Artikel Pilihan

EA113L, ENJIN MODEN PALING BERPENGARUH DALAM SEJARAH VOLKSWAGEN

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan membincangkan tentang sebuah enjin daripada syarikat Volkswagen Group yang dikenali dengan kod EA113. Enjin ini merupakan enjin lagenda VW Group yang memacu jenama-jenama dibawahnya seperti Volkswagen, Audi, SEAT dan Skoda.

Segalanya bermula pada tahun 2004 ketika VW Group melancarkan enjin ini kepada dunia. Ketika ini, dunia automotif tidak tertumpu kepada Volkswagen Group untuk pembangunan enjin, kebanyakan memandang kuasa Automotif Jepun dan nama-nama besar Eropah seperti BMW dan juga Mercedes Benz.

Sebelum tahun 2004, antara enjin yang menjadi perhatian ialah :-
1. Honda F20C
2. Mazda 1.3 Renesis
3. BMW M54
4. Mini Tritec Engine
5. Subaru EJ257
6. Nissan VQ35DE
7. Mercedes Benz M113

Kesemua enjin diatas menerima pelbagai anugerah ketika itu. Sehinggalah pada tahun 2004.

sejarah telah berubah.

Enjin EA113 ini memenangi International Engine Of The Year kategori 1.8L-2.0L pada tahun 2005 sehingga 2008. 4 tahun berturut-turut. Enjin ini juga berada di tempat teratas dalam senarai Ward’s 10 Best Engines pada tahun 2006 hingga 2008.

Sifirnya mudah.

Kapasiti kecil, tetapi berkuasa. Lagi satu, mereka memecahkan taboo dengan mengeluarkan enjin dengan pendesak turbo untuk kenderaan penumpang. Satu langkah yang berani. Hasilnya kita dapat lihat sampai sekarang apabila statistik menunjukkan jumlah pengeluaran enjin ini adalah sebanyak 40 juta unit. Pakcik kayo !

Dalam 40 juta unit yang dihasilkan ini, agak menakjubkan apabila maklum balas yang diterima adalah positif. Dari segi ketahanan, kuasa dan bermacam-macam lagi. Tetapi sudah lumrah ciptaan manusia tidak akan sempurna, ada juga maklum balas negatif yang diterima.

Kenapa enjin ini diangkat sebagai Flagship ? Sekarang kita pergi ke spesifikasi enjin.

Enjin ini menerima unit blok enjin daripada “Grey Cast Iron” CG25. Nilaian Bore X Stroke pula ialah 82.5mm X 92.8mm. Nilai ini menjadikan kapasiti enjin berukuran 1,984cc(2.0L). Nisbah mampatan enjin ini ialah 10.5:1.

Seterusnya, enjin ini menerima Aci Engkol yang dibuat daripada “Forged Steel” yang diikat bersama 5 unit “Main Bearing”. Untuk mengurangkan gegaran, terdapat 2 unit “Balancer Shaft” dipasang dan dipacu oleh Rantai (Chain)

Unit Kepala Silinder diperbuat daripada Alumunium dengan konfigurasi 2 Aci Sesondol (DOHC). Unit Kepala Silinder ini juga menempatkan 16 injap dimana 4 injap bagi setiap silinder.

Sistem “Variable Timing Valve” juga diaplikasikan pada enjin ini cuma terhad kepada injap masukan sahaja. Unit Aci Sesondol Injap Masukan dipacu oleh Rantai Pemasaan (Timing Chain) yang bersambung dengan Aci Sesondol Ekzos.

Kemudian, Aci Sesondol Ekzos dipacu oleh Tali Sawat Pemasaan (Timing Belt) yang bersambung dengan Aci Engkol. Timing Chain ada, Timing Belt pun ada.

Sistem Bahanapi enjin ini menggunakan sistem “Fuel Stratified Injection”(FSI) dimana pancitan bahanapi dilakukan secara terus (Direct Injection) ke dalam kebuk pembakaran (Combustion Chamber).

Bahanapi yang disedut daripada tangki bahanapi seterusnya disalurkan ke Pam Bahanapi Bertekanan Tinggi yang bertanggungjawab menaikkan tekanan sehingga 115 bar ! Bahanapi seterusnya melalui “Fuel Rail” sebelum dipancit oleh unit “Injector”.

Apa istimewanya FSI ini ?

Yang istimewanya sistem ini mempunyai dua mod pancitan iaitu :-
– Dual Injection For Cold Start
– Homogeneous Injection

“Dual Injection For Cold Start” ini merupakan mod dimana pancitan berlaku pada lejang masukan ketika piston berada 300 darjah sebelum Top Dead Center(TDC). Pancitan kedua pula berlaku ketika piston berada dalam kedudukan 60 darjah sebelum TDC ketika lejang mampatan. Ketika ini juga “Ignition Timing” akan berada dalam keadaan “Retard”. Hal ini bertujuan untuk mempercepatkan proses pemanasan “Catalytic Converter” sehingga mencapai suhu operasi.

“Homogeneous Injection” pula adalah pembakaran normal dimana pancitan berlaku secara normal dengan nisbah udara dan bahanapi 14.7:1.

Jadi, sebab itu enjin ini akan mengaum dan RPMnya tinggi sedikit ketika dihidupkan. Lebih-lebih lagi ketika waktu sejuk(hujan/malam).

“Intake Manifold” enjin ini mempunyai “Flap” yang dikawal secara elektronik. Ketika beban enjin dalam keadaan rendah dan pusingan diantara 1,000-5,000rpm, “Flap” akan berada dalam keadaan tertutup. Hal ini bertujuan untuk :-
– Memperbaiki kualiti melahu(idle) enjin
– Untuk memastikan operasi enjin berada dalam keadaan lancar
– Memastikan enjin tidak bergoyang/berjoget ketika melahu(idle)

Ketika beban enjin bertambah, senang cerita ketika memandu, “Flap” akan terbuka untuk lebih udara masuk lalu membolehkan enjin memberikan kuasa yang maksimum.

Enjin ini mempunyai 2 jenis pendesak turbo iaitu :-
– BorgWarner K03
– BorgWarner K04

Kenapa berbeza ? Kerana ia digunakan oleh varian jentera tertentu. Boost yang ditetapkan adalah pada kadar 0.9bar bagi turbo K03 dan 1.2 bagi turbo K04.

Sistem Pengurusan Enjin diserahkan kepada ECU Bosch Motronic MED 9.1. Kuasa yang dihamburkan enjin ini mempunyai banyak variasi. Berikut merupakan kod enjin serta kuasa dan daya kilas.

BPJ – 168hp@5,900rpm & 280Nm@2,210-4,800rpm. Enjin ini terletak di ruangan enjin jentera :-
– Audi A6 C6 2.0L TFSI keluaran tahun 2004-2011
– VW Tiguan 2.0L TSI keluaran tahun 2008-2011

BWA – 182hp@4,500-6,300rpm & 270Nm@2,250-5,000rpm. Enjin ini terletak di ruangan enjin jentera SEAT Leon 2.0L TFSI keluaran tahun 2005-2006

AXX,BWA,BWE,BPY – 197hp@5,100-6,000rpm & 280Nm@1,700-5,000rpm. Enjin ini terletak di ruangan enjin jentera :-
– Audi A4 B7 2.0L TFSI keluaran tahun 2004-2009
– Audi A3 8P 2.0L TFSI keluaran tahun 2004-2008
– Audi TT 8J 2.0L TFSI keluaran tahun 2006-2010
– VW Passat B6 2.0L TSI keluaran tahun 2005-2008
– VW Golf GTi Mk5 2.0L TSI keluaran tahun 2004-2008
– VW Jetta Mk5 2.0L TSI keluaran tahun 2005-2008
– SEAT Leon FR 2.0L TFSI keluaran tahun 2006-2009
– SEAT Altea FR 2.0L TFSI keluaran tahun 2004-2008
– SEAT Toledo Mk3 2.0L TFSI keluaran tahun 2004-2009
– SEAT Exeo 2.0L TFSI keluaran tahun 2009-2013
– Skoda Octavia 1Z vRS 2.0L TFSI keluaran tahun 2005-2008

BUL – 217hp@5,900rpm & 350Nm@2,200-4,800rpm. Enjin ini terletak di ruangan enjin jentera Audi A4 B7 DTM 2.0L TFSI keluaran tahun 2005-2007.

CDLJ – 217hp@5,500rpm & 350Nm@2,500-4,400rpm. Enjin ini terletak di ruangan enjin jentera VW Polo R WRC. Tak pernah dengar ? Jangan risau. Memang edisi terhad. Hanya 2,500 unit sahaja dikeluarkan sebagai homoglasi bagi menepati syarat penyertaan ke Kejuaraan Rali Dunia(WRC). Ia dikeluarkan pada September 2013 sehingga Mac 2014. Hanya 6 bulan produksi sahaja

BYD – 227hp@5,500rpm & 300Nm@2,250-5,200rpm. Enjin ini terletak di ruangan enjin jentera :-
– VW Golf GTi Mk5 Edition 30. Varian ini hanya dihasilkan sebanyak 2,280 unit sahaja dan dikatakan lebih laju daripada VW Golf R32 Mk5
– VW Golf GTi Mk5 Pirelli Edition. Tidak dinyatakan berapa jumlah produksi. Perkataan “Pirelli” boleh dilihat di bahagian dalam serta luaran jentera ini

CDLG – 232hp@5,500rpm & 300Nm@2,200-5,200rpm. Enjin ini terletak di ruangan enjin jentera VW Golf GTi Mk6 Edition 35. Model ni dah nak saing-saing VW Golf R Mk6 dah ni. Enjin EA113 + Turbo BorgWarner K04. Cuma versi Edition 35 ini versi yang diturun taraf berbanding VW Golf R Mk6

BWJ – 237hp@6,000rpm & 300Nm@2,200-5,500rpm. Enjin ini terletak di ruangan enjin jentera SEAT Leon Cupra 2.0L TFSI keluaran tahun 2006-2008. Cupra ni sebenarnya adalah divisyen di dalam SEAT yang memfokuskan terhadap pembangunan dan teknologi berprestasi tinggi. Senang cerita macam TRD dalam Toyota, STi dalam Subaru dan juga Polestar dalam Volvo.

Pada asalnya dikenali sebagai SEAT Sport dan kemudiannya dijenamakan kepada Cupra Racing. Sekarang, sepertimana Polestar, Cupra telah berkembang menjadi satu jenama sendiri dan mempunyai barisan model yang berprestasi tinggi seperti Cupra Ateca dan Leon Cupra.

CDLC – 256hp@6,000rpm & 330Nm@2,400-5,200rpm. Enjin ini terletak di ruangan enjin jentera :-
– Audi S3 8P 2.0L TFSI keluaran 2008-2013
– VW Scirocco R 2.0L TSI keluaran tahun 2009-2017
– VW Golf R Mk6 2.0L TSI keluaran tahun 2009-2013
Eh, betul ke ni ? Kenapa macam kurang je kuasanya ? Betul Tuan-Tuan. Hal ini kerana model-model yang menggunakan enjin CDLC ini adalah untuk pasaran Amareka sana tu. Memang sengaja diturun taraf atas beberapa faktor.

BHZ – 261hp@6,000rpm & 350Nm@2,500-5,000rpm. Enjin ini terletak di ruangan enjin jentera Audi S3 8P 2.0L TFSI keluaran tahun 2006-2008.

CDLA – 261hp@6,000rpm & 350Nm@2,300-5,200rpm. Varian enjin CDLA ini merupakan enjin yang paling terkenal sekali kerana ia dipasarkan ke pasaran global secara menyeluruh. Enjin ini terletak di ruangan enjin jentera :-
– Audi S3 8P 2.0L TFSI keluaran tahun 2008-2013
– Audi TTS 8J keluaran tahun 2008-2014
– SEAT Leon Cupra 2.0L TFSI keluaran tahun 2009-2012
– VW Scirocco R keluaran tahun 2009-2017
– VW Golf R Mk6 keluaran tahun 2009-2013

CDLF – 267hp@6,000rpm & 350Nm@2,500-5,000rpm. Enjin ini terletak di ruangan enjin jentera VW Golf R Mk6 2.0L TSI keluaran tahun 2009-2013. Untuk makluman, enjin ini diberikan kepada jentera untuk pasaran Eropah(EDM). Jadi mana yang beli recond tu dapat UK spec dapat lah enjin ni.

CDLB – 268hp@6,000rpm & 350Nm@2,500-5,000rpm. Enjin ini terletak di ruangan enjin jentera Audi TTS 8J keluaran tahun 2008-2014. Sama seperti CDLF, varian enjin CDLB ini diberikan kepada jentera untuk pasaran Eropah(EDM). Kenapa Eropah dapat enjin power ? Dah namanya jentera Eropah, takkan lah diorang nak kalah ? CDLB ini juga merupakan enjin produksi paling berkuasa di dalam keluarga EA113.

Susunan enjin diatas adalah mengikut turutan kuasa daripada rendah ke paling tinggi. Bermula daripada varian enjin berkod BUL, terdapat penambahbaikan yang dilakukan bagi membolehkan enjin menahan kuasa lebih daripada 200hp. Antara penambahbaikan yang dilakukan adalah :-
– Piston dan Pin yang baru dan diperkuatkan
– Gegelung Piston yang baru
– Rod Penghubung yang baru
– Galas Enjin(Engine Bearing) yang telah diubahsuai mengikut kesesuaian enjin
– Kepala Silinder diubahsuai untuk menahan suhu yang lebih tinggi
– Unit Pemancit Bahan Api yang ditambah baik
– Turbo BorgWarner K04
– Nilai Boost ditingkatkan kepada 1.2bar

Nampaknya bukan sikit-sikit penambahbaikan yang dilakukan untuk membolehkan enjin ini menghamburkan kuasa lebih daripada 200hp tanpa gagal.

Enjin ini juga agak tahan untuk dinaiktaraf. Sudah banyak syarikat-syarikat penalaan baik dari luar negara dan dalam negara menala enjin ini sehingga melebihi 400hp. Namun, untuk mendapat kuasa sebanyak ini tentulah memakan kos yang tinggi disebabkan komponen-komponen dalam enjin perlu ditukar kepada yang lebih baik.

“Bang, pomen cakap tak payah tukar internal, stock enjin GTi Mk5 ni dah kuat, tukar turbo masuk map stage 3 dah boleh main dengan A45”.

Senang saja, fikir sejenak. Sedangkan pihak VW sendiri pun tukar komponen-komponen enjin untuk kuasa melebihi 200hp. Ni nak masuk Stage 3 tukar turbo dengan pemetaan sahaja, mana maunye.

“Tapi bang, kawan saya cakap okay je, tak kena apa-apa masalah pun”

Bukan tak kena, belum kena.

Jadi Tuan-Tuan, inilah dia enjin 2.0L terbaik kumpulan VW sepanjang zaman. Dengan 40juta produksi serta jualan bukanlah suatu yang mudah untuk dicapai. Hal ini juga bermakna terdapat 40juta jentera dan mungkin lebih di dunia ini yang menggunakan enjin EA113 ini. Sudah tentu ianya mengubah landskap Automotif dunia.

Google ads
Back to top button