Buletin

GAC EMKOO RASMI DILANCARKAN – DUA VARIAN, HARGA BERMULA RM123K

GAC Malaysia kini rasmi melancarkan model baharunya, GAC EMKOO yang dipasang secara tempatan (CKD).

Model EMKOO menjadi model CKD kedua selepas GS3 EMZOOM, memperluas lagi strategi GAC dalam memperkukuh kehadiran pemasangan tempatan.

GAC EMKOO tampil dengan rekaan luaran yang cukup berani, menonjolkan konsep futuristic dengan ciri-ciri reka bentuknya. Ia diserlahkan melalui lampu utama “Eyes of Revelation”, gril berbentuk-V “Illuminant”, serta lampu belakang “Quantum Lightsabers”. Kedua-dua varian dilengkapi rim bersaiz 19-inci sebagai standard.

Penampilannya yang garang dan moden disempurnakan dengan ruang dalaman berteknologi tinggi, termasuk kluster digital 10.25-inci dan skrin infotainmen 10.1-inci yang menyokong Apple CarPlay serta Android Auto.

Ciri-ciri menarik lain termasuklah tombol gear rekaan mewah, pengecas tanpa wayar 50W bersaiz besar yang disambungkan ke ruang letak cawan tunggal, serta sistem pencahayaan ambien pelbagai warna yang eksklusif untuk varian Pro.

Perbezaan jelas antara varian dapat dilihat di bahagian dalaman, di mana versi lebih mahal hadir dengan paparan head-up, tempat duduk pemandu larasan elektrik 12-hala lengkap dengan fungsi memori dan ventilasi (berbanding larasan 6-hala tanpa memori pada varian Premium), selain kerusi penumpang hadapan larasan elektrik 4-hala dengan pengudaraan.

Kedua-dua varian menggunakan balutan kulit sintetik pada tempat duduk, namun Premium Pro menerima tambahan ciri seperti penulen udara dengan pemantau kualiti, fungsi pemanas, ciri curb view, memori untuk cermin sisi elektrik, pintu but kuasa tanpa sentuhan (pilihan tambahan untuk Premium), serta bumbung panoramik dengan bidai elektrik.

GAC EMKOO hadir dengan lima pilihan warna luaran menarik iaitu;

  • Super Star Silver
  • Graphite Grey
  • Frost White
  • Asphalt Black
  • Star Lake Green

Dari segi prestasi, EMKOO dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo berteknologi TGDI yang dipadankan dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan, menghasilkan 177PS dan 270Nm.

Penggunaan bahan api dicatatkan sekitar 6.6L bagi setiap 100km.

Dari sudut keselamatan, EMKOO dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Tahap 2 (ADAS), termasuk ciri parkir automatik sepenuhnya (FAPA).

Ruang bagasinya juga luas, mencecah 1,586 liter dengan kerusi belakang dilipat, menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jauh.

Untuk harga, perincian adalah seperti berikut:

  • Premium: RM123,800
  • Premium Pro: RM133,800

Setiap pembelian EMKOO disertakan jaminan kenderaan selama 5 tahun atau 150,000km dan jaminan enjin serta rangkaian kuasa selama 7 tahun atau 180,000km.

Bagi meraikan pelancaran ini, 500 pelanggan terawal akan menikmati Tawaran Early Bird Eksklusif yang merangkumi rebat tunai RM4,000 serta pakej aksesori percuma bernilai RM10,000.

GALERI:

Google ads
Back to top button