
BREK CAKERA DI TAYAR BELAKANG, LEBIH BAIK DARI BREK DRAM? INI KELEBIHAN BREK CAKERA
Bagi sesetengah pemandu, menggunakan brek dram di belakang bukanlah satu masalah yang besar kerana pemanduan seharian tidak sama dengan pemanduan di litar. Brek dram di bahagian belakang sebenarnya sudah cukup untuk digunakan di atas jalan raya dan pemanduan normal.
Brek cakera dipasang di bahagian depan kerana kebanyakan usaha membrek kenderaan akan dibuat oleh tayar depan sehingga 70% bebanan. Jadi adalah normal untuk kita menggantikan pelapik brek di bahagian depan. Silap-silap sepanjang 5 tahun menggunakan kereta dan jual balik, kita tak pernah tukar pun kasut brek dram di bahagian belakang.
Ia adalah fizik yang mudah, apabila kita membrek “weight transfer” atau pindahan beban akan berlaku dari bahagian belakang ke bahagian depan dengan berpusat pada pusat graviti kereta. Bahagian depan kereta akan mendap ke bawah (dive) manakala bahagian belakang akan terjungkit ke atas (squat).

Disebabkan kuasa brek banyak digunakan pada tayar depan, pengeluar akan memasang brek cakera sejukan udara di bahagian depan dan brek dram di bahagian belakang. Brek dram akan terus digunakan sebab ia lebih mudah untuk dihasilkan, lebih murah untuk dijual, lebih ringan dan turut digunakan sebagai parkir brek.
Namun di atas litar lumba, brek dram sebenarnya tidak cukup berkuasa dan sejarah telah membuktikan bahawa brek cakera sebenarnya lebih bagus jika anda berlumba. Pada tahun 1953 di perlumbaan 24 jam Le Mans, pasukan Jaguar berjaya meraih tempat pertama bukanlah disebabkan enjin 3.4 mereka yang berkuasa 220 kuasa kuda.
Tapi pasukan Jaguar menggunakan brek cakera pada keempat-empat tayar ketika berlumba, terutama selepas laluan lurus Mulsane 6 kilometer dan pelumba perlu membrek dengan keras sebelum selekoh. Di laluan lurus 6 kilometer ini, jentera perlumbaan boleh mencapai laju yang sangat tinggi sebelum membrek untuk masuk ke selekoh.

Pesaing Jaguar yang lain masih menggunakan brek dram, hanya Jaguar sahaja yang menggunakan brek cakera. Ia tidak mengalami masalah menjadi terlampau panas sehingga menyebabkan cecair hidraulik sistem brek menggelegak dan brek hilang cengkaman. Jadi Jaguar boleh mengekalkan kelajuan, mengekalkan kuasa brek yang konsisten sepanjang 24jam perlumbaan seterusnya menjuarai edisi perlumbaan tahun 1953
Brek cakera ada kelebihannya seperti:
1. Cengkaman pelapik brek pada rotor yang lebih bagus dari cengkaman kasut brek dalam dram yang berbentuk bulat atau separa bulat dengan tekanan yang sekata
2. Musuh cengkaman ialah suhu yang tinggi yang akan menyebabkan cengkaman berkurang. Pelapik brek dan dan rotor berliang terdedah pada udara laju, menyejukkan brek daripada suhu yang terbina ketika membrek. Ketika ini tenaga kinetik kereta akan ditukar kepada tenaga haba. Cecair hidraulik brek tidak akan menjadi panas

3. Brek dram dengan rekaan tertutup boleh memerangkap lapisan air (water film) antara kasut brek dengan dram. Ia akan mengurangkan kuasa cengkaman brek.
4. Habuk brek yang terhasil antara geseran pelapik brek dengan rotor akan terbebas ke udara, jika menggunakan dram habuk ini akan terperangkap antara kasut brek dan dram. Ia akan menyebabkan masalah bunyi serta mengurangkan cengkaman brek.
Tapi kos penghasilan brek cakera ini mahal dan anda akan melihat ciri brek belakang cakera ini dipasang pada kereta segmen C (Civic, Corolla, Mazda 3) dan ke atas sahaja. Bagi segmen B, brek belakang cakera hanya dipasang pada Vios varian G, Yaris varian G dan juga Mazda 2 Sedan dan hatchback sahaja.

Kebanyakan kereta segmen A dan juga B menggunakan brek belakang jenis dram sahaja, kerana kereta ini bukanlah kereta prestasi tinggi, tapi kereta harian biasa untuk kegunaan seharian. Brek dram sebenarnya sudah cukup untuk pemanduan sebegini. Tapi untuk pemanduan prestasi tinggi, brek cakera adalah lebih sesuai digunakan.