Buletin

CHUBB LANCAR MY SMART CAR INSURANCE.KHUSUS UNTUK GOLONGAN JARANG MEMANDU

Chubb melancarkan MY Smart Car Insurance, produk insurans kereta berasaskan catatan jarak tempuh atau perbatuan (mileage) yang direka khusus untuk golongan jarang memandu di Malaysia.

Presiden Chubb Insurance Malaysia Berhad, Steve Crouch berkata, MY Smart Car Insurance direka untuk membantu golongan yang jarang menggunakan kenderaan bagi menjimatkan kos insurans mereka.

Beliau menambah, MY Smart Car Insurance memberikan ganjaran kepada mereka yang jarang memandu dengan perlindungan menyeluruh serta penjimatan premium kira-kira RM300 setiap tahun.

“Ia merupakan produk fleksibel membolehkan pelanggan memilih daripada tiga pelan berbeza yang menawarkan perlindungan komprehensif dalam had mileage tahunan sebanyak 5,000 kilometer (km), 7,000km dan 10,000km.

“Pelanggan perlu memandu lebih daripada jumlah mileage tahunan yang dipilih ketika pembelian, boleh menambah jumlah mileage berkenaan dan menikmati perlindungan kompehensif serupa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, pada akhir tempoh polisi, sebanyak 2,000 km baki mileage yang tidak digunakan boleh dibawa kepada tahun berikutnya ketika melakukan pembaharuan polisi.

“Pembawaan ke hadapan baki mileage ini boleh dilakukan tanpa kos tambahan. Ciri ini membolehkan pelanggan untuk menikmati jumlah penjimatan dengan had mileage lebih tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata, manfaat lain ialah akses kepada lebih daripada 250 wakil bengkel kenderaan yang diluluskan oleh Chubb selain fleksibiliti untuk menyesuaikan manfaat pilihan termasuklah perlindungan cermin hadapan, bencana khas dan perlindungan ‘all drivers’.

“Sebagai pereka insurans, kami percaya tiada suatu perlindungan yang sesuai untuk semua individu. Pelancaran MY Smart Car Insurance menyokong matlamat kami untuk merangkul perbezaan dan mencipta produk yang bersesuaian dengan keperluan pemegang polisi kami.

“Dengan lebih ramai yang kurang memandu pada masa kini, MY Smart Car Insurance direka khas untuk pemandu dengan mileage rendah dalam negara,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan ramai yang menghadapi cabaran kewangan ketika pandemik ini, membayar premium insurans kenderaan standard seperti biasa tidak memberi pulangan ekonomi buat mereka yang kurang memandu.

Chubb di Malaysia mempunyai rangkaian cawangan lebih daripada 2,600. – SH

Google ads
Back to top button