BMW MALAYSIA & MILLENNIUM WELT LANCAR 2 FASILITI PENGECASAN DI GAMUDA GARDENS RAWANG
BMW Group Malaysia dan Millennium Welt baru-baru ini melancarkan dua fasiliti pengecasan BMW i di Gamuda Gardens, Rawang bagi kegunaan penduduk sekitar perbandaran baharu tersebut.
“Bercakap mengenai perluasan infrastruktur pengecasan di Malaysia, kami ingin memastikan bukan pusat beli-belah dan bagunan utama sahaja yang dilengkapi dengan kemudahan ini, tetapi termasuk kawasan perbandaran dan perumahan.
“Ini kerana permintaan terhadap fasiliti pengecasan dalam kalangan pengguna kenderaan elektrik adalah tinggi,” jelas Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser.
“Kami percaya bahawa masa depan Malaysia akan berlandaskan elektrik. Ia dicerminkan melalui trend dan sambutan yang semakin meluas terhadap kenderaan BMW berelektrik dalam kalangan pelanggan.
“Peralihan ke arah elektrifikasi juga telah mencetus usaha sama dengan para penggiat industri yang berkongsi sentimen sama. Mereka turut mengetengahkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam operasi dan pelan perniagaan masing-masing,” kata Pengarah Urusan Millennium Welt, Bryan Wong.
Pengarah Eksekutif, Unit Pengurusan Produk Gamuda Land, Jess Teng memberitahu pihaknya telah mendalami perancangan bandar Gamuda Gardens dengan teliti. Ia merangkumi reka bina bersifat responsif terhadap iklim demi masa depan yang lebih hijau.
Justeru, pemasangan fasiliti BMW i Charging berkenaan dapat menggalakkan kaedah pengangkutan hijau dan membuktikan inisiatif Gamuda Land terhadap prinsip ESG di bawah Pelan Hijau Gamuda 2025.
Fasiliti BMW i Charging baharu itu terletak di hadapan Gamuda Gardens Experience Gallery dan tersedia untuk kegunaan awam.