Buletin

HONDA CITY HATCHBACK DILANCARKAN HARI INI DI THAILAND. MENAWARKAN 3 VARIAN?

Selepas Malaysia melancarkan model City serba baharu generasi ke-5 dengan penghormatan menjadi negara pertama di dunia memperkenalkan varian RS e:HEV baru-baru ini.

Kini, giliran negara jiran, Thailand pula bakal mendedahkan model terbaharu Honda City Hatchback yang dijadualkan akan berlangsung pada hari ini bermula pukul 12.30 tengah hari.

Pelancaran secara virtual itu dimaklumkan dalam laman rasmi Facebook Honda Thailand.

Dalam pada itu, Honda Thailand juga akan merasmikan Honda City e:HEV yang baharu sahaja menjengah pasaran negara kita.

Dengan pengenalan model City Hatchback ini, adakah pengeluar Jepun itu akan menghentikan pengenalan model Jazz baharu ataupun membawa masuk varian elektrik sahaja nanti di rantau Asia Tenggara.

Hanya masa sahaja yang akan menentukan perancangan Honda ini kelak.

Melalui laman Facebook Honda Thailand berkenaan, ia sama sekali tidak mendedahkan perincian mengenai model yang bakal dilancarkan beberapa hari lagi.

Bagaimanapun, menurut sebuah portal headlightmag, model terbaharu berkenaan bakal menawarkan tiga varian kepada para pelanggan.

Tiga varian berkenaan merupakan 1.0 Turbo S+ CVT, 1.0 Turbo SV CVT dan 1.0 Turbo RS CVT.

Rekaan luaran pula, kemungkinan besar ia tidak banyak beza berbanding model sedan terutama di bahagian hadapan yang dilengkapi gril dan bampar.

Perbezaan ketara tentu sekali pada bahagian belakang, namapun dah hatchback mestilah lagi pendek.

Kalau hendak mengetahui lebih lanjut, kita kena tunggu pada 24 November nanti.

Google ads
Back to top button