
BMW R 1300 R TITAN, PELUMBA PECUT MOTORRAD DENGAN ‘MAKJUN KUAT’ – ADA NOS KAU
Beberapa bulan yang lalu, BMW Motorrad telah memperkenalkan R 1300 R terbaru dengan enjin yang lebih berkuasa dan beberapa penambahan untuk keselesaan penunggang. Entah macam mana ia kemudian macam dilupakan (mungkin sebab harganya yang premium dan mungkin juga sebab terlalu banyak pilihan di luar sana).

Tiba-tiba muncul pula R 1300 R Titan hasil air tangan beberapa orang pekerja BMW Motorrad yang menunjukkan potensi sebenar jentera jika diberikan sentuhan modifikasi yang sesuai.
Inilah BMW R1300 R Titan, jentera dua roda dengan rupa paras brutal untuk penunggang macho. Muka jambu memang tak sesuai naik motor ni. Bahagian depan direndahkan dan belakang pula ditinggikan kononnya menyerupai seekor kucing liar menanti untuk menerkam mangsa. Meoww…

Rekaan asal R 1300 R yang agresif diserlahkan lagi dengan ciri luaran Titan ini. Beberapa panel badan tambahan termasuk ruang kemasukan udara gentian karbon membuatkan motosikal ini kelihatan laju walaupun semasa statik.
Enjin asal dua selinder boxer dikekalkan tapi kini ia menggunakan swing arm yang lebih panjang dan bernafas menerusi sistem ekzos aluminium Akrapovic. Elemen custom terserlah dengan kedua paip ekzos diletakkan kemas di bahagian bawah tempat duduk.
Dalam keadaan stok, enjin BMW R 1300 R 2026 mampu menjana 145 hp kuasa maksima pada 7,750 rpm. Ia lebih tinggi dari generasi sebelumnya tapi jauh lebih tinggi pada Titan kerana mempunyai sistem nitrus oksida. Yaa… motor ni ada NOS tuan-tuan.

Berapa kuasa tambahan kami tak tahu sebab BMW pun tak kasi tahu. Jangan tersalah tekan butang NOS masa tengah membelok kat selekoh dah la.
Akhir sekali ia disudahkan dengan lakaran grafik yang cukup menonjol sesuai dengan statusnya sebagai sebuah model istimewa. Buat masa ni hanya seunit je wujud kat dunia ni.










