Buletin

HONDA S660 DAN S660 MODULO X 2020, COMEL SEPERTI BIASA

Kelebihan menjadi pengguna di Jepun ialah apabila banyaknya kei-car yang comel dan merentasi segmen. Contohnya ialah Honda S660, kereta dua tempat duduk yang boleh diibaratkan sebagai adik S2000.

S660 pertama kali diperkenalkan pada tahun 2015 dan ia adalah gantian kepada sebuah lagi roadster comel Honda Beat.

Satu perkara menarik tentang S660 ialah jurutera yang menerajui projek ini merupakan seorang pemuda berusia 22 tahun dikenali sebagai Ryo Mukumoto.

Beliau adalah jurutera paling muda dalam sejarah Honda yang diberi tanggungjawab untuk menerajui projek pembangunan kereta.

Beliau berjaya mengalahkan 400 peserta dalam pertandingan dalaman dan Honda memberikannya tempoh lima tahun bagi membangunkan S660. 

Menariknya beliau sebelum itu tidak mempunyai pengalaman dalam bidang kejuruteraan.

Memasuki tahun kelima di pasaran, Honda memperkenalkan S660 yang dipertingkatkan (facelift) pada Tokyo Auto Salon 2020.

Perubahan yang dibuat tidak terlalu besar, tiang A sebelum ini berwarna hitam dan terbaru menggunakan warna sama dengan badan. 

Turut berubah ialah bampar dengan lampu kabus LED menegak, warna relflektor lampu utama, warna lampu belakang, reka bentuk roda aloi dan posisi lampu isyarat dari fender ke lampu sisi. 

Bahagian dalam dilengkapi kerusi dengan pemanas dan balutan Alcantara pada stereng dan tombol gear.

Istimewa untuk S660 ialah dua warna baharu iaitu Active Green Pearl dan Alabaster Silver Metallic.

Honda turut memperkenalkan S660 Modulo X yang tampil sporti dengan bampar depan agresif dan roda aloi istimewa. 

Bahagian dalaman varian ini menggunakan tema warna merah Bordeaux dan hitam dengan bumbung hitam. Kerusi kulit pula menerima corak baharu.



Menggerakkan kedua-dua S660 ialah enjin kecil tiga silinder 660 cc turbo. Enjin itu berkuasa 64 hp dan 104 Nm yang dipadan bersama dua pilihan transmisi enam kelajuan manual atau CVT.

Dari segi harga, Honda S660 dijual pada JPY2,321,000 (RM85,804) untuk varian α dan JPY2,031,700 (RM75,109) bagi varian β.

Honda S660 Modulo X pula lebih tinggi iaitu JPY3,042,600 (RM112,481).

Kepada yang berkenan, Honda S660 unit recond ada dijual di pasaran tempatan. Harga yang ditawarkan ialah dari RM130,000 hingga RM160,000.

BACA: HONDA SUPER CUB 50 STREET & 110 STREET JDM, KLASIK TAPI HARGA…

BACA: HONDA FIT (JAZZ) MODULO X CONCEPT DI TAS 2020

BACA: HONDA SH – SKUTER HONDA YANG POPULAR DI ITALI

Kredit/Sumber Foto: Honda

Tags
Google ads
Back to top button