Buletin

HONDA RAI PENGELUARAN KE SEJUTA UNIT KENDERAAN DI KILANG PEGOH

Honda Malaysia hari ini mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menghasilkan produksi ke sejuta unit sejak memulakan program pemasangan tempatan di kilang Pegoh, Melaka pada tahun 2003.

Momen istimewa itu diraikan dengan produksi unit ke sejuta sebuah Honda Civic serba baharu.

“Selepas 20 tahun ditubuhkan, Honda telah mencatat banyak pencapaian. Pada Mac 2021, kami mencapai jualan ke sejuta unit. Hanya setahun kita meraikan pencapaian ini pula.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan dan pembekal atas kerja keras mereka dalam memastikan proses produksi serta rantaian bekalan kekal lancar walapun berdepan pelbagai cabaran seperti Covid-19, masalah bekalan chip dan banjir.

“Sokongan daripada semua pihak membolehkan Honda menduduki tempat pertama dalam segmen kenderaan penumpang bukan nasional selama lapan tahun berturut-turut sejak tahun 2014,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo.

Honda Malaysia membuka No.1 Line di kilang Pegoh pada Januari 2003 yang dibina di atas kawasan seluas 46,543 meter persegi. Ia menawarkan kapasiti pengeluaran 50,000 unit kenderaan setahun.

Model pertama yang dihasilkan daripada No.1 Line ialah CR-V generasi kedua.

Pada Oktober 2013, Honda Malaysia mengeluarkan model Jazz Hybrid di No.2 Line yang dibina di atas tanah seluas 49,190.5 meter persegi. No.2 Line dibuka secara rasmi pada Januari 2014, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 100,000 unit setahun.

Ini membolehkan syarikat menghasilkan tujuh model seperti City, City Hatchback, Civic, Accord, BR-V, HR-V dan CR-V.

Bagi menghasilkan kereta Honda berkualiti tinggi untuk pasaran Malaysia, Honda Malaysia telah melabur ke atas teknologi pengilangan tercanggih ke dalam kilang Pegoh yang setanding dengan kilang di Jepun.

Antaranya melibatkan teknologi Laser Blazing, Inner Frame Welding dan Spray Polyurethane Foam. Bukan itu sahaja, Honda Malaysia juga akan mengembangkan aplikasi teknologi e:HEV, enjin VTEC turbo, Honda SENSING dan Honda CONNECT ke atas model-model keluarannya.

Google ads
Back to top button