Artikel Pilihan

E-KDSS, TOYOTA SELESAIKAN MASALAH SUV LAJU NAK MASUK OFFROAD. SESUAI UNTUK JALAN MALAYSIA BERLUBANG

Adalah hampir mustahil untuk menghasilkan kenderaan yang 100% sempurna bagi semua keadaan. Sebagai contoh SUV yang dihasilkan khusus untuk meredah laluan offroad yang sukar. Kalau anda nak senyap, lupakan saja tayar AT dan MT serta gunakan saja HT (highway terrain).

Kalau anda nak SUV boleh melalui permukaan jalan tak rata dan berlubang, bar anti oleng tidak boleh dipasang bagi mendapatkan cengkaman permukaan tanah yang maksimum. Tapi keadaan ini menyebabkan SUV mengalami olengan cesi yang teruk ketika melalui jalan berselekoh dengan laju di atas permukaan jalan bertar.

Olengan cesi ini yang disebabkan inersia ini dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti kekerasan spring, berat kenderaan, halaju, dan juga ketinggian pusat graviti. Bagi mengurangkan masalah olengan cesi, kebanyakan SUV dan juga kereta dipasang dengan bar anti oleng yang bertindak menyambungkan suspensi (spring dan penyerap hentak) di sebelah kiri dan kanan.

Apabila melalui selekoh pada halaju tinggi, bar anti oleng memindahkan sebahagian daya yang diterima dari sistem suspensi sebelah luar selekoh ke suspensi sebelah dalam. Keadaan ini mewujudkan daya rintangan yang melawan inersia, olengan cesi dan meningkatkan cengkaman pada permukaan jalan ketika selekoh

Masalah pada bar anti oleng ini ialah, ia menghadkan pergerakan roda (disebut sebagai wheel articulation) ketika melalui jalan offroad. Lebih banyak wheel articulation atau sudut yang boleh dilakukan oleh roda ketika jalan offroad, akan meningkatkan imbangan SUV dan keupayaan enjin untuk melakukan kawalan enjin, serta mendapat cengkaman di permukaan tanah

Pemasangan bar anti oleng akan menyebabkan tayar tergantung di atas permukaan tanah, satu keadaan yang kita tidak mahukan. Apa yang kita mahu ialah tayar bersentuh dengan tanah, mendapat cengkaman maksimum dengan membenarkan SUV memiliki wheel articulation yang bagus.

Cara paling mudah untuk tingkatkan wheel articulation ialah dengan menghapuskan terus bar anti oleng. Tetapi keadaan ini akan menyebabkan SUV mengalami olengan yang teruk semasa melalui selekoh. Jadi anda akan faham kenapa SUV yang sedap dipandu gagal menawarkan pemanduan offroad yang bagus.

Manakala SUV yang bagus di offroad pula gagal menunjukkan dinamik pengendalian bagus di jalan berselekoh yang biasa. Ford Bronco menawarkan ciri untuk memutuskan sambungan bar anti oleng secara automatik dengan hanya menggunakan butang sahaja ketika melalui jalan offroad.

Tapi ciri ini akan menyambungkan semula bar anti oleng secara automatik apabila kelajuan melebihi 33km/jam atas sebab keselamatan. Namun kaedah ini masih memerlukan input daripada pemandu bagi mengaktifkannya.

Sebenarnya Toyota telah memperkenalkan satu sistem baru yang dinamakan sebagai Kinetic Dynamic Suspension System (KDSS) melebihi 1 dekad yang digunakan pada Lexus GX, Land Cruiser serta 4 Runner. Sistem ini akan memasang bar anti oleng lengkap dengan sepasang piston yang diisi dengan hidraulik bertekanan tinggi pada gandar depan.

Apabila SUV dipandu di atas permukaan jalan yang rata, kedua dua piston berada dalam tekanan yang seimbang. Bar anti oleng akan beroperasi seperti biasa apabila melalui selekoh pada halaju tinggi. Tapi sebaik sahaja SUV melalui jalan offroad yang tidak rata, tekanan pada piston kiri dan kanan menjadi tidak rata akibat pergerakan roda.

Pergerakan roda ini akan mengakibatkan piston bergerak, menghasilkan tekanan berbeza, bar anti oleng akan memutuskan sambungan dengan sistem suspensi secara automatik lantas memberikan wheel articulation yang lebih baik. Semuanya berlaku tanpa input daripada pemandu

Sistem KDSS yang terbaru dikenali dengan nama e-KDSS, menggantikan sistem sambungan hudraulik tunggal dengan 2 set litar sistem elektronik. Satu set utuk gandar depan dan satu set untuk gandar belakang. Setiap set litar elektronik akan mengawal 2 piston di gandar depan dan belakang secara bebas, mengunci atau membuka bar anti oleng secara automatik

Sistem e-KDSS akan menerima input daripada sensor kelajuan, sudut operasi stering, dan lateral G-Force bagi menentukan jika SUV dipandu di laluan offroad atau jalan berturap. Jika offroad, bar anti oleng akan dilepaskan manakala jika dipandu di offroad, bar anti oleng akan dikunci

Sistem e-KDSS akan bekerjasama dengan Multi-Terrain System, hanya mengunci gandar belakang sahaja bagi tujuan memandu dengan laju di kawasan offroad dan memerlukan keselesaan. Sistem e-KDSS adalah lebih fleksibel berbanding dengan sistem KDSS lama, menawarkan 7.62cm lebih wheel articulation atau 62.2cm pada tahap maksimum.

Google ads
Back to top button