama seperti yang ada pada R 1300 GS.
Meskipun tampil dengan imej ‘off-road’ namun F 450 GS ini dilengkapi dengan rim 19-inci depan dan 17-inci belakang namun dipadankan dengan tayar knobby. Pakej brek pula dibekalkan oleh ByBre.

Kami difahamkan BMW akan melancarkan versi siap sepenuhnya di EICMA 2025 hujung tahun ini.
GALERI: BMW F 450 GS CONCEPT










