,
Artikel Pilihan

CIRI-CIRI KERETA MODEN YANG MENGARUT DAN TIDAK PRAKTIKAL

Kereta moden sekarang adalah jauh lebih baik dari aspek kecekapan penggunaan bahan api, keselamatan, kekuatan cesi, kecekapan sistem mekanikal trenkuasa dan sistem info hibur. Namun halatuju rekaan dan juga ciri-ciri lain yang pada pandangan penulis adalah hiasan ataupun sekadar gimik semata-mata mulai diterima oleh pasaran. Tidak dinafikan kesemua ciri-ciri ini sebenarnya dibuat berdasarkan kajian pada kehendak pasaran.

Namun tidak semua ciri-ciri ini perlu dipasang pada kereta harian biasa yang digunakan oleh pengguna yang mahukan sebuah kenderaan untuk bergerak dari titik A ke titik B semata-mata. Jadi kami senaraikan beberapa ciri kenderaan moden yang kami rasakan lebih kepada gimik semata-mata. Ini pendapat peribadi penulis ya.

1. Bunyi enjin palsu – sama seperti golongan LGBT yang suka menayangkan aset aset palsu mereka, pembuat kereta masa kini mula merasakan bunyi mekanikal yang dihasilkan oleh enjin atau sisten trenkuasa kereta mereka tidak lagi merdu dan sedap didengari. Enjin boxer, enjin V10, enjin 6 silinder sebaris serta enjin rotari masing masing menghasilkan bunyi yang unik hasil daripada susunan silinder, kaedah pembakaran dan juga pergerakan asap ekzos yang keluar daripada enjin

Enjin hibrid dan juga enjin elektrik sudah pasti tidak akan ada bunyi yang dihasilkan selain daripada bunyi penyedut hampagas. Ya sudah pasti sebuah supercar akan berbunyi kelakar apabila menghasilkan bunyi penyedut hampagas sama seperti di rumah.

Bagi mengatasi masalah ini, pembuat kereta menghasilkan bunyi palsu yang akan dikeluarkan oleh pembesar suara yang dipasang di sekeliling kereta ataupun di dalam kabin kereta. Perisian bunyi ini akan dimuat turun dalam sistem info hibur kereta  untuk dimainkan pada pemandu. Sebagai seorang purist mekanikal, penulis lebih gemar mendengar ahli politik merepek daripada mendengar bunyi enjin palsu ini

2. Pemegang pintu elektronik – yang direka supaya ia terbenam di dalam pintu kereta. Apabila pemandu menghampiri pintu, pemegang ini akan terkeluar dengan sendiri bagi membolehkan pemandu memegangnya dan membuka pintu. Pada pendapat penulis ia lebih kepada gimik. Terlalu banyak duit, usaha R&D, dan kajian yang diperlukan untuk gimik ini.

Ya mungkin kereta akan kelihatan lebih canggih apabila tombol pintu tiba-tiba muncul daripada dalam pintu. Namun apa masalahnya dengan rekaan tombol pintu sekarang? Berapa peratus rintangan angin yang berjaya diatasi dengan rekaan sebegini?

3. Sistem Multimedia dengan Skrin – yang dipasang secara terus pada papan pemuka kereta. Penulis lebih menggmari sistem skrin sentuh yang dipasang pada papan pemuka, bukannya seperti unit ipad yang dipasang di atas papan pemuka. Mengikut kajian pakar dari Universiti Utah, skrin sentuh yang dipasang pada papan pemuka merupakan satu bentuk gangguan pada pemandu.

Kami berharap agar jurureka bentuk rajin sedikit berusaha mereka dan meyakinkan pengurusan syarikat agar skrin sesentuh ini dipasang dengan kemas, berseni dan tidak semata mata meniru trend orang lain. Sebagai contoh papan pemuka Alfa Romeo yang kelihatan elegan dengan rekaan papan pemuka dan skrin sentuh dipasang dalam papan pemuka

4. Sistem Kawalan yang terlalu rumit – setiap pengeluar memiliki idea yang berlainan bagaimana mereka akan menyusun semua butang kawalan yang ada pada kereta mereka. Sesetengah pengeluar akan meletakkan butang tersebut di sebelah kanan papan pemuka, atau di bahagian konsol transmisi di tengah ataupun ia dibina di dalam sistem info hibur.

Tiada peraturan khas yang dipersetujui antara pengeluar berkenaan susun atur butang ini. Mungkin ia tiada masalah bagi pengguna yang baru dan senang dengan teknologi, namun ia akan menjengkelkan pemandu yang berusia yang bukan tech savvy

Bayangkan jika anda perlu mengaktifkan satu ciri keselamatan, anda perlu mencari di dalam skrin info hibur terlebih dahulu serta meghafal semua langkah yang perlu dibuat dan menghentikan kereta untuk melakukan proses ini. Pada hemat penulis, pastikan bhtang tersebut senang dicapai dan hanya menggunakan satu butang sahaja.

5. Sistem kawalan yang berpusat pada skrin sentuh- skrin sentuh sistem info hibur tidak lagi sama seperti dahulu dimana ia hanya berfungsi sebagai unit kawalan audio. Mungkin kerana malas, kekurangan idea ataupun ingin menjimatkan kos pengeluar mula memuatkan butang kawalan penyaman udara dalam skrin sentuh ini.

Penulis merasakan menggunakan butang kawalan manual yang boleh dipulas, ditekan dan wujud secara mekanikal adalah lebih mudah digunakan ketika memandu berbanding dengan menggunakan butang sentuh. Persoalannya adakah sistem operasi ini boleh dinaiktaraf atau adakah ia selamat daripada digodam oleh penceroboh memandangkan sistem ini memiliki sambungan internet

6. Kombinasi tayar dan rim besar – merupakan elemen kehendak pengguna bukannya keperluan kejuruteraan. Ya sudah pasti pengguna merasakan kereta yang dipasang dengan rim bersaiz 18, 19 dan 20 lebih cantik dan menarik. Namun mereka lupa tayar dan rim merupakan sebahagian daripada elemen sistem gantungan yang dinamakan unsprung mass

Untuk menggunakan rim besar, jurutera perlu menala semula sistem penyerap hentak, bounce dan rebounce rate, getah pelapik dan rekaan sistem mekanikal yang akan menyebabkan sistem menjadi kompleks. Apabila kereta melalui permukaan yang tak rata, tayar yang nipis akan menyebabkan gegaran dan hentakan sampai pada penumpang dan mengganggu keselesaan

Apabila efek kusyen ini berkurang, tayar akan cepat rosak apabila melalui permukaan jalan yang tidak rata. Kos penggantian tayar baru bukannya murah di Malaysia. Penulis pernah menyaksikan bagaimana pemilik sebuah kereta sedan kelas C dengan rim 17 merungut berkenaan harga tayar. Pemilik meminta tuan kedai mencarikannya tayar terpakai atau menggunakan tayar dengan jenama kurang terkenal

7. Kemasan kabin hitam berkilat (piano black gloss) dan juga krom – walaupun kemasan hitam berkilat ini sedap dipandang, namun penggunaannya di dalam kabin kereta akan menyebabkan kotoran mudah melekat dan perlu selalu dilap dengan kain bersih.

Bayangkan habuk, kelemumur dan juga partikel seni yang melekat di permukaan plastik berkilat tersebut yang boleh dilihat dengan jelas. Begitu juga dengan kemasan krom yang berkilat yang dipasang pasa bahagian tertentu seperti corong penyaman udara. Pada hari yang panas terik, kemasan krom tersebut akan memantulkan cahaya matahari terus ke mata anda. Best kan.

8. Enjin turbo – ya bagi mengatasi masalah kawalan pencemaran udara dan mengekalkan kuasa enjin, cara yang paling mudah ialah menggunakan turbo dalam semua aplikasi enjin. Namun mereka terlupa apabila sistem turbo ditambah, ia menjadikan enjin semakin kompleks dan ketahanan enjin akan berkurang jika ia gagal dibina mengikut spesifikasi yang betul.

Sistem kawalan haba, sistem penyejukan, sistem kawalan minyak pelincir dan pelbagai sistem yang akan menjadikan enjin bertambah rumit. Ia bertambah rumit apabila pengguna mula mulai melakukan servis berkala kenderaan mereka di bengkel luar yang tidak menggunakan minyak pelincir yang disyorkan serta tidak melakukan servis pencegahan yang disyorkan bagi menjimatkan wang

9. Paip Ekzos Palsu dan Liang Udara Palsu – kebanyakan enjin moden sekarang menggunakan sistem suntikan bahan api terus yang cenderung untuk menghasilkan jelaga dalam keadaan tertentu. Jadi paip ekzos akan dihala terus ke permukaan jalan bagi mengelakkan bampar menjadi hitam. Namun jurureka bentuk mendapati rekaan mereka kurang menarik dan menampah paip udara palsu bagi memberikan gimik sporti.

Begitu juga dengan liang ambilan udara yang ada pada supercar mulai hadir pada kereta biasa. Walaupun liang udara ini berfungsi dengan baik pada supercar, pada kereta biasa ia hanyalah hiasan semata mata. Ia ibarat kereta Kancil ditampal dengan pelekat jenama Nismo

Anda boleh bersetuju atau tidak bersetuju dengan penulis berkenaan pendapat ini. Nyatakan pendapat anda di ruangan komen laman FB kami.

Tags
Google ads
Back to top button