Pandu Uji

BMW iX1 xDRIVE30 M SPORT, EV MAMPU MILIK BMW

Bagi menghasilkan kereta elektrik, ada 2 pendekatan yang digunakan oleh pengeluar samaada menggunakan kaedah yang konvensional ataupun menggunakan pendekatan yang lebih futuristik. BMW membuktikan yang mereka mampu menghasilkan kereta elektrik dengan semua kaedah di atas.

Untuk menunjukkan mereka mampu menghasilkan kereta elektrik yang paling canggih, BMW menghasilkan SUV iX40, iX50 dan iX60 yang dihasilkan daripada platform dedikasi khas untuk elektrik sepenuhnya yang dihasilkan daripada gentian karbon. Malah BMW turut menggunakan rekaan yang lebih berani pada BMW iX. Bayangkan roda stering dengan rekaan berkotak kotak.

Bagi pendekatan yang konvensional, BMW menggunakan platform yang sedia ada yang digunakan untuk enjin pembakaran dalam ataupun hibrid. Apa yang BMW buat ialah tukar sahaja komponen enjin dengan komponen EV seperti bateri, unit motor dan trenkuasa, serta on board charger

Maka lahirlah BMW iX1 xDrive 30 M Sport yang platformnya berkongsi dengan varian petrol dan juga hibrid. Untuk SUV kompak ini, sekali lagi BMW menggunakan khidmat Calvin Luk iaitu jururekabnetuk yang muda dari BMW untuk ilham rekaan luar dan dalam

Kalau anda biasa dengan BMW 3 Series yang nampak sporti, itulah tema yang digunakan oleh Calvin bagi rekaan luar iX1. Malah walaupaun iX1 ini lebih besar daripada generasi kedua yang digantikannya, Calvin dengan bijak menyembunyikan saiz iX1 ini dengan lekuk dan garis yang agresif serta bergaya

Secara kasar, anda akan nampak rekaan generasi ke 3 ini lebih seimbang dari segi panjang, lebar dan juga tinggi. Malah nilai pekali geseran juga direndahkan ke pada 0.27 sahaja. Bagi menaikkan lagi imej sport, iX1 ini dipasang dengan aksesori M Sport.

M Sport akan dipasang dengan bampar depan yang lebih agresif, lengkap dengan rongga kemasukan udara berbentuk heksagonal di bahagian depan untuk membentuk air curtain di sisi iX1. Rim SUV ini juga akan menggunakan rim yang lebih besar iaitu 19 inci 2 tona Alloy Bicolor.

Imej EV yang menggunakan serlahan dan calitan berwarna biru pula digantikan dengan warna hitam sepenuhnya atau black out design. Secara umum, memang iX1 ini nampak lebih samseng biarpun ia menggunakan trenkuasa yang mesra alam

Satu perkara menarik berkenaan dengan platform yang digunakan oleh BMW iX1 ini ialah ia menggunakan platform UKL atau dalam bahasa Jerman disebut sebagai Untere Klasse (Kelas Kecil) adalah ia merupakan platform khas untuk pacuan roda depan.

Platform ini sebenarnya sumpahan kepada Dirk Hacker iaitu bekas bos besar M Division yang mengatakan BMW tidak akan menggunakan pacuan roda depan. Platform ini dihasilkan dalam 2 varian samaada sDrive iaitu pacuan roda depan ataupun xDrive iaitu pacuan semua roda.

Bagi model iX xDrive ini ia menerima 2 motor elektrik yang menjana kuasa gabungan sehingga 268 kuasa kuda dan 494Nm tork. Platform ini juga dipasang dengan bateri ion lithium sebesar 64.7kWh dan pengecaj sebesar 130kW, membolehkan bateri ini dicaj dalam masa 29 minit sahaja jika menggunakan DCFC 130kW.

Bagi pengecasan AC 11kW atau pengecasan satu malam, ia akan memakan masa selama 6.5jam. Satu pengecasan penuh membolehkan BMW iX ini dipandu sejauh 440km mengikut bacaan WLTP dengan syarat anda memandu dalam keadaan berhemah.

Jika anda memandu laju, selalu menggunakan Boost Mode bagi menjana sehingga 308 kuasa kuda maka secara realistik jarak anda akan menurun kepada 375km sahaja. Sama seperti kenderaan yang menggunakan petrol, semakin laju dipandu semakin pendek jarak perjalanan.

Dari segi saiz BMW iX1 ini datang dengan panjang 4500mm dan lebar 1845mm sahaja, menjadikannya sesuai sebagai sebuah SUV kompak untuk dipandu di kawasan bandar. Dari segi ruang dalaman, jarak antara roda ditetapkan pada 2692mm sahaja menjadikan ruang dalaman tidaklah terlalu besar namun sangat selesa untuk 2 penumpang dewasa.

Ruang kabin menggunakan rekaan tipikal BMW iaitu mewah, komplikated dan sporti. Kusyen dibalut dengan kulit Vernasca berwarna mocha, paparan meter dan sistem multimedia menggunakan skrin 10.25 inci dan 10.7 inci BMW Curved Display serta diserikan lagi dengan kemasan pembesar suara berkilat buatan Harmon Kardon

Warna kabin adalah majoriti berwarna hitam tapi diserikan dengan kemasan berwarna perak pada pemegang pintu, papan pemuka dan juga roda stering. BMW iX1 menawarkan sehingga 4 poin USB jenis C dan juga 1 pengecaj tanpa wayar lengkap dengan mekanisme pengunci

Kusyen di barisan belakang boleh dilipat dengan kaedah 40:20:40 kepada 3 bahagian bagi menawarkan akses kepada ruang kargo sebesar 490 liter. Ruang ini boleh dibesarkan menjadi 1500 liter apabila anda melipat semua kusyen di barisan belakang.

Terdapat beberapa mode pemanduan yang ditawarkan seperti Effiecient, Sport, dan juga Expressive. Tapi hanya mode Efficient sahaja yang menawarkan jarak pemanduan yang maksima iaitu 440km. Jadi untuk kebanyakan masa penulis akan menggunakan mode Efficient untuk mendapatkan jarak pemanduan maksima.

Perbezaan lain ialah perubahan bunyi yang dihasilkan oleh pembesar suara dengan tema yang berbeza. Terdapat 2 pilihan gear yang ditawarkan samaada Drive atau Brake (B) bagi mendapatkan brek regenratif maksima dan memanjangkan lagi jarak perjalanan.

Tapi BMW iX1 juga menggunakan kamera dan sistem sonar untuk mengesan kenderaan di hadapan dan membrek dengan lebih awal untuk memaksimakan fungsi brek regeneratif. Sekiranya anda tidak gemar menggunakan B Mode, mungkin ciri ini lebih banyak membantu anda untuk mendapatkan perjalanan yang lebih lancar

BMW iX1 boleh memecut 0-100km/jam dalam masa 5.7 saat dan halaju maksimanya dihadkan kepada 180km/jam. Secara purata penggunaan tenaga elektrik ialah sekitar 18.6kWh/100km mengikut cara pemanduan penulis

Berbeza dengan BMW iX3 yang menggunakan sistem suspensi dengan penyerap hentak aktif, BMW iX1 menggunakan sistem penyerap hentak pasif dengan rekaan topang McPherson di bahagian depan dan MultiLink di bahagian belakang.

Untuk anda yang jarang memandu kereta elektrik, ia sebenarnya adalah berat dan tanpa penggunaan sistem suspensi dengan penyerap hentak aktif keadaan ini menghasilkan seperti kesan pendulum swing effect. Daya yang diterima oleh cesi gagal diserap dengan baik oleh cesi.

Bagi BMW iX1 varian elektrik sebenarnya direka dengan lebih rendah berbanding dengan varian petrol. Ini kerana BMW iX1 direka dengan jarak kelegaan bumi sekitar 170mm berbanding dengan 183mm bagi varian petrol. Secara tidak langsung ia menawarkan kualiti pemanduan yang lebih sporti bagi varian EV.

Satu perkara yang kurang digemari oleh penulis ialah kusyen BMW iX1 ini agak keras dan terlalu direka “ke dalam” menyebabkan siku penulis rasa tersekat. Bahagian tepi atau bolster direka terlalu agresif, mungkin untuk memberikan keseronokan pada pemandu di selekoh.

Anda tidak boleh mengubah kedudukan kontur tempat menyandar, kedudukan di bahagian lutut tidak boleh dilaras dan tiada ciri urutan seperti yang ditawarkan pada BMW iX50

Sistem keselamatan aktif ditawarkan melalui BMW Driving Assistant Package merangkumi ciri seperti Attentiveness Assistant, Lane Departure Warning dengan bantuan stering, Front Collision Warning, Left Turn Warning, dan sistem pemanduan atutomatik dengan ciri stop & go.

Namun ciri yang paling digemari oleh penulis semestinya ciri Parking Assistant Plus yang menawarkan sekali ciri kamera 360 darjah. Ia membolehkan anda memasuki parkir sempit samaada secara sisi atau parkir mengundur secara automatik

Sekiranya anda mahukan sebuah SUV dari jenama mewah dengan saiz yang kompak, penulis rasa BMW iX1 ini adalah satu pilihan yang sesuai bagi sebuah jenama premium dengan rekaan yang sporti. Ia dijual dengan harga permulaan RM 272,000 dengan jaminan selama 2 tahun atau RM 285,000 untuk jaminan selama 5 tahun termasuk pakej servis

Seperti biasa jaminan bateri dan motor elektrik adalah semalam 8 tahun atau 160,000km. Jadi apa yang nak dirisaukan?

Google ads
Back to top button