Buletin

TOYOTA RAV4 – PESAING HONDA CR-V NUN JAUH DI AMERIKA SYARIKAT

Sekarang ini prestasi jualan Honda Malaysia sedang mantap. Jualan tahun lepas sekitar 109,000 unit dan menduduki tempat kedua selepas Perodua. Proton jatuh di tempat ketiga manakala Toyota pula di tempat keempat.

Apa yang menyebabkan Honda begitu hebat dua tiga tahun kebelakangan ini?

Di antara jawapannya ialah barisan produk yang kena dengan selera pengguna. Walaupun harga-harga kenderaan Honda berada pada aras sederhana tinggi tetapi ia ditimbal balik dengan spesifikasi hebat.

Sebagai contoh, Honda dengan selamba memasarkan kereta dengan enam beg udara dan segala bantuan elektronik pada masa pesaing sibuk menjual produk under-spec mereka.

Salah satu model popular yang ditawarkan Honda sekarang ini ialah CR-V yang kini sudah memasuki generasi kelima.

Pada awalnya, model ini dibawa masuk secara recond dan dari generasi ke generasi ia terus popular apatah lagi apabila Honda Malaysia menawarkan model CKD pada harga yang berpatutan.

Walaupun popular, CR-V turut pernah tenggelam apabila model generasi keempat menerima saingan sengit dari Nissan X-Trail dan Mazda CX-5.

Maka itu sahajalah saingan kuat CR-V yang nampaknya sudah berjaya diatasi apabila model baharu diperkenalkan. Bagaimana pula dengan Toyota? Apa khabar dengan gergasi dunia ini yang hebat bersaing dengan Kumpulan VW?

Tidak ada model saingan terus untuk berlawan dengan CR-V kecuali dari segmen berlainan iaitu Toyota Innova.

Di Amerika Syarikat, Honda CR-V mempunyai pesaing yang bagus iaitu Toyota RAV4. Model ini sama seperti CR-V pada satu ketika dahulu di mana ia diimport masuk secara bebas dari Jepun ke negara kita.

Persaingan tersebut hanya berlangsung tidak lama selepas tiada lagi kelibat RAV4 diimport masuk.

Kini RAV4 telah digantikan baharu dan seperti biasa, ia dilancarkan di Amerika Syarikat yang gemarkan SUV ini.

Apa yang mengejutkan tentang RAV4 baharu ialah rekabentuknya yang langsung tidak mengikut rentak urban CR-V, X-Trail dan CX-5. 

RAV4 baharu hadir dengan imej tersendiri yang rugged seterusnya mengimbau kembali falsafah utilitarian yang turut dibawa oleh CR-V dan X-Trail satu ketika dahulu.

Bukan sahaja rugged tetapi juga dengan gayaan terkini Toyota yang agresif sepert C-HR baharu. Untuk pasaran AS, RAV4 didatangkan dengan dua pilihan enjin 2,500 cc VVT-iE sama seperti Camry baharu dan dipadankan bersama transmisi lapan kelajuan direct shift automatik. 

Satu lagi pilihan enjin ialah 2,500 cc Toyota Hybrid System II dengan transmisi elektronik CVT. Setakat itu sahaja enjin yang ada dan agak terhad jika dibandingkan dengan CR-V yang menggunakan enjin 1.5 VTEC Turbo, 2.0 i-VTEC, 1.6 DTEC (Diesel) dan hibrid.

Jadi bagaimana? Boleh lawan CR-V atau X-Trail ke tidak ni? Entah, susah juga nak jawab sebab barang tak ada di Malaysia.

Sebenarnya penawaran RAV4 ini penting sebab bukan sahaja hendak bersaing merebut angka jualan tetapi juga sebagai persediaan andai kata selera pengguna beralih dari kereta penumpang kepada SUV.

Sebabnya sekarang ini memang semakin kurang kereta segmen D dengan plat pendaftaran baharu di atas jalan raya. Tidak kira sama ada Accord, Camry mahu pun Teana.

Rasa macam kereta penumpang premium seperti Mercedes-Benz C-Class dan BMW 3 series lebih banyak di atas jalan raya. 

Google ads
Back to top button