Buletin

7,000 PEMILIK FOCUS DAN FIESTA SAMAN FORD AKIBAT KEROSAKAN KOTAK GEAR

Di sebuah negara yang hak kepenggunaannya adalah nombor satu, peluang untuk pengeluar membuat silap sepatutnya adalah rendah. Mereka akan berhadapan dengan risiko kerosakan imej dan juga kerugian wang yang besar sekiranya terbabit dalam isu kualiti terhadap produk masing-masing.

Ia adalah praktis di negara maju. Sebab itu juga jika anda membeli belah di IKEA di Cheras yang sibuknya tak tahu bila akan reda, syarikat dari Sweden ini menawarkan pemulangan semula barangan dalam tempoh sebulan – sekiranya anda tak berpuashati.

Tidak semestinya sebab rosak pun, bini tak berkenan atau mak mertua tak suka warna perabot yang anda beli pun boleh pulangkan semula.

Tanpa soalan dan tanpa sebarang gantirugi – duit dibayar penuh.

Itu perihal perabot, tapi bagaimana pula dengan sebuah kereta? dilaporkan baru-baru ini di Amerika syarikat, pemilik kereta Ford Fiesta dan Focus telah memfailkan saman gantirugi kepada Ford kerana kerosakan kotak gear.

BACA: FORD FOCUS DENGAN ENJIN NISSAN GT-R

Ford didakwa cuai dalam merekabentuk sistem transmisi klac berkembar PowerShift dan apa yang lebih menarik lagi, mereka terpaksa berhadapan dengan leboh 7,000 pemilik yang menyaman secara kolektif menerusi firma guaman Stern Law PLLC di Mahkamah negeri Wayne County Circuit.

Model yang didakwa terlibat terdiri dari produksi Ford Focus keluaran 2012 hingga 2016 dan Ford Fiesta Sedan keluaran 2011 hingga 2016.

Antara masalah transmisi yang dikenalpasti ialah gear yang tersangkut, gear tergelincir, klac terkunci, gear terkunci dan kadangkala menyebabkan pecutan hilang.

“Ford mesti bertanggungjawab di atas kesilapan awal rekaan transmisi ini, mereka merisikokan keselamatan pemandu, menyebabkan nilai kenderaan jatuh, mendatangkan kerugian harta kepada pemilik dan juga masa,” ujar Ken Stern dari Stern Law PLLC dalam satu kenyataan.

Ford telah mengeluarkan lebih 20 buletin servis untuk memberitahu pemilik berkenaan isu ini namun tidak pernah memulakan tindakan pembaikan yang menyeluruh untuk menyelesaikannya. Antara yang dilakukan Ford ialah memanjangkan waktu jaminan daripada 5 tahun/96,000km kepada 7 tahun/160,000km

 

 

 

Google ads
Back to top button