Buletin

HONDA HR-V BAHARU SECARA RASMI MASUK PASARAN JEPUN. 2 PILIHAN ENJIN, HARGA BERMULA RM86,600

Model terbaharu Honda HR-V secara rasmi memasuki pasaran Jepun.

SUV segmen-B yang lebih dikenali sebagai Honda Vezel di negara berkenaan ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu enjin aspirasi natural 1.5 liter i-VTEC dan hibrid e:HEV.

Jentera terbaharu itu dijual pada harga bermula 2,279,200 yen (RM86,600) manakala model hibrid e:HEV pula bermula dari 2,658,700 (RM101,000).

Honda Vezel itu menampilkan rekaan luaran yang lebih menarik dan moden dalam menerapkan keselesaan kepada pemandu serta penumpang.

Model terbaharu berkenaan hadir dengan lampu hadapan LED dipadankan dengan gril besar dan bampar rekaan minimalis.

Dengan bumbung lebih rendah, cermin belakang yang agak besar dan handel terletak kemas pada cermin tingkap, ia seakan sebuah coupe sama seperti model terdahulu.

Dari aspek prestasi aerodinamik, SUV terbaharu itu menjalani ujian terowong angin di fasiliti di Sakura, Jepun yang membangunkan dan mereka enjin Formula 1.

Ia tidak ditambah dengan komponen aerodinamik tetapi bahagian komponen lain dipertingkatkan seperti tirai udara pada bampar hadapan, skirt sisi, spoiler belakang baharu serta unit lampu belakang yang dibentuk semula.

Bahagian dalaman pula, Honda Vezel mendapat sentuhan papan pemuka baharu yang direka lebih melintang dan ringkas.

Ruang kabin turut hadir dengan bumbung kaca panoramik yang lebih besar dan ciri kaca Low-E yang mampu mengurangkan sinar cahaya infrared dan ultraungu menembusi ruang penumpang.

Selain itu, ia dilengkapi skrin sentuh infotainmen berdiri sendiri di tengah bersama corong pendingin hawa rekaan baharu.

Di Jepun, Vezel menerima sistem Honda Connect terdiri daripada sistem infotaimen bersama skrin sesentuh sembilan-inci dan pelbagai servis terhubung Honda Total Care Premium.

Ia termasuk sistem hotspot WiFi, pusat aplikasi, kemaskini peta automatik, kunci digital menggunakan telefon pintar, dan juga hubungan kenderaan-kepada-infrastruktur (V2I) yang akan memberikan maklumat seperti adakah anda akan sempat untuk melepasi lampu hijau di hadapan.

Enjin versi petrol mampu menjana kuasa  116hp dan tork 142Nm dipadankan transmisi CVT. 

Bagi varian hibrid e:HEV pula didatangkan dengan unit yang menggunakan dwi-motor eletrik dan bateri litium li-ion bersama enjin petrol 1.5L menghasilkan 131hp dan tork 253Nm.

Model e:HEV juga ditawarkan dengan paparan instrumen digital bersaiz tujuh-inci dan juga sistem bunyi dengan sepuluh pembesar suara.

Dari segi keselamatan, ia menampilkan sistem bantuan pemandu, Honda Sensing.

Antaranya termasuk Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Susur Halaju-Perlahan (LSF), Amaran Perlanggaran Depan (FCW), Sistem Brek Mitigasi Perlanggaran (CMBS), Amaran Tukar Lorong (LDW), Mitigasi Tukar Jalan (RDM), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS) dan Lampu Suluh Tinggi Automatik (AHB).

Honda Jepun menyasarkan jualan sebanyak 5,000 unit pada setiap bulan bagi model terbaharu terbabit. – Honda Jepun

Google ads
Back to top button