Buletin

HONDA JADE RS FACELIFT DIPERKENALKAN DI JEPUN – GUNA KOTAK GEAR DCT

Honda baru sahaja memperkenalkan versi facelift minivan Jade RS ke pasaran Jepun.

Jade RS diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun 2013 sebelum ditambah baik tiga tahun kemudian. Sebelum ini, ia mempunyai kapasiti enam tempat duduk. Tetapi kini tampil lebih sporty dengan lima tempat duduk sahaja.

Untuk memudahkan anda membayangkan bagaimana saiz Jade RS ini, ia merupakan pesaing Toyota Wish dan boleh juga dikatakan sebagai sebuah wagon. Dari segi luaran, penambahbaikan ketara adalah pada lampu utama LED yang sama seperti model Civic dan HR-V facelift.

Menjengah ke ruang kabin, wagon itu dipasang dengan kemasan karbon. Walaupun dilengkapi instrumen digital, rekaan papan pemuka tersebut kelihatan sedikit lama, mirip Civic FB yang sudah tidak lagi diproduksi.

Untuk model baharu ini, Honda melengkapkan Jade RS dengan rangkaian sistem bantuan pemandu Honda SENSING. Ia juga hadir dengan warna oran (premium crystal) eksklusif yang baru bersama bumbung berwarna hitam.

Jasde RS dibekalkan dengan enjin turbo bersesaran 1.5 liter yang mampu menjana kuasa 148hp dan tork 203Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan. Versi terdahulu menggunakan transmisi CVT.

Jentera ini dijangka berada di semua pengedar Honda mulai Mei depan.

GALERI 

Google ads
Back to top button