
CONFIRM! KAWASAKI NINJA ZX-25R MASUK MALAYSIA TAHUN DEPAN!
Kalau korang nak tahu, Abang Japar sekarang berada di kilang Modenas di Gurun, Kedah untuk menyertai satu lawatan kerja di kemudahan pemasangan motosikal tersebut.
Sedia maklum juga bahawa Modenas sudahpun mulakan pemasangan dan pemasaran motosikal Kawasaki di Malaysia.
Dalam sesi soal jawab sebentar tadi, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan mengesahkan bahawa model sports yang dinanti ramai, Kawasaki Ninja ZX-25R akan diperkenalkan ke pasaran tempatan tahun depan.
Manakala model Ninja 250cc dan Z250 pemasangan tempatan (CKD) pula akan berada di pasaran pada hujung Julai atau selewat-lewatnya awal Ogos 2022!

Tahun depan juga akan menyaksikan model-model dengan enjin bersesaran 650cc turut dilancarkan dalam bentuk import sepenuhnya (CBU). Pengenalan model-model baharu ini pasti akan menaikkan semula jenama Kawasaki di Malaysia.
Jika dilihat di pasaran serantau, Indonesia merupakan antara negara yang telah menerima Ninja ZX-25R pada Jun tahun lalu.
Ia dilancarkan dalam pilihan empat warna baharu iaitu Lime Green/Ebony/Pearl Blizzard White (ABS), Passion Red/Pearl Blizzard White (ABS), Metallic Matte Graphenesteel Grey/Metallic Spark Black (ABS) dan Metallic Spark Black (Standard).

Di republik itu, Ninja ZX-25R ditawarkan pada harga Rp96 juta (RM28,360). Sementara Ninja ZX-25R ABS-SE didatangkan dengan tag harga Rp112.9 juta (RM33,270).
Jentera berkenaan dikuasakan oleh enjin 250cc yang mampu menjana 49hp dengan ram udara dan 48hp tanpa ram udara pada 15,500rpm. Manakala tork maksimum pula ialah 22.9Nm pada 14,500rpm.
Ninja ZX-25R mula didedahkan umum pada acara Tokyo Motor Show 2019. Sejak itu, ia terus mendapat perhatian peminat motosikal tempatan yang tidak sabar untuk memiliki dan menguji keupayaannya.
- BACA: KMSB TIDAK LAGI EDAR MOTOSIKAL KAWASAKI BERMULA 1 OKT 2021. TUKAR NAMA KEPADA KMSB MOTORS SDN BHD
- BACA: MOTOSIKAL JURURAWAT KENA CURI, KAWASAKI GANTI DENGAN NINJA 400, EKZOS AKRAPOVIC
- BACA: KAWASAKI NINJA ZX-25R DAPAT 4 WARNA BAHARU DI PASARAN INDONESIA
- BACA: TMS 2019: KAWASAKI NINJA ZX-25R. SUPER SPORTS 250CC PALING BERKUASA DALAM KELASNYA