Buletin

ELAK BANKRAP, GARUDA INDONESIA PULANGKAN SEMULA 9 UNIT PESAWAT BOEING 737 800NG

Syarikat penerbangan Indonesia, Garuda akan memulangkan semula sembilan unit pesawat Boeing 737 800NG lebih awal daripada jadual kepada pemajaknya, Aercap Ireland Limited. Ia merupakan sebahagian daripada perjanjian untuk menamatkan saman bankrap. 

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Ekskutif Garuda, Irfan Setiaputra. Garuda dan Aercap menandatangani perjanjian persetujuan pada 28 Julai lalu untuk menghentikan prosiding undang-undang. Ini selepas Aercap memfailkan saman bankrap ke atas Garuda di Mahkamah Agung New South Wales pada Jun.

“Syarikat bersetuju untuk menerbangkan sembilan buah pesawat Boeing 737 800NG ke lokasi yang diluluskan,” jelas Garuda.

Dalam perkembangan berasingan, Garuda diheret ke mahkamah selepas gagal membayar hutang kepada sebuah firma kargo udara, PT My Indo Airlines. 

Garuda dilihat cuba untuk memulangkan lebihan pesawatnya berikutan gangguan penerbangan akibat penularan COVID-19 di seluruh dunia. Justeru, syarikat itu berusaha untuk mendapatkan penamatan pajakan lebih awal atau menawarkan skim bayaran ikut jam dalam usaha mengurangkan saiz pesawat dan mengurangkan kosnya. 

Setakat Jun, Garuda sudah memulangkan 20 buah pesawat dan sedang berunding untuk melepaskan lebih banyak pesawat selepas ini. Syarikat berkenaan hanya menerbangkan 41 daripada 142 buah pesawat kerana kekurangan permintaan. 

Garuda yang mempunyai lebih 7,800 orang kakitangan sebelum pandemik telah mengurangkan jumlah itu kepada 2,300 orang sahaja menerusi tawaran persaraan awal serta penamatan kontrak. – Reuters 

Google ads
Back to top button